BN Terengganu hilang fokus




BULAN lepas (Mac 2010), maka genaplah dua tahun pemerintahan kerajaan negeri dan pusat, kerajaan Pakatan Rakyat atau kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 yang diadakan pada bulan Mac 2008.

Keputusan PRU Ke-12 itu, menyebabkan ‘jantung’ kerajaan Umno-BN di seluruh Negara terhenti buat seketika dari berdenyut dan cukup nazak waktu itu.

Namun begitu, kerajaan Umno-BN masih bernasib baik kerana tali hayatnya di kalangan orang Melayu yang bodoh-bodoh di kampung-kampung dan pendalaman masih menyokongnya.

Hasilnya, rakan-rakan dalam BN terutama MCA, MIC, Gerakan dan sebagainya terus tenat, koma dan sukar untuk diselamatkan lagi.

Sebab itu, banyak kerusi-kerusi empuk BN yang diwakili oleh rakan-rakan kompunannya jatuh, patah dan tersungkur menyembah bumi pada PRU Ke-12 lalu.

Di Terengganu, Umno-BN masih kental dan liat kerana masih ada lagi orang-orang Melayu yang sebagaimana apa yang orang kata kepada Awang dan Awang cuma tolong sampaikan sahaja.

Jika ‘apa yang orang kata’ Umno-BN jahat…maka, Awang sebutlah Umno-BN itu jahat dan jika apa yang orang kata kepada Umno-BN itu bodoh. Maka, Awang tulis bodohlah di sini.

Baru-baru ini, Awang ada bertemu dengan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik yang kebetulan Awang hadir ke suatu program di Ma’ahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah Darul Iman, di Tok Jiring, Kuala Terengganu.

Awang sempat kemukakan beberapa persoalan tentang isu-isu semasa, politik dan perkembangan PAS Terengganu untuk menghadapi PRU Ke-13, akan datang.

Soalan (S): Dato’, setelah memasuki usia dua tahun pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12. Bagaimana senario politik di Terengganu hari ini?

Jawapan(J): Jika kita (rakyat) ambil umum di negeri Terengganu, saya rasa perkembangan sangat baiklah. Orang-orang hari ini, sudah boleh berdamping dengan PAS. Dalam membicarakan senario politik ini, kita kena melihat apa sebenarnya keadaan semasa yang kita anggap sebagai suatu kelemahan atau kejayaan. Kita (PAS) melihat tidak ada perkara besar yang dibawa oleh kerajaan sama ada hendak membaiki taraf hidup rakyat atau dalam soal hendak membenteras jenayah atau dalam hal yang berkaitan pendidikan yang berkaitan dengan akhlak secara langsung dengan akhlak pelajar dan sebagainya. Jadi apabila fokus yang diberikan oleh kerajaan dalam menyelesaikan masalah jenayah, akhlak, pendidikan dan sebagainya tidak berlaku, jadi boleh dikatakan politik yang sedemikian tidak boleh menyelesaikan masalah rakyat. Rakyat bertanya apa yang sebenarnya berlaku dalam negeri ini. Apakah fokus yang diberikan oleh pihak kerajaan. Hal pembangunan pun tidak jelas. Kita (PAS) akui memang ada perbelanjaan yang digunakan untuk mendapat pengaruh politik. Bantuan bulanan dari segi kebajikan atau orang tua tetapi perbelanjaan yang sedemikian hanya memberi ‘ikan’ dan bukan memberikan ‘kail’ kepada rakyat. Kita (PAS) juga melihat bagaimana kerajaan negeri Terengganu menguruskan wang yang ada dan pembangunan Dato’ Ahmad Said di Kenyir hampir RM300 juta. Apa fokus pembangunan di Kenyir itu yang sepintas lalu tidak ada bezanya dengan pembangunan Masjid Kristal, Monsun Cup dan sebagainya. Maka, senario politik yang ada sebenarnya ialah masih di peringkat politik kumpulan tertentu untuk hendak mengukuhkan kedudukan dan bukan kepada kepentingan politik untuk rakyat jelata. Ini yang dilihat semasa.

S: Bagaimana dengan prestasi serta kedudukan Umno-Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah kerajaan negeri hari ini dimata rakyat umumnya?

J: Rakyak sebenarnya menunggu dari zaman sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 di bawah pimpinan Dato’ Seri Idris Jusoh dan Dato’ Ahmad Said sekarang. Rakyat menunggu sebab janji yang diberikan itu. Di zaman Idris Jusoh dahulu hendak buat pembangunan yang tidak pernah dilihat dan memang ada sungguh iaitu Monsun Cup yang membelanjakan melebihi RM300 juta setahun dan kontraknya masih berjalan sampai sekarang (2010). Menurut laporannya, RM300 juta dibelanjakan melalui pengurusan di bawah Patrick Lim dalam masa tiga hari. Ini rakyat sangat tidak puas hati. Bila tiba Dato’ Ahmad Said pihak rakyat menunggu lagi. Jika di zaman Dato’ Seri Idris Jusoh diwar-warkan pembangunan dan sebagainya. Zaman Dato’ Ahmad Said rakyat tunggu tetapi nampaknya, Dato’ Ahmad Said tidak mampu hendak buat sesuatu dan mungkin tidak ada duit. Dan memang ada sedikit sebanyak duit yang diberikan sebagai peruntukan kepada negeri. Apa yang dikatakan ‘dana wang ehsan’ itu tidak boleh hendak dimasukkan dalam buku Bajet secara pasti, rakyat tahu ini. Jadi pembangunan yang berlaku di negeri Terengganu adalah pembangunan yang ‘diongkosi’ (tanggung) wang royalti yang mana pusat berkepentingan dalam konteks membangunkan Terengganu bagi tujuan politik peringkat pusat dan bukan untuk rakyat Terengganu. Dan Terengganu, sendiri dalam keadaan seperti itu tidak mendapat bahagian yang sebenar. Apa bahagian yang diperolehi oleh rakyat Terengganu dari apa janji yang dibuat oleh kerajaan pusat. Kononnya, untuk mengatasi masalah kemiskinan yang diwar-warkan tetapi angka kemiskinan sekarang meningkat sehingga kepada empat peratus lebih dari semasa kerajaan PAS memerintah Terengganu dahulu. Kerajaan PAS dahulu pernah turun hingga 10.5 peratus tetapi sekarang naik semula kepada 16 peratus. Ini semua dibaca dan dilihat oleh rakyat. Pandangan rakyat sekarang hendak melihat apa yang dibuat oleh kerajaan negeri dalam penyelesaian masalah kemiskinan.

S: Dari sudut keadilan dalam pengagihan bantuan serta kecaknaan kepada rakyat, bagaimana. Adakah berlaku secara adil dan saksama oleh kerajaan kepada rakyat di negeri ini?

J: Dia (Umno-BN) bergantung kepada dasar dan jika dasar kerajaan sudah tidak seimbang maka, pembahagian pun tidak seimbang dan ini berlaku rata-rata di peringkat kampung. Tidak jelas kepada orang ramai siapa yang berhak dan siapa yang tidak berhak. Bantuan pertanian, bantuan nelayan dan tender-tender jauh sekali kerana semua dibolot oleh orang-orang tertentu sahaja. Jangan hendak diharaplah di Terengganu dan ‘OneMalaysia’ tidak berlaku sama sekali di Terengganu ini. Masalah diskriminasi terus berlaku di peringkat bawah dan ini peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di peringkat bawah.

S: Isu royalti nampaknya belum ada penyelesaian di Terengganu. Pandangan Ustaz kenapa?

J: Saya rasa kerajaan negeri tidak mampu lagi hendak mengembalikan royalti kepada negeri. Walau pun, Dato’ Ahmad Said ada usaha dan kita (PAS) menyokong penuh usaha yang dibuat atas nama rakyat. Sebab, kita (PAS) kira apabila kerajaan pusat merampas hak royalti itu bukan hak dia (pusat). Itu dia (Umno-BN) rampas hak rakyat Terengganu. Apabila Dato’ Ahmad Said kata dia pun tidak bersetuju dengan langkah yang dibuat oleh pusat, dan dia hendak royalti itu dikembalikan. Kita (PAS) sokong atas nama rakyat dan negeri, atas nama PAS dan bukan kita hendak menentang sepertimana Umno menentang apabila kerajaan pusat memberi royalti pada tahun 2000. Kemudian, Umno membuat desakan di Perhimpunan Agung Umno sehingga membawa kepada penarikan royalti. Kita (PAS) tidak begitu, kita (PAS) hendak royalti dikembalikan dan ini apa yang kita harapkan. Apabila royalti tidak dikembalikan sehingga sekarang dan tidak ada bayangan pun royalti itu akan dikembalikan. Maka, saya mengharapkan agar rakyat sekarang ini mengembalikan perpaduan mereka, pakatan mereka untuk bersama-sama dengan parti Islam (PAS) untuk menuntut hak royalti dalam bentuk apa sekali pun dan tentulah pada kali ini, kita (rakyat) mengira kerajaan pusat mungkin dia (Umno-BN) dahulunya dia buat begitu rakyat anggap bila Umno-BN menang Terengganu royalti itu akan dikembalikan semula. Ternyata, sekarang tidak boleh balik (royalti) dan apakah rakyat hendak pilih (undi), masa PAS pun tidak boleh royalti dan masa Umno pun tidak boleh royalti. Saya ingat kekuatan akan ada jika rakyat memberi sokongan kepada PAS untuk kita (PAS) memperjuangkan hak royalti ini. Kita berjanji, kita (PAS) akan terus berjuang dan kes mahkamah akan kita teruskan dengan tuntutan hak rakyat.

S: Apabila royalti disekat dan digantikan dengan ‘dana khas’. Apakah dia tidak sama dengan royalti yang sepatutnya rakyat Terengganu perolehinya?

J: Dana Khas tidak ada jumlah yang tertentu yang diberikan seperti mana janji royalti lima peratus. Dana Khas itu atas ehsan pusat dan bukan dengan kuasa kerajaan negeri yang boleh menguruskan duit itu. Dan Dana Khas ini disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) atau di Terengganu juga melalui KETENGAH atau diurus terus oleh agensi pusat dan kementerian-kementerian tertentu. Jadi, bagaimana kita (rakyat) hendak samakan dengan royalti. Sebab tidak ada kuasa peringkat negeri untuk mentadbirkan wang itu dan wang itu juga tidak disalurkan kepada Kumpulan Wang Yang Disatukan di negeri Terengganu. Ini sebenarnya, pencabulan yang tidak boleh dimaafkan dan mesti sekarang rakyat sedar dan memperjuangkan hak ini. Kezaliman yang dahsyat dan kezaliman yang tidak boleh berlaku dalam sebuah negara federal yang ada negeri-negeri dibawahnya. Dan satu kezaliman kerana tidak menghormati sama sekali Perlembagaan, tidak menghormati perjanjian, tidak menghormati kerajaan dan tidak menghormati rakyat. Dan tidak juga menghormati kuasa rakyat. Jika dahulu dia (Umno-BN) rampas kerana Terengganu diperintah oleh PAS dan sekarang negeri telah diperintah oleh Umno-BN Terengganu, beri baliklah. Jika dahulu hendak dikenakan hukuman kepada PAS, hukumlah sekejap. Berilah hak balik…ini tidak.

S: Terengganu juga masih ‘lembab’ perubahan sikap di kalangan rakyat berbanding negeri-negeri di pantai barat. Kenapa pada pendapat Ustaz?

J: Perubahan sikap orang Melayu di pantai barat, pantai timur, utara dan selatan semuanya hampir sama sahaja. Tetapi ada kesan yang agak baik kepada orang Melayu terutama di kawasan Bandar. Saya harap dengan peranan media baru, media alternatif, pegawai-pegawai kerajaan, golongan intelektual yang hendak melihat keadilan berlaku, saya harap sikap ini akan berubah. Dan orang Melayu di Terengganu ini sebenarnya dia (rakyat) orang miskin dan jika ada anak-anak yang jadi pegawai pun anak-anak dari generasi pertama yang menjadi pegawai kerajaan. Dan jika, yang berjaya dalam perniagaan pun, generasi yang awal yang mendapat habuan selepas dari kemerdekaan hasil daripada perkembangan yang berlalu. Harapan kepada rakyat sekarang untuk mengembali dan rakyat sedar, sikap rakyat, rakyat berubah dan kita minta rakyat fikir sungguh-sungguhlah. Sebab, tidak akan berubah jika tidak ada kesungguhan dari rakyat untuk berubah. Sebab, politik bermakna kuasa dari orang ramai.

S: Harapan ustaz kepada rakyat dan pengundi terutamanya dalam PRU Ke-13 akan datang?

J: Pertama, saya harap rakyat kena belajar daripada perkara yang berlaku dan jangan hanya mendengar slogan-slogan dari media, percakapan-percakapan politik dari Umno-BN dan kita (rakyat) mesti tengok kepada realitinya. Cuba tengok keadaan muda-mudi kita sekarang yang sangat menyedihkan. Kita kena tengok bagaimana akhlak umat hari ini untuk melihat sesebuah pemerintahan itu berjaya. Apa kualiti muda-mudi kita sekarang ini. Apa kualiti hidup masyarakat semasa (zaman) kita sekarang ini. Apakah memiliki suatu daya untuk mereka berubah. Saya harap supaya rakyat berfikir secara mendalam dan membuat pilihan yang tepat dalam pilihan raya akan datang. PAS, kita hendak beritahu kepada orang ramai bahawa PAS adalah parti rakyat. Parti yang memperjuangkan Islam, parti yang memperjuangkan keadilan. PAS tidak berkepentingan untuk pemimpin, untuk peribadi pemimpin dan ini sudah terbukti di Kelantan, di Terengganu, di Kedah dan di negeri-negeri lain. PAS tidak ada yang ‘melompat’. Oleh kerana itu, kejujuran yang ada pada PAS adalah untuk rakyat. Dan rakyat insya’Allah, kita (PAS) harap mereka berfikir sebaik-baiknya.

Kesimpulannya, Awang harap rakan-rakan pembaca sekalian boleh menilai dan memahami sendiri apa yang diperkatakan oleh Ustaz Abu Bakar tadi dan jika betul kita ikut dan sokong…dan jika tidak betul, kita perbetulkan apa yang tidak betul dan salah itu.

SEKIAN JUMPA LAGI

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top