Pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya melakukan apa sahaja terhadap rakyat dan kekayaan negara.
Generasi muda kini mula bangkit dan sedar terhadap segala kepincangan yang berlaku dalam Negara masing-masing di seluruh dunia.
Umno-BN semahu-mahunya tidak mahu kehilangan kuasa politik pemerintahannya di Negara ini dan mahu kekal berkuasa ‘dulu, kini dan selamanya’.
Hakikatnya, parti itu sedang menuju kehancuran, lemah dan semakin ditolak oleh rakyat umum terutama di kalangan masyarakat tionghua dan bukan Islam.
Hal demikian, samalah jika kita melihat seekor haiwan ternakan atau paling mudahnya seekor lembu yang sedang menemui ajalnya ketika disembelih. Kita lihat, lembu yang disembelih itu akan menendang-nendang apa sahaja objek yang berada berhampiran dengannya.
Segala sesuatu yang ada akan ditendang dan diterajangnya kerana ‘tali hayat’ (nyawa) akan berakhir tidak lama selepas itu. Azab kesakitan ketika nyawa dihujung ‘halkum’.
MAKA, hal yang sama juga dapat kita lihat dan saksikan dalam politik tanahair kita tercinta ini. Umno-BN yang telah lama memerintah telah melebih 60 tahun lamanya. Sebelum Barisan Nasional ianya dikenali Perikatan.
Umno-BN kini hujung hayatnya bakal berakhir ditangan PAS dan Pakatan Rakyat. Apabila Umno tidak lagi mendapat sokongan masyarakat Cina dan India. Dia mula hidupkan kembali sentimen perkauman.
Umno melalui PERKASA yang lebih sesuai dengan nama ‘PERKOSA’ telah ‘menyerang’ kaum tionghua apabila kalah teruk sokongan masyarakat itu dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak, baru-baru ini.
Umno-BN menuduh DAP ‘rasis’ dan orang Cina ‘rasis’. Walhal, Umno dan ‘Perkosa’ itu yang paling ‘rasis’ dan perkauman.
Justeru itu, Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali berkata kuasa memerintah tidak selama kekal dan segala kepincangan yang berlaku akan terdedah.
“Umno dan kerajaan Barisan Nasional jangan ingat dia boleh ‘tongkat’ langit sampai bila-bila. Jangan ingat bila ada kuasa dia boleh melakukan apa sahaja, boleh menipu rakyat, boleh mengumpulkan kekayaan di kalangan pimpinan dan kroni-kroni mereka.
“Dengan kuasa dia (Umno) ingat boleh menggunakan media dan jentera kerajaan sewenang-wenangnya.
“Kamu (Umno-BN) mesti ingat, sekarang generasi muda sudah ‘membuka’ mata dan itulah yang berlaku di negara-negara Asia Barat sekarang ini,” jelasnya ketika berucap pada Ceramah Pakatan Rakyat di Kampung Maras, Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit, Setiu, baru-baru ini.
Menurutnya, apa yang berlaku di Mesir meski pun baru sahaja berlaku pilihan raya tetapi rakyat bangkit keluar di jalan raya menuntut perubahan.
Ini kerana, kata beliau di Mesir itu penuh dengan penipuan dan pilihan raya yang telah memenangkan parti “Barisan Nasional” Mesir itu akhirnya tumbang sekarang ini.
“Ini kebangkitan dari rakyat yang melihat kepimpinan negara mereka (Mesir) hilang arah dan tujuan. Pimpinan mereka mengumpul kekayaan yang begitu banyak, pimpinan mereka hanya pandai bercakap dan pimpinan mereka melakukan tindakan-tindakan yang menyekat kebebasan rakyat.
“Akhirnya, rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang agama sama-sama bangkit menumbangkan kerajaan diktator Mesir termsuk di beberapa negara lain di Asia Barat sekarang ini,” tegasnya.
Beliau selaku Yang Dipertua PAS Marang berkata menjadi tanggungjawab PAS dan Pakatan Rakyat menyedarkan orang Melayu serta pengundi agar membuat perubahan.
Menurutnya, Umno-BN telah lama melakukan penipuan dengan janji rasuah kepada rakyat dan pengundi dalam pilihan raya.
“Kita (PAS) kena menyedarkan kepada pengundi-pengundi Melayu, cukuplah dengan Umno dan Barisan Nasional.
“Masa dengan pilihan raya kecil kerajaan BN menjadi begitu pemurah dan menjanjikan apa sahaja. Puluhan juta nilai projek dijanjikan kepada rakyat dalam pilihan raya itu,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan kenapa hanya diwaktu pilihan raya seumpama ini baru berlaku tawaran tersebut.
Malah, katanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri tidak berlaku adil dengan membiarkan pemimpin Umno-BN melakukan melanggar peraturan pilihan raya.
“Jika SPR itu sebagai pengadil sebenar, ajak main bola mestilah di padang yang sama rata dan tidak memihak hanya kepada parti tertentu.
“Ucapan-ucapan pemimpin Umno dan kerajaan BN, “Awak sokong saya, saya sokong awak” dalam erti kata sebenar jika sokong Barisan Nasional, kita akan memberikan apa sahaja.
“Seperti kata Najib (Perdana Menteri), “Saya bukan hendak beli undi saudara-saudara tetapi jika saudara-saudara undi Barisan Nasional esok atau lusa, kita akan tambahkan lagi peruntukan”, ujarnya.
Ini jelas, katanya suatu bentuk rasuah yang bertentangan dengan Akta Pilihan Raya 1960 yang tidak sepatut berlaku dalam pilihan raya.
Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafie dari Parti KeADILan Rakyat (PKR) Selangor, Yang Dipertua PAS Setiu, Ustaz Mohd Pauzi Muda, Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing dan Timbalan Pengerusi, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Balachandran.
Kesimpulannya, Umno-BN kena terima hakikat yang kuasa memerintah negara dan negeri ini bukan selamanya milik parti itu. Sampai masa akan bertukar dan berubah. Rakyat yang tidak berubah adalah rakyat ‘ayam daging’ yang tidak pandai mencari makan sendiri serta mengharapkan bantuan dan subsidi orang lain.
NOTA: “Bukanlah Mudah Untuk Menegak Benang Yang Basah”-kam
0 comments:
Catat Ulasan