Ilmu Agama Penyelamat Ummah

Salam dari mimbar:-


SESUNGGUHNYA…dalam Islam proses pencarian ilmu berlangsung sepanjang hayat bermula sejak manusia dilahirkan hinggalah ia meninggal dunia.


Manusia perlu didedahkan dengan ilmu terkini bagi membolehkan mereka menangani isu-isu, realiti baru dan cabaran semasa yang sedang dihadapi.


Melalui ilmu juga manusia ditransformasikan menjadi pintar, bijaksana, berhemah, berdaya maju dan berwawasan serta dapat melahirkan pemikir-pemikir yang akan mendokong perjuangan Islam.


Baru-baru ini, kebetulan Awang singgah untuk menunaikan solat Jumaat di sebuah Masjid Pengadang Baru, jalan utama Kuala Terengganu ke Kuala Berang.


Masjid tersebut berwarna ‘hijau’ yang dikatakan siap dibina ketika kerajaan PAS Terengganu memerintah negeri ini dari tahun 1999 hingga 2004.


Awang juga diberitahu oleh para jemaahnya…masjid ini juga sebenarnya di bawah ‘jajahan takluk’ parti pembangkang PAS. Sebabnya, barang kali orang-orang Umno-BN setempat kurang sembahyang dan malas ke masjid.


Kebetulan pula, pada hari itu (Jumaat) tok khatibnya adalah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Beliau merupakan seorang ulama’ serta pemimpin sebuah jemaah Islam yang hebat di dunia Islam hari ini.


Sekali-sekala, sedap juga telinga ini mendengar khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Tok Guru Terengganu. Sebabnya, jika di negeri Serambi Mekah orang Kelantan selalu juga mendengar khutbah Tok Guru Kelantan.


Pada hari tersebut, yang Awang ingat dari ucapan Ustaz Abdul Hadi itu mengingatkan umat Islam akan kepentingan mempelajari ilmu agama berlandaskan al-Quran dan Hadis-hadis Rasul SAW.


Ini kerana, katanya ilmu agama Islam adalah jalan untuk meneguhkan umat Islam agar sentiasa beramal dengan ajaran Islam yang betul sebagaimana terkandung di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Nabi SAW.


Menurutnya, musuh-musuh Islam mengambil kesempatan dari kelemahan umat Islam dengan cara melemahkan pengajian ilmu agama serta melemahkan semangat umat Islam menuntut ilmu agama.


“Allah SWT menurunkan agama Islam yang sempurna, agama Islam yang lengkap. Ia-Nya, sempurna menyempurna antara satu sama lain sehingga seluruh kehidupan kita (manusia) diatur dan ditunjuk oleh ajaran agama Islam.


“Bukan sahaja, hubungan kita (manusia) dengan Allah SWT termasuklah hubungan dengan diri kita sendiri, hubungan kita dengan keluarga kita, hubungan kita dengan masyarakat, hubungan kita dengan negara, hubungan kita dengan politik, hubungan kita dengan ekonomi, hubungan kita dengan perundangan, hubungan kita dengan seluruh cara hidup,” jelasnya.


Menurut Ustaz Abdul Hadi hubungan tersebut merangkumi semua aspek sama ada diperingkat negara mahu pun antarabangsa kerana semuanya terkandung di dalam al-Quran yang sempurna dan lengkap.


Namun begitu, katanya akhir-akhir ini terdapat suara-suara sumbang yang menyatakan bahawa umat Islam tidak perlu lagi mendalami dalam perkara agama jika mahu menjadi umat yang maju.


“Mereka cukup maju dalam bidang sains dan teknologi, tidak perlu mendalami Islam ‘panjang-panjang’ dengan cara huraian yang sepenuhnya.


“Mereka tidak sedar bahawa, seluruh kehidupan dunia ini mestilah dipandu oleh ajaran Islam,” tegasnya.


Menurutnya, tidak ada perkara yang tidak boleh dipandu oleh ajaran Islam bermula dari makan-minum, membersihkan diri dari najis, memakai pakaian, berniaga, bercucuk-tanam dan seluruh kehidupan mestilah berpandukan dengan ajaran Islam.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa banyak hukum-hakam yang berkait dengan cara hidup telah dirombak dan dirungkai hari ini.


Katanya, manusia sibuk dengan urusan duniawi hingga tidak lagi mengikut petunjuk dari al-Quran dan hadis Nabi SAW.


“Banyak orang sibuk dengan urusan duniawi hingga tidak lagi mengikut petunjuk al-Quran. Mereka (manusia) tidak peduli dengan hukum Allah yang ada dalam al-Quran dan Hadis Nabi SAW.


“Hukum-hakam (perundangan) yang berkait dengan cara hidup dirombak dan dirungkai dan yang terakhir dirombak ialah sembahyang,” ujarnya.


Justeru itu, kata Dato’ Seri Abdul Hadi setiap orang Islam sekurang-kurangnya fardhu ain wajib mengetahui perkara-perkara dasar di dalam ajaran agama Islam.


Menurutnya, perkara yang berkait dengan iman, ibadah, makan-minum, pakaian, halal-haram serta pergaulan lelaki dan perempuan.


“Tiap-tiap orang (Islam) sekurang-kurang fardhu ain mesti (wajib) tahu perkara dasar dalam ajaran Islam.


“Perkara yang berkait dengan iman yang membatalkan iman, yang berkait dengan ibadah dan membatalkan ibadah, yang berkait dengan makan-minum, pakaian dan mana yang halal dan haram.


“Berkait dengan pergaulan (lelaki dan perempuan), mana yang boleh dan mana yang tidak boleh, wajib diketahui oleh tiap-tiap orang penganut Islam,” jelasnya.


Dalam masa yang sama, kata beliau hendaklah melahirkan kumpulan orang yang mendalami ilmu agama agar ilmu Islam terpelihara dan dijaga dengan sebaik-baiknya.


Tambahnya, dalam masa yang sama dapat memelihara umat Islam agar sentiasa berada di atas petunjuk dan ajaran Islam yang sebenar.


Oleh itu, kita (umat Islam) diingatkan supaya sentiasa mendampingi alim-ulama’ yang sudah pasti mempunyai ilmu yang banyak serta tahu hukum-hakamnya.


Namun begitu, perlu juga kita ingat bahawa alim-ulama’ dan ustaz-ustaz yang duduk dalam parti UMNO sebenarnya tidak jujur pada agama dan ilmu Islamnya.


Apa tidaknya….yang halal boleh jadi haram dan yang haram boleh jadi halal. JUDI HARAM boleh jadi JUDI HALAL…asal ada lesen. Dan yang berkuasa menghalalkan yang haram hanyalah kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) sahaja.


Mana ada kita dengar sehari dua ini di kalangan ‘Tok Peti’ (Mufti) Umno atau ‘Ustaz Umno’ atau ‘Alim-Ulama’ Umno yang berani berkokok kata JUDI BOLA HARAM.


Sebabnya, ‘mulut-mulut’ mereka yang tahu agama itu sebenarnya telah ‘disumbat’ dengan ‘al-pulus wal-mampus’ (Duit) dan mereka tidak berani menegur kerajaan kerana takut hilang pekerjaan, jawatan dan pendapatan.


‘Apa Yang Penting….CARI MAKAN’, kata budak-budak yang belajar tidak tinggi tetapi menyokong jemaah dan perjuangan Islam yakni P.A.S….

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top