Salam Untuk Bangsaku;-
BENARKAH…? Kesedaran untuk membuat perubahan dalam pemerintahan di kalangan orang-orang Melayu Islam di negara ini sangat lemah dan terlalu lemah.
Bahkan, mereka (Melayu) tidak berfikir langsung tentang kewajipan memerintah negara berbanding di kalangan orang bukan Islam.
Sejak keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu, perubahan sikap di kalangan pengundi bukan Melayu khususnya kaum Tionghua (Cina) dan Hindu (India) amat memberangsangkan.
Maknanya, pengundi Cina dan India telah mula menolak parti kompunan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Umno.
Boleh dikatakan, hampir kesemua pilihan raya kecil yang diadakan selepas PRU tahun 2008 undi bukan Melayu memihak kepada Pakatan Rakyat yang disertai oleh PAS, PKR dan DAP.
Namun begitu, peratusan undi Melayu tidak banyak berubah dan kadang-kalanya terus meningkat serta memihak kepada Umno-BN atau MIC-BN.
Hatta, kepada rakyat dan pengundi di Sarawak sekalipun yang terdiri dari kalangan orang Cina dan Bumiputra sudah mula membuat perubahan sikap serta hilang keyakinan kepada kepimpinan BN.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Islam memerlukan satu pemerintahan yang boleh melindungi masyarakat dan manusia dengan syariat agama Allah SWT.
“Kita (PAS) memerlukan satu pemerintahan yang melindungi masyarakat dan manusia dengan syariat agama Allah SWT.
“Malangnya, dalam negara kita (Malaysia) hari ini kesedaran untuk membuat perubahan dalam pemerintahan di kalangan orang Melayu Islam sangat lemah dan terlalu lemah.
“Mereka (orang Melayu) tidak berfikir langsung tentang kewajipan memerintah negara. Kita (PAS) lihat orang bukan Islam sedar untuk membuat perubahan tetapi orang Islam sendiri tidak mempunyai kesedaran dan kemampuan untuk membuat perubahan itu,” tegasnya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Dana Unit Amal di Restoran Suriarasa, Rusila, dekat sini, baru-baru ini.
Malah, menurut Ustaz Abdul Hadi lagi apa yang lebih membimbangkan apabila bangsa Melayu sendiri semakin jauh dari kesedaran Islam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan bahawa PAS melalui unit Amalnya mempunyai satu tanggungjawab besar bagi menyedarkan bangsa Melayu dengan Islam.
Katanya, pendekatan secara damai melalui perubahan demokrasi boleh dilaksanakan oleh anggota unit Amal dalam kerja kebajikan dan kemasyarakatan.
“Apa yang menakutkan kita (PAS), apabila bangsa kita (Melayu) jauh daripada Islam. Kita (PAS) mempunyai satu tanggungjawab yang besar menyedarkan kaum bangsa (Melayu) kita.
“Kita (PAS) mengambil pendekatan ‘muwajahah silmiyyah’ (perubahan secara damai), perubahan secara demokrasi. Maka, peranan masuk dalam masyarakat melalui khidmat masyarakat sangat penting dan di sinilah tugas unit amal,” ujarnya.
Dato’ Seri Abdul Hadi menjelaskan semua pihak menyedari majoriti rakyat di negara ini adalah Melayu dan Islam menjadi teras pemerintahannya.
Katanya, perubahan ‘Islah’ pula tidak boleh dilaksanakan jika PAS gagal menguasai orang-orang Islam yang menjadi teras kepada pemerintahan negara ini.
“Semua pihak menyedari majoriti rakyat di negara ini adalah orang-orang Islam. Maka, orang Islam yang menjadi teras untuk memerintah negara.
“Selagi kita (PAS) tidak boleh menguasai orang-orang Islam yang menjadi teras kepada pemerintahan negara. Kita (PAS) tidak boleh membuat perubahan ‘Islah’, pembetulan sebagaimana yang dikehendaki oleh perintah Allah SWT,” ujarnya.
Beliau yang juga Adun Rhu Rendang juga menyifatkan kemenangan Pakatan Rakyat melalui DAP dalam pilihan raya kecil di Sibu membanggakan.
Namun begitu, katanya perubahan tersebut tidak membawa apa-apa erti jika orang Melayu-Islam masih tidak berubah.
“Dalam pilihan raya kecil di Sibu, Pakatan Rakyat sudah menang melalui DAP. Ini sangat membanggakan dan ramai di kalangan kita (rakyat) telah bersorak kerana telah menang.
“Kita tidak sedar bagaimana dengan orang (Melayu) kita sendiri. Adakah orang (Melayu) kita sendiri juga telah faham untuk membuat perubahan.
“Jika orang (bukan Islam) lain buat perubahan dan kita (Melayu) tidak..jawab dia (akibat) terlingkup kita (Melayu-Islam) dan tidak memberi apa-apa makna dan erti (perubahan itu).
Oleh itu, kata Ustaz Abdul Hadi menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menyedarkan orang-orang Islam itu sendiri supaya bersama membuat perubahan dengan secara Islam.
Katanya, apa yang menarik dalam pilihan raya di Sarawak bukan sekadar kemenangan DAP tetapi lebih jauh dari itu PAS berjaya menubuhkan cawangan parti di Sibu.
Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Harun Taib, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Pengarah Jabatan Amal Terengganu, Ustaz Mohd Shaiful Ambia Darus serta beberapa orang mantan Pengarah Unit Amal Terengganu.
Pada majlis tersebut Awang sempat melihat Ustaz Harun yang turut hadir dan kelihatan lebih sihat dari sebelum ini. Beliau lama ‘berehat’ setelah diserang angin ahmar disebelah kiri tubuhnya.
Walau pun, Ustaz Harun tidak berucap pada majlis berkenaan tetapi nampak ceria ‘sokmo’ dan bergelak-ketawa…tersenyum ketika berbual-bual dengan ‘Ayoh Chik’ (Tok Guru Presiden) di meja makan malam tersebut.
Awang doakan semoga beliau terus sihat dan bertenaga selalu kerana perjuangan masih panjang dan Islam masih lemah dan Melayu masih belum ‘sedarkan dirinya’ untuk bangkit.
Bangkitlah Melayu dengan Islam dan jangan ‘Bangkit Melayu’ dengan Umno yang ternyata terpesong lagi memesongkan ‘aqidah’ umat Melayu Islam di negara ini.
Siasatan Gisbh: Hukum Pihak Bersalah, Hindari Ketidakadilan
2 bulan yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan