Muktamar ke arah hadapi PRU ke-13

Salam Muktamar 2010;-

Sidang Muktamar Tahunan PAS ke-56 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, Kelantan bermula 9 hingga 13 Jun 2010.

Perasmian serentak bagi tiga dewan iaitu Muktamar Dewan Ulama’, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda berlangsung pada 9 Jun 2010.

Muktamar Dewan Ulama’ berlangsung di Markas Dewan Ulama’ PAS Kelantan (Madu) di Labok, Machang. Dewan Muslimat PAS Pusat di Perdana Resort dan Dewan Pemuda PAS Pusat di Kelantan Trade Centre.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyampaikan Ucapan Dasar pada Majlis Perasmian Muktamar penuh di Putik pada 11 Jun 2010 (Jumaat), lalu.

Pada persidangan Muktamar penuh 12 Jun 2010 (Sabtu) bermula jam 2.35 petang.

Sebanyak enam usul akan dibahaskan pada petang tersebut. Berikut adalah intisari perjalanan muktamar sehingga ditangguhkan pada jam 5.45 petang.

5.45 petang: Sidang ditangguh sehingga esok ( 13 Jun) pagi.

5.43 petang: Usul keenam diterima dengan sebulat suara.

5.35 petang: Perwakilan Shah Alam, YB Khalid Samad menyokong usul dengan berkata PAS perlu meningkatkan sokongan orang Islam, bukan Melayu.

5.30 petang: Perwakilan Putrajaya, Ustaz Nazir Zakaria sebagai menyokong usul tersebut menyeru seluruh pimpinan melakukan perubahan untuk meningkatkan penguasaaan parti.

5.24 petang: Perwakilan Kubang Pasu, Ustaz Taib Haji Ahmad menyokong usul tersebut iaitu pas melalui jabatan pilihanraya pas pusat merangka strategi gerak kerja pilihanraya dari sudut daftar pemilih, kewangan, latihan kepimpinan, jentera pilihanraya secara profesional dan menguruskan isu.

5.13 petang: Dr Hamzah Jaafar, perwakilan Jerantut membentangkan usul keenam iaitu persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Usul tersebut merupakan gabungan usul kawasan Kubang Kerian, Pokok Sena, Kubang Pasu, Jerantut, Bandar Tun Razak dan Shah Alam.

Usul tersebut mengambil ketetapan supaya PAS memenangi seberapa banyak kerusi parlimen bagi menggantikan kedudukan Umno sebagai teras utama politik negara.
5.10 petang: Usul diterima dengan sebulat suara.

4.55 petang: Perwakilan DPPP, Ustaz Ridhuan Mohd Nor turut menyokong usul dengan meminta para perwakilan menyoroti sejarah PAS dalam membawa isu Palestin.

Beliau memberi contoh bekas Presiden PAS, Dr Burhanuddin Al-Helmy telah membawa isu ini ke peringkat antarabangsa.

4.45 petang: Perwakilan Shah Alam, YB Khalid Samad menyatakan sokongan dan mendakwa perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang melakukan perubahan terhadap dasar luar negara dengan melantik APCO sebagai penasihat.

4.38 petang: Perwakilan Kuala Kedah, Ustaz Ridzuan Abu Bakar menyatakan sokongan penuh kepada usul Dewan Muslimat.

4.20 petang: Perwakilan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi membentangkan usul kelima mengenai Palestin. DMPP mengutuk keras tindakan biadap tentera Israel ke atas misi kemanusiaan Gaza.

DMPP menyokong penuh warga Palestin yang berjuang menegakkan keadilan yang diceroboh oleh Zionis Israel dan bersedia untuk membantu dari semua aspek termasuk menghantar sukarelawan muslimat ke Gaza.

4.18 petang: Usul keempat diterima dengan sebulat suara.

4.11 petang: Perwakilan Kota Belud, Mohd Farhan Abdullah menyatakan sokongan.

Beliau merupakan bekas penganut Kristian yang memeluk Islam setelah melihat keadilan dalam Islam dan kini merupakan pendakwah bebas.

Sebelum itu tiga perwakilan turut menyokong usul tersebut.

3.50 petang: PAS kawasan Rembau menyokong usul pemerkasaan parti.

3.44 petang: Syed Abdul Kadir Al-Joofre, perwakilan Dewan Ulama' membentangkan usul keempat iaitu pemerkasaan parti.

Ini kerana dewan ulama' menyedari bahawa kepercayaan rakyat terhadap PAS semakin meningkat dan strategi PAS melaksanakan Tahalluf Siyasi telah mula menunjukkan hasil dengan sokongan rakyat Islam dan bukan Islam di negara ini.

3.42 petang: Usul ketiga diterima.

3.26 petang: Perwakilan Jerlun bangun meminta usul ketiga disokong.

Seterusnya perwakilan Tebrau, Shamsul Bakri turut menyatakan sokongan.

3.18 petang: Usul ketiga daripada dewan pemuda PAS pusat dibentangkan oleh Ustaz Ahmad Fadhli Shaari iaitu memansuhkan judi sukan.

Usul ini timbul apabila menyedari bahawa kerajaan Malaysia telah lama meluluskan judi sukan dan sedang dalam proses menganugerahkan lesen tersebut kepada Ascot Sports Sdn. Bhd.

Justeru DPPP mendesak pihak kerajaan Malaysia memansuhkan judi sukan, mengetatkan penguatkuasaan terhadap undang-undang judi dan mendidik rakyat membenci judi.

DPPP mendesak PAS pusat memobilisasi semua rakyat Malaysia turun ke himpunan 100 Ribu Mansuhkan Judi Bola pada 3 Julai ini.

3.16 petang: Usul kedua diterima dengan sebulat suara.

3.12 petang: Perwakilan Tambun membahaskan usul diikuti perwakilan Tampin. Kedua-duanya menyokong usul tersebut.

2.55 petang: Naib Presiden PAS, YB Salahuddin Ayub membentangkan usul kedua iaitu mengenai kedaulatan negara.

Antara hujah yang diutarakan beliau ialah tanah dalam khazanah negara adalah hak milik negara dan rakyat di negara ini.

Justeru katanya, memberikan tanah dan khazanah negara kepada orang lain adalah jenayah dan pengkhianatan kepada rakyat dan negara.

Beliau juga berkata tinadalan kerajaan mengambil penasihat negara daripada Zionis Yahudi APCO adalah satu pengkhianatan kepada negara dan keselamatan negara.

Beliau mendesak supaya perkara yang penting untuk rakyat dan negara perlu dibincang dalam parlimen bukan hanya dilulus melalui seorang perdana menteri sahaja yang berbincang.

2.54 petang: Usul diterima dengan sebulat suara.

2.45 petang: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali membentang usul yang pertama mengenai pindaan Perlembagaan PAS.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top