‘Sentuh’ perasan rakyat

Salam For All;-

Sentuhan perasaan melalui aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan adalah perlu selain menyampaikan ilmu melalui kuliah dan ceramah dalam membuat suatu perubahan di kalangan umat Islam.


Sebab itulah timbulnya peribahasa Melayu ‘hati batu’ yang merujuk kepada sejenis manusia yang degil, tidak dengar kata nasihat dan sukar berubah.


Maknanya, manusia yang ‘berhati batu’ ini jika kita beri tegus nasihat pun dia tidak peduli dan masih berpegang dengan pendirian bodoh dan bebalnya.


Ada kalanya, manusia ini sukar kita tegur dengan nasihat lemah-lembut tetapi ‘termakan’ dengan teguran secara kekerasan atau amaran.


Ada kalanya, juga manusia itu kita tidak boleh tegur dengan kekerasan dan dia akan jadi lebih jahat, degil dan bodoh-sombong tetapi ‘termakan’ dengan cara berinteraksi secara khidmat masyarakat.


Apa yang hendak Awang sentuh di sini, dalam konteks politik di Malaysia dan khususnya di negeri Terengganu tanahairku.


Kekuatan politik antara dua buah parti Melayu iaitu PAS yang berteraskan Islam sebagai dasar parti dengan Umno yang berideologikan nasionalisma kebangsaan kemelayuan.


Kedua-dua parti ini sebenarnya, sama kuat dan sama-sama dapat sokongan dan dokongan orang Melayu Islam baik lelaki, perempuan, ustaz-ustazah, pemuda dan wanita.


Maka, yang memenangkan kedua-dua parti ini sebenarnya golongan ‘atas pagar’ (yang tidak berparti) yang melihat peluang parti mana yang hendak diberi undi.


PAS sememangnya, sebuah parti yang berteraskan agama untuk mengawal dan untuk menyuntik semangat perjuangan kerana ada cita-cita hendak ‘mati syahid’…Insya’Allah.


Manakala, Umno pula sebuah parti yang berteraskan nasionalisma kebangsaan kononnya ‘Melayu’ itu dasar perjuangannya. Wal hal…nasib orang Melayu sekarang ini pun semakin terhakis dan lemah.


Kelebihan Umno adalah ‘senjata’ duit, wang ringgit, kebendaan dan keperluan hawa nafsu manusia yang sementara di dunia ini. Dengan ‘senjata’ tersebut semua boleh beli termasuk ‘undi pilihan raya’ setiap rakyat.


Oleh yang demikian, PAS tidak mempunyai kekuatan kewangan dan kekurangan ‘senjata’ seperti itu tetapi mempunyai ‘senjata’ ilmu agama dan ilmu Islam.


Islam dan kebajikan sebenarnya tidak boleh dipisahkan. Dan Islam boleh menang dengan kerja-kerja kebajikan bagi ‘menambat’ serta ‘menawan’ hati rakyat dan pengundinya. Itulah, ‘senjata’ Parti Islam Se-Malaysia (PAS).


Oleh itu, peranan Jabatan Amal di bawah Dewan Pemuda PAS adalah penting dalam perjuangan untuk menegakkan Islam khususnya di kalangan pemuda-pemuda Islam.


Awang pernah dengar satu ucapan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menjelaskan bahawa masyarakat Islam hari ini berada dalam ‘kebanjiran’ pelbagai fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam.


Peranan unit amal sangat penting dalam perjuangan menegakkan cita-cita Islam yang memerlukan penglibatan khususnya kalangan muda yang menjadi pelapis kepada perjuangan (PAS) ini.


“Kita (PAS) perlu melakukan ‘sentuhan’ kepada perasaan mereka (rakyat) supaya bersama dengan perjuangan ini dengan melakukan khidmat-khidmat dan sumbangan-sumbangan kebajikan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Makan Malam Dana Jabatan Amal Negeri Terengganu di Restoram Suriarasa, Rusila, Marang, dekat sini.


Sehubungan itu, katanya PAS telah berjaya menubuhkan sebuah cawangan sewaktu kempen pilihan raya kecil parlimen Sibu di Sarawak.


Menurutnya, apa yang menarik di antara kalangan yang menyertai PAS dalam cawangan yang ditubuhkan itu adalah keluarga kepada asSyahid Rosli Dhobi.


“Barang kali banyak di kalangan kita (rakyat) tidak kenal siapa Rosli Dhobi dan kepada mereka Rrakyat) yang membaca sejarah pun terlupa juga siapa Rosli Dhobi.


“Dia (Rosli) ialah seorang pemuda Islam dari Sarawak yang berusia sama seperti unit amal, usianya 17 tahun yang berjaya membunuh Gebenor British di Sarawak pada tahun 1940.


“Dia (Rosli) telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati bersama dengan empat orang rakan-rakannya kerana kesalahan membunuh Gabenor British.


Ustaz Abdul Hadi menjelaskan dalam usianya mengikut undang-undang tidak boleh dijatuhkan hukuman kerana belum sampai usia 18 tahun tahun.


Maka, katanya dengan sengaja diubah kad pengenalan beliau agar boleh dijatuhkan hukuman mati.


“Dia (Rosli) tidak ada anak kerana usianya terlalu muda. Dia (Rosli) seorang guru yang terlalu muda di zaman itu. Tahun 40-an, lulus darjah lima boleh jadi guru.


“Masa (tahun 40-an) itu tidak ada parti politik tetapi dia (Rosli) benci kepada penjajah. Itulah yang boleh dia (Rosli) buat dan dia telah ‘syahid’ dan nama dia (Rosli) dipahat dalam sejarah perjuangan Islam di tanahair kita (Malaysia),” jelasnya.


Namun begitu, katanya ramai yang tidak mengetahui perjuangan tersebut kerana telah dikelirukan oleh Umno yang mengatakan hanya mereka (Umno) yang berjuang untuk orang Islam.


Apa yang hendak disimpulkan bahawa khidmat kebajikan sangat penting kerana boleh menjinakkan hati-hati manusia. Dan tidak menjadi kesalahan jika kita berbuat baik dan tolong-menolong sesama manusia.


Sebab itu, orang barat yang tidak beragama atau bukan dari kalangan beragama Islam pun berebut-rebut untuk membuat kebajikan. Pelbagai usaha dilakukan dan mereka ambil dari ajaran agama Islam sebenarnya.


Syeikh Yusuf al-Qardawi pernah berkata; “Islam masa kini banyak di negara barat tetapi mereka (manusia) tidak beriman kepada Allah SWT, tetapi yang sedihnya di negara umat Islam pula iman ada tetapi Islam berkurangan”.


Maknanya, di negara barat nilai-nilai Islam ada seperti mereka benci rasuah, penipuan dan sebagainya tetapi mereka itu tidak beriman kepada Allah SWT. Manakala, di negara orang Islam pula mereka beriman kepada Allah Ta’ala tetapi tetapi nilai-nilai Islam tidak diamalkan.


Oleh itu, untuk kita menarik orang ramai kepada Islam tanpa mengira fahaman politik, bangsa, agama dan keturunan. Pendekatan kebajikan merupakan pendekatan kemanusiaan yang harus digunakan untuk menjinakkan hati manusia kepada Islam.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top