Sokong tanpa ‘was-was’

Salam For All Melayu+Islam:

Jika kita sebagai seorang Islam yang mengaku Islam dan mengaku beriman kepada Allah SWT. Maka, tidak ada sebab kenapa kita hendak rasa tidak yakin, tidak percaya serta was-was.

Jika orang Islam was-was dengan pegangan Islamnya, macam mana orang bukan Islam hendak rasa yakin dan tidak was-was terhadap Islam. Kang berbelit namanya, jika orang Islam sendiri tidak yakin dengan pegangan Islamnya itu.

Sehubungan itu, Awang terdengar satu ucapan yang dibuat oleh Presiden sebuah parti Islam iaitu Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam suatu majlis, baru-baru ini.

PAS mengajak ahli dan seluruh rakyat menyokong perjuangan partinya dengan penuh keyakinan tanpa rasa was-was.

Presiden parti itu berkata tidak ada sebab jika terdapat di kalangan ahli parti yang tidak yakin dengan PAS.

Ini kerana, katanya PAS pernah menang dan memerintah di Terengganu tahun 1999 hingga 2004 pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 yang lalu.

“Marilah kita bekerja dengan PAS secara yakin, dengan tidak ada was-was sedikit pun khususnya bagi kita di Terengganu ini. Kita di Terengganu tidak ada sebab kita tidak yakin dengan PAS. Ini kerana, kita pernah menang tahun 1999 hingga 2004 dan kita telah meletakkan asas untuk mengisi kemenangan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Tepoh, di Ma’ahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah (MTT) Darul Iman, Tok Jiring, dekat sini pada 7 April lalu.

Menurutnya, PAS mengambil pendekatan jalan demokrasi dengan menyertai pilihan raya bagi mengajak rakyat menentukan sesebuah kerajaan.

Justeru itu, katanya menjadi kewajipan kepada PAS bagi mengajak rakyat menyokong perjuangan parti ini dalam pilihan raya.

“Pilihan raya adalah demokrasi dan rakyat diberi hak untuk menentukan kerajaan pilihannya. Maka, kita (PAS) berkewajipan mengajak rakyat untuk menyokong kita dalam pilihan raya supaya pilih kita jadi kerajaan.

“Kerajaan yang memerintah dengan Islam. Pendekatan kita (PAS) mengajak orang bersama menyokong perjuangan kita. Pilihan raya ini, kita kena ajak ‘orang atas pagar’ menyokong bersama dengan kita. Inilah kelebihan kita menyertai pilihan raya,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan pendekatan mengajak rakyat turun ke jalan raya juga mengikut saluran demokrasi.

Namun begitu, katanya agak sukar berlaku di negara ini kerana pemikiran rakyat masih tertutup dan hidup tidak tertekan.

Menurutnya, pendekatan menyertai pilihan raya merupakan jalan demokrasi terbaik hari ini bagi rakyat mengubah kerajaan.

“Pilihan raya dan turun ke jalan raya, kedua-duanya jalan demokrasi. Tapi, hendak turun ke jalan raya dan rakyat bangkit kena ada dua perkara yang berlaku.

“Pertama, fikiran dia (rakyat) terbuka. Kedua, hidup dia tertindas sehingga ada orang tidur di kaki lima di Mesir, di Jakarta, tidak ada makanan dan surat khabar dia (media) bebas melaporkan semua kebaikan dan kejahatan kerajaan.

“Kita (Malaysia) pula surat khabar (media), tv ‘tutup’ dan hidup pula tidak tertekan dan fikiran rakyat ‘tertutup’. Ini yang dihadapi oleh kita (PAS).

Oleh kerana itu, Dato’ Seri Abdul Hadi menegaskan jalan pilihan raya menjadi pilihan masa kini kepada semua gerakan Islam di seluruh dunia.

Katanya, sama ada dipanggil parti Islam atau jamaah Islam mendekatan demokrasi secara aman ini boleh diterima oleh para ulama’ Islam.

“Kita berada dalam perjuangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Iaitu kumpulan Islam yang ditubuhkan oleh pemimpin-pemimpin di kalangan ulama’ dan cerdik-pandai Islam untuk menyambung perjuangan Islam yang dibawa oleh Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang berakhir dengan Nabi Muhamad SAW.

“Di zaman tidak ada Nabi dan Rasul penggantinya ialah kumpulan Islam, sama ada yang dinamakan parti Islam disetengah negeri atau jamaah Islam disetengah negeri yang lain. Parti Islam ini mestilah memenuhi sifat-sifat parti yang memperjuangkan Islam yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran.

Ini bermakna, kata Ustaz Abdul Hadi, PAS mesti menyertai pilihan raya dan memujuk pengundi-pengundi agar dapat menyokong perjuangan Islam.

Menurutnya, meski pun menghadapi susah-payah sama ada PAS boleh menang atau dapat menghantar wakil yang boleh bercakap dihadapan pemerintah yang zalim.

Sempena majlis tersebut Presiden PAS turut menyampaikan sijil keahlian PAS kepada setiap wakil-wakil Dun serta menyerahkan bendera parti sebagai tanda simbolik permulaan gerak kerja parti hingga menjelang PRU ke-13, tidak lama lagi.

Hadir sama pada majlis tersebut penasihat PAS Dun Tepoh, Dato’ Wan Abdul Mutalib Embong dan Yang Dipertua PAS Kuala Nerus, Ustaz Abu Bakar Abdullah.

Jadi, apakah masih ada orang yang mengaku Islam itu boleh tidak yakin lagi dan was-was dengan Islam dan hukum-hukumnya?

NOTA: “ TEPUK DADA…TANYALAH IMAN DI DADA…”-kam

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top