Mat Said ‘marah’ kerajaan pusat

Salam For MB Terengganu;-


Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu dengan lantang membidas kegagalan kerajaan pusat terhadap Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kerja Raya (JKR).


Kekesalan Terengganu terhadap dua kementerian terbabit apabila mengulangi masalah dewan bedah di Hospital Setiu yang gagal disiapkan selama tujuh tahun beroperasi di negeri ini.


Menteri Besarnya, Dato’ Ahmad Said berkata ahli Exco Kerajaan Negeri turut melahirkan rasa terkilan dengan masalah dewan bedah di Hospital Setiu yang gagal disiapkan dalam tempoh tujuh tahun.


“Kita (kerajaan) sekali lagi merasa terkilan dengan apa yang berlaku di Hospital Setiu setelah tujuh tahun hospital ini disiapkan tetapi dewan bedahnya tidak dapat digunakan.


“Saya dimaklumkan, ‘design’ bumbung (bangunan) ini juga sebenarnya gagal memenuhi spesifikasi yang diperlukan hingga menjadikan bumbungnya itu tempat tangkungan air, berlaku kebocoran dan sebahagian besar kayu rosak,” jelasnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, 26 Mei lalu.


Ini katanya, bukan sahaja merugikan kerajaan dari segi kewangan tetapi faedah untuk rakyat tidak dapat digunakan setelah hampir tujuh tahun hospital siap.


Awang sebagai rakyat Terengganu juga menyokong ‘kemarahan’ Mat Said kerana sikap sambil-lewa kerajaan BN Pusat terhadap rakyat Terengganu.


Kenapa buat dewan bedah sahaja hingga mengambil masa hingga tujuh tahun. Adakah Hospital Setiu itu bakal mendapat dewan bedah tercanggih dalam dunia?


Atau mungkin, kerajaan pusat (BN) fikir Hospital Setiu tidak layak untuk mendapat sebuah dewan bedah kerana rakyat Setiu dan pengundi di Setiu pernah menolak kerajaan BN Terengganu pada tahun 1999 yang lalu.


Maka, dendam politik masih membara dan meski pun telah masuk dua penggal kerajaan BN memerintah kembali Terengganu. Projek tersebut masih berat untuk dilaksanakan kerana pusat terasa hati dengan pengundi Setiu.


Atau, sememangnya kerajaan BN Pusat menganggap kerajaan BN Terengganu di bawah pimpinan MB Mat Said ini ‘duduk’ kelas tiga dan tidak perlu dilayan sangatlah.


Sehinggakan, beliau (Mat Said) menyifatkan masalah tersebut sebenarnya akibat kegagalan kerajaan pusat mengambil tindakan proaktif meski pun sering kali dibangkitkannya.


Menurutnya, rakyat menjadi ‘mangsa’ masalah tersebut kerana tidak dapat melakukan pembedahan di Hospital Setiu dan terpaksa dibuat di Kuala Terengganu, Besut atau Kota Bharu.


“Inilah merupakan kegagalan ‘kita’ (kerajaan pusat) yang menyebabkan kita (kerajaan negeri) merasa terkilan kenapa setelah begitu lama tujuh tahun dan pihak yang bertanggungjawab tidak mengambil tindakan yang serius.


“Perkara (dewan bedah) ini, pernah saya bangkitkan pada bulan Januari 2010 lalu dan belum dapat diselesaikan hingga kini.


“Ini menggambarkan kegagalan kita (pusat) mengambil tindakan pro-aktif dan rakyat menjadi mangsa kerana tidak dapat melakukan pembedahan di Setiu dan terpaksa ke Kuala Terengganu, Besut atau Kota Bharu,” ujarnya.


Katanya, masalah yang sama pernah berlaku kepada Hospital Besut kerana ketiadaan dewan bedah selama 9 tahun dan baru dapat diselesaikan.


“Kes (dewan bedah) yang sama pernah berlaku di Hospital Besut selama 9 tahun dan baru boleh digunakan tahun 2009 lalu. Hospital Kuala Terengganu empat lima tahun, Hospital Kemaman pun begitu juga semua gagal,” bidasnya.


Dato’ Ahmad menyifatkan kegagalan menyiapkan dewan bedah tersebut akibat kecuaian serta sikap tidak bertanggungjawab pihak berkenaan.


Ini kerana, katanya masalah tersebut melibatkan kerajaan pusat melalui dua Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kerja Raya (JKR).


“Saya (Ahmad) tidak boleh maafkan perkara-perkara ini berlaku kerana bukan sahaja kerajaan rugi tetapi membazirkan wang kerajaan. Pihak terbabit itu cuai dan tidak bertanggungjawab bagi saya (MB).


“Ini melibatkan kerajaan pusat, hospital di bawah kerajaan pusat, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kerja Raya (JKR). Kementerian Kesihatan sebagai pemilik bangunan itu dan JKR pula sebagai agensi pelaksana,” tegasnya.


Masalah dewan bedah tersebut berlaku akibat air bertakung di tengah-tengah bumbung dewan bilik bedah serta lubang untuk membuang air itu jauh.


MB Terengganu itu turut mendedahkan apabila air bertakung berlaku ‘rejatan’ (menyerap) dan masuk ke dewan bedah.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top