‘Perginya’…Ustaz Ghazali Ahmad


Salam Perpisahan:-


TANGGAL 26 Mei 2010,…ketika Awang sedang minum pagi sambil menunggu seorang sahabat iaitu Saudara Din Umat (Aminuddin Umat) untuk dapatkan tandatangannya berkaitan dengan daftar pertubuhan.

Ketika sedang ‘menikmati’ minuman kopi radix dengan laksan, Awang diberitahu oleh sahabat tadi yang dia (Din) dalam perjalanan hendak melawat (ziarah) orang mati (meninggal dunia).

Dia (Din) beritahu, yang meninggal dunia adalah seorang veteran PAS lama yang pernah jadi calon PAS serta beberapa jawatan penting dalam parti PAS Setiu.

Beliau ialah, Ustaz Ghazali Ahmad, 79, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Darat Batu Rakit setelah enam tahun terkena ‘serangan’ penyakit ‘stroke’ (angin ahmar).

Allahyarham Ustaz Ghazali merupakan bekas Bendahari PAS Setiu serta pernah menganggotai Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Terenggganu pada tahun 90-an.

Beliau disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.30 pagi Rabu 26 Mei 2010 lalu dihadapan isterinya, Puan Wan Ramlah Dato’ Dahlan, 70, serta anak menantu.

Anak bongsu allahyarham, Saudara Ahmad Fazlillah, 29, berkata ayahnya mengidap penyakit ‘stroke’ (angin ahmar) enam tahun lalu sejak September 2004.

Katanya, ‘serangan’ angin ahmar tersebut terkena di bahagian pangkal leher serta tulang belakang hingga menyebabkan terlantar sakit.

“Allahyarham, lama sakit sejak enam tahun lalu dan dia (ayah) mengidap ‘stroke’ (angin ahmar) bermula pangkal leher, tulang belakang hingga ke kaki.

“Sejak beberapa hari lalu keadaan allahyarham semakin tenat dan meninggal dunia dihadapan ibu (Wan Ramlah) saya dan anak menantu,” ujar ketika ditemui Harakah di rumahnya.

Menurutnya, allahyarham meninggal 11 orang anak melalui perkongsian hidup dengan dua isteri yang berasingan.

Sementara itu, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham semoga dicucuri rahmat bersama dengan perjuangan Islam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS (II) Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata allahyarham Ustaz Ghazali merupakan tokoh veteran PAS lama yang istiqamah dalam perjuangan.

“Saya kenal dengan Allahyarham (Ustaz Ghazali) lama dan pernah suatu ketika bermesyuarat dan berceramah bersama beliau.

“Kami (PAS Terengganu) merasa sedih dan cukup ‘terasa’ akan kehilangan seorang tokoh veteran PAS yang disegani ini,” ujarnya ketika ditemui selepas menziarahi jenazah allahyarham Ustaz Ghazali.

Menurutnya, allahyarham (Ustaz Ghazali) juga seorang yang istiqamah dan gigih bekerja untuk parti sehingga beliau jatuh sakit.

Haji Wahid ini tiba di rumah allahyarham lebih kurang 10 minit kemudian sikit dari Awang yang turut hadir menziarahi jenazah Ustaz Ghazali itu.

Sahabat Awang pula, Saudara Aminuddin Umat kebetulannya sebagai Setiausaha PAS Kawasan Setiu dan turut menyifatkan pemergian allahyarham Ustaz Ghazali merupakan suatu ‘kehilangan’ besar kepada perjuangan parti.

Katanya, sebagai tokoh veteran PAS yang lama dalam parti sudah tentu mempunyai banyak pengalaman.

“Pemergian ‘arwah’ (Ustaz Ghazali) merupakan satu kehilangan besar kepada parti yang mempunyai banyak ilmu politik.

“PAS Setiu merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham Ustaz Ghazali semoga redha dengan takdir-Nya,” ujarnya.

Solat jenazah diadakan pada jam 2.00 petang serta selamat di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Rakit, dekat sini, 26 Mei 2010 lalu.

Antara pimpinan PAS Terengganu yang hadir menziarahi jenazah allahyarham iaitu Timbalan Pesuruhjaya (I) dan (II) PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik, Mohd Abdul Wahid Endut, Yang Dipertua PAS Setiu, Ustaz Mohd Pauzi Muda dan ramai lagi.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top