Adun Pakatan Rakyat ‘pengganas’?

Salam For Rakyat;

Semalam (Selasa-12 April), Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak mula bersidang dan nampaknya pihak kerajaan negeri Perak khususnya Menteri Besar ‘haram’, Dr Mohd Zamri Abdul Kadir masih ‘dihantui’ ketakutan tahap 4.

Apa tidaknya, setiap kali dewan bersidang sudah pasti akan dikerahkan bala tentera Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk berkawal. Mereka mahu pastikan dewan dan ‘takhtanya’ selamat.

Barang kali, MB Perak itu takut tragedi yang berlaku kepada Speaker Perak yang sah iaitu V. Sivakumar dari Pakatan Rakyat yang pernah diusung dan diragut kehormatannya juga akan berlaku kepada Speaker ‘haram’ Ganesan.

Bayangkan, semua Adun Pakatan Rakyat diperiksa ketat dan rapi seolah-olah mereka (wakil rakyat) adalah ‘PENGGANAS’ yang masuk ke Dewan Yang Mulia itu untuk menggugat keselamatan negara.

Ini berlaku, apabila tindakan anggota keselamatan polis yang mahu melakukan imbasan keselamatan (scan) ke atas Adun Pakatan Rakyat sebelum dibenarkan masuk menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak.

Ini jelas, menyerlahkan lagi sikap diskriminasi pihak berkuasa (kerajan) terhadap Adun Pakatan Rakyat.

Mantan MB Perak yang ‘digulingkan’ iaitu Adun Pasir Panjang, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin berkata beberapa anggota polis bertegas mahu melakukan imbasan keselamatan itu ke atas dirinya dan beberapa Adun Pakatan lain.

“Saya sendiri nak masuk dalam Dewan Undangan Negeri tadi ditahan oleh tiga orang polis dan mereka nak scan kami, dia nak pasang alat itu dan saya tanya ini arahan siapa? Dia (polis) diam sahaja.

“Saya berjumpa dengan seorang pegawai SUK, saya tanya siapa yang arah polis duduk di sini dan imbas kami? Dia (SUK) jawab kami tiada arahan. Maka saya tanya polis, ini arahan siapa?

"Saya nak menunjukkan bahawa kehadiran polis dekat pintu masuk dewan juga ada, di luar dewan lagi ramai. Ada trak polis, bas polis, kereta polis, motor polis," jelasnya.

Menurutnya, kehadiran anggota polis yang ramai di dalam dan luar bangunan Perak Darul Ridzuan dilihat mencemarkan kemuliaan Dewan.

Pada hari ini, kira-kira 100 anggota polis berkawal di sekitar bangunan Perak Darul Ridzuan.

Malah, katanya pengamal media juga tidak dibenarkan bebas menjalankan tugas mereka sebaliknya 'dikurung' dalam ‘peti kaca’ (bilik media) sahaja.

“Inilah di antara ketidakyakinan mereka (Umno-BN) kepada persidangan itu sendiri. Walhal ini adalah titah Tuanku itu sendiri jadi biarlah media masuk. Jadi ini sepatutnya tidak berlaku," ujarnya dengan kesal.

Begitu juga dengan pandangan pihak luar yang berlaku di Perak ini termasuk ulasan pakar-pakar perundangan seperti Prof Dr Aziz Bari.

Memalukan! Itulah ungkapan pakar-pakar perundangan berhubung tindakan polis yang pernah mengheret keluar Speaker Dewan Undangan Negeri Perak bagi membolehkan Barisan Nasional menabalkan calon pilihannya sebagai pengganti setahun lalu.

Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Aziz Bari menyifatkan kejadian yang berlaku itu sebagai ‘detik hitam’ terbaru dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia.

“Apa yang kita lihat di Dun Perak pada hari ini sangat memalukan di segi demokrasi di negara kita.

“Saya fikir ini satu perkara yang salahnya BN sendiri kerana memulakannya. Mereka sepatutnya mengikuti peraturan dan amalan yang biasa dilakukan.

“Tindakan menggunakan anggota polis untuk mengusir keluar Speaker dan Adun daripada dewan merupakan peristiwa hitam dalam sejarah demokrasi dan hidup berpelembagaan di negara kita,” ujarnya.

Beliau turut membidas tindakan polis menceroboh masuk Dun Perak dan ‘mengheret’ keluar Spekaer V.Sivakumar dari Pakatan Rakyat.

Menurutnya, tindakan mematikan pembesar suara Sivakumar sejak awal lagi agak jelek dan tidak patut berlaku dalam sebuah demokrasi moden.

Secara keseluruhan Dr Aziz menegaskan bahawa apa yang dilakukan oleh Barisan Nasional adalah tidak betul.

Katanya, rampasan kuasa oleh Umno-BN dan tindakan susulan parti itu dalam cubaan ‘menghalalkannya’ amat tidak disenangi oleh rakyat.

Oleh itu, jika seperkara ini berlaku dan rakyat masih ‘tolol’ serta tidak boleh berfikir menggunakan otak sendiri. Maka, adalah lebih baik orang yang seumpama itu, rakyat seumpama itu dan pengundi seumpama itu ‘diserahkan’ sahaja kepada pihak “SPRM”?.

Ini kerana, hidup pun tiada guna kerana bukan sahaja memalukan bangsa dan agama tetapi lebih malu lagi dimurkai oleh Allah SWT. Jadi sebelum, mereka ‘dihumban’ oleh Allah Ta’ala ke dalam neraka biarlah terlebih dahulu ‘dihumban’ oleh SPRM.

NOTA: “HARIMAU MATI TINGGALKAN BELANG…MANUSIA MATI TINGGALKAN DOSA ATAU PAHALA”-kam.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top