Dalam sejarah pilihan raya PAS Terengganu pernah dua kali memerintah negeri ini iaitu pada Pilihan Raya Pertama tahun 1959 dan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-10 tahun 1999.
Ini bermakna, PAS Terengganu terpaksa bersabar dan menunggu masa yang agak lama iaitu 40 tahun untuk kembali memerintah negeri selepas ditumbang oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu.
Apa pun alasannya, Awang angkat ‘tabik’ kepada Umno-BN atas kepandaiannya sama ada dengan cara ‘menipu’ atau ‘khianat’ BN boleh kembali berkuasa di negeri ini.
Mengikut sejarah politik tanahair ini, apa yang berlaku ke atas kerajaan Pakatan Rakyat di Perak di bawah kepimpinan Menteri Besarnya ketika itu, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin adalah sama dengan apa yang terjadi di Terengganu dahulu.
Taktik rampasan kuasa melalui ‘beli’ wakil rakyat, ‘ugut’ wakil rakyat adalah sama kerana datangnya dari Umno-BN yang ‘haprak’ itu.
Maka, teringatlah Awang akan kata-kata ucapan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mendakwa kerajaan PAS Terengganu ‘disembelih’, dirampas royalti minyak dan ditekan habis-habisan kerana ingin menegakkan hukum Islam.
Katanya, kerajaan PAS Terengganu mempunyai kekuatan asas yang kuat tetapi rakyat yang lemah serta mudah terpedaya.
“Kita (PAS) ‘disembelih’, dirampas royalti minyak, dihentam habis-habisan kerana kita telah berjaya meletakkan satu asas yang kukuh.
“Kita luluskan Syariat Islam, Undang-undang Islam, hukum Islam, Tuanku Sultan tandatangan dan menjadi Undang-undang yang diwartakan. Tuhan bagi pahala.
“Kita sudah menguasai kerajaan tetapi rakyat kita lemah. Dengan sebab itu, jika kita balik (menang) semula kita sudah ada asas. Ini keistimewaan kita di Terengganu,” tegasnya.
Sehubungan itu, katanya Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 juga semakin hampir dan PAS perlu bersedia dari sekarang.
Menurutnya, telah terdapat tanda-tanda pilihan raya semakin dekat dan akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.
“Bekerjalah kita (PAS) dengan yakin dan bertawakkal kepada Allah SWT. Pilihan raya akan diadakan bila-bila masa.
“Sekarang sudah ada tanda-tanda pilihan raya semakin dekat. Kita kena bersedia daripada sekarang,” tegasnya ketika berucap merasmikan Jentera PRU Ke-13 Peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tunggal, di Masjid at-Taqwa Batu Enam, baru-baru ini.
Menurutnya, amalan demokrasi merupakan kaedah umum yang dipilih secara aman dengan menyertai pilihan raya.
Katanya, kaedah demokrasi peluang memujuk orang ramai agar menerima dan memilih perjuangan Islam.
“Di sinilah, kita (PAS) mengambil kelebihan demokrasi kerana memujuk orang supaya menerima perjuangan Islam. Pahalanya, sangat besar. Kita pilih demokrasi kecuali orang tutup demokrasi seperti di Afghanistan dan di Palestin.
“Apa lagi, kita berhadapan dengan orang Melayu, waris-warah kita, kaum keluarga kita yang beragama Islam. Mereka sayang kepada Islam tetapi tidak ‘reti’ (faham) Islam. Kita kena sabar untuk mengajak dan memujuk mereka,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mengingatkan ahli PAS agar bekerja dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan bagi mendapat pertolongan dari Allah SWT.
“Ini bukan kaedah perang tetapi kaedah umum. Jika kita sungguh-sungguh, kita ikhlas. Allah Ta’ala akan tolong kita, macam Allah Ta’ala tolong kita tahun 1959 memerintah dua tahun setengah.
“Kemudian tolong kita lagi tahun 1999, memerintah satu penggal empat tahun. Dan kita telah berjaya meletakkan asas (perundangan Islam) di Terengganu.
“Kelantan tidak boleh buat, Kedah tidak boleh buat, Perak tidak boleh buat. Terengganu kita (PAS) boleh buat. Kita memerintah dalam masa empat tahun, kita telah meletakkan hukum tertinggi al-Quran, Hadis, Ijma’-ulama’ dan Qias,” jelasnya.
Hadir sama pada majlis tersebut Yang Dipertua PAS Kuala Nerus, Ustaz Abu Bakar Abdullah, Naib Yang Dipertuanya, M.Syukrimun Shamsuddin dan Ketua Pemuda PAS Kuala Nerus, Ustaz Ridhuan Hasyim.
Ustaz Abdul Hadi turut melakukan gimik perasmiannya dengan menandatangani kesemua bendera PAS yang diserahkan kepada setiap Unit Peti Undi (UPU) serta penyerahan buku kerja persiapan menghadapi PRU Ke-13.
“ZAMAN POLITIK SUKU AGAMA SUKU TELAH BERAKHIR…”
0 comments:
Catat Ulasan