Bayar “cash” dalam PRU Ke-13

Salam For Perjuangan;

Sarawak baru sahaja selesai mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-10, Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak pada 16 April 2011, lalu.

Walau pun, BN-PBB ‘mendabik’ dada kononnya ‘menang’ serta dapat mengekalkan majoriti 2/3 itu sebagai suatu kejayaan tetapi diibaratkan kemenangan yang ‘luka’ parah.

Hakikatnya, PM Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud ‘menangis’ dan sangat ‘berduka’ dengan prestasi BN di Sarawak. Bukan kemenangan yang sebenarnya tetapi kekalahan.

BN-PBB di Sarawak sebenarnya ‘kalah’ kerana ‘KALAH’ di lapan kerusi Dun yang pada PRU ke-9 tahun 2006, BN mempunyai 63 kerusi dan kini tinggal 55 kerusi sahaja. Jika ini berterusan, Pakatan Rakyat ada peluang besar di masa akan datang.

Najib ada berkata sebaik sahaja BN ‘menang’ di Sarawak bahawa kemenangan itu menjadi ‘petunjuk’ ke arah PRU ke-13 di Semenanjung Malaysia pula.

Namun begitu, pimpinan PAS Terengganu juga telah memberi suntikan semangat kepada ahli serta para penyokongnya, bahawa parti itu akan membayar secara “cash” kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, akan datang.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata perhimpunan “PAS Ganti Umno” di Besut sebagai petanda isyarat awal PAS akan kembali memerintah negeri ini.

“Himpunan ini, kita (PAS) hendak beritahu kepada Umno kalau boleh dan Insya’Allah, akan boleh dicapai dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, kita akan bayar “cash”. Insya’Allah, dengan kebangkitan rakyat kita (PAS) akan bayar “cash”.

“Himpunan kita pada hari ini adalah himpunan untuk kita menggantikan Umno kerana pilihan raya sudah tidak lama lagi akan berlaku di negara ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Kebangkitan Rakyat “PAS Ganti Umno” Kedua (PGU-2) di Medan PGU Besut, Belakang Masjid Hadhari, Jertih, Besut pada baru-baru ini.

Menurutnya, kebangkitan rakyat menentang kezaliman sedang berlaku di seluruh dunia dan tidak terkecuali di negara ini.

Namun begitu, katanya kebangkitan rakyat yang berlaku di negara ini mestilah mengikut saluran sistem demokrasi berparlimen.

“Kebangkitan rakyat sedang berlaku dan kita (PAS) ingin menyatakan bahawa negara kita tidak ketinggalan, kita akan bangkit. Tetapi kebangkitan yang berlaku dalam negara kita ini, kita patuh pada sistem demokrasi berparlimen,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan pemimpin kerajaan agar menghormati sistem demokrasi tersebut serta tidak mencabuli kewibawaan dan kebebasan demokrasi.

Katanya, Umno-BN terlalu rakus menggunakan kebebasan media yang ada kepentingan dengan parti tersebut.

Sepatutnya, kata Ustaz Nik Zawawi ruang dan peluang menggunakan media arus perdana dibuka kepada semua parti-parti yang diiktiraf dalam negara ini.

“Kita sentiasa memohon kepada pihak kerajaan supaya menghormati sistem demokrasi berparlimen yang ada dalam negara kita.

“Jangan sekali-kali kerajaan mencabul kewibawaan, kebebasan demokrasi berparlimen dan jangan sekali-kali kerajaan yang ada dalam negara kita terlalu rakus menggunakan ‘kebebasan’ media yang ada untuk kepentingan diri,” jelasnya.

Menurutnya, ucapan yang disampaikan oleh mana-mana parti politik melalui media massa yang ada sama sekali tidak merugikan negara.

Ini kerana, kata beliau di negara-negara maju seperti Amerika, Britain, Jepun dan sebagainya diberi kebebasan kepada media.

Menurutnya, mana-mana parti yang diiktiraf dalam negara tersebut diberi peluang menyampaikan halatuju perjuangan mereka melalui tv dan rakyat boleh menilai dengan baik.

Kesimpulannya, adakah PAS-Pakatan rakyat benar-benar bersedia untuk menuju ke Putrajaya selepas PRU Ke-13 ini, apakah persediaan PAS untuk mencapai cita-cita itu? atau adakah sekadar bahasa ‘hiasan’ untuk agenda “PAS Ganti Umno”-kam.

NOTA: “RAKYAT BENAR-BENAR MAHU LIHAT ‘PGU’ MENJADI KENYATAAN”

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top