Sejak PAS melancarkan ‘gelombang’ menyemarakkan “PAS Ganti Umno” atau PGU khususnya di Terengganu, sambutan di kalangan rakyat di negeri ini cukup memberangsangkan.
Beberapa siri PGU diadakan bermula dengan pelancarannya di Zon Selatan (Kemaman) buat pertama kalinya mampu menarik minat penyertaan pengunjung melebihi 30,000 orang.
Zon Selatan ini dipilih kerana itu kawasan bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan kawasan MB Terengganu sekarang, Dato’ Seri Ahmad Said.
Siri PGU-II pula, diadakan di Zon Utara (Besut & Setiu) juga mampu menarik minat lebih 30,000 orang pengunjungnya.
Zon Utara pula dipilih kerana itu juga kawasan bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh Enterprise.
Manakala, PGU-III yang mungkin kebarangkaliannya yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, akan diadakan di Zon Tengah (Kuala Terengganu).
Zon Tengah kali ini disasarkan 100 ribu (100K) penyertaannya dengan pelbagai aturcara diadakan sepanjang tempoh dua hari iaitu pada 20 dan 21 Mei 2011 ini.
Antara yang menariknya, pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) negeri Terengganu pada 20 Mei 2011 (Jumaat) oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Kali ini, boleh dikatakan semua pimpinan besar Pakatan Rakyat yang terdiri dari PAS, Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan DAP hadir seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan ramai lagi.
Sehubungan itu, PAS menyifatkan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) cukup bimbang dengan slogan gelombang kebangkitan rakyat ‘PAS Ganti Umno’ di Terengganu.
Timbalan Pesuruhjaya (II) PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata Umno cuba meredakan gelombang kebangkitan ‘PAS Ganti Umno’ dengan menyebarkan fitnah.
Katanya, kebimbangan dan rasa cemas Umno Terengganu menghadapi slogan kebangkitan PAS Ganti Umno semakin terdesak.
“Ada pihak yang rasa terancam dengan slogan ‘PAS Ganti Umno’ dan untuk meredakan gelombang itu, dibuat pula oleh ‘musuh’ (Umno) kita ‘DAP Ganti PAS’.
“Digambarkan YB Lim Kit Siang (Penasihat DAP) pakai songkok. Ini dilakukan pihak tertentu kononnya apabila PAS ganti Umno akan timbul masalah.
“Seolah-olahnya, orang Cina atau India yang ambil kesempatan. Ini suatu mainan saikologi yang Insya’Allah tidak termakan oleh rakyat negeri Terengganu,” jelasnya pada satu sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Terengganu, baru-baru ini.
Justeru itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam berkata PAS akan memantau sejauh mana sebaran fitnah itu dilakukan di negeri ini.
Menurutnya, para petugas parti sentiasa memantau di setiap kawasan dan tindakan susulan akan diambil jika perlu dilakukan kelak.
“Kita sedang memantau sejauh mana tindakan menampal poster seumpama ini dilakukan. Ini suatu fitnah yang nyata dan tidak sepatutnya dilakukan pihak terbabit.
“Para petugas parti akan memantau juga di kawasan yang dilakukan itu dan jika terus berlaku kita akan fikirkan tindakan susulan, Insya’Allah,” ujarnya.
Katanya, PAS melahirkan rasa dukacita dengan penyebaran fitnah yang banyak dilakukan oleh Umno-BN terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.
Menurutnya, beberapa siri program PAS Ganti Umno telah mendapat sambutan luar biasa dengan penyertaan rakyat yang ramai di negeri ini.
Katanya, program Himpunan Kebangkitan Rakyat Terengganu di Kemaman mencecah puluhan ribu rakyat hadir dan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2011 juga hebat.
Abdul Wahid menjelaskan PAS Terengganu akan meneruskan program kebangkitan tersebut hingga menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, akan datang.
Kesimpulannya, pelbagai pihak mula bercakap-cakap baik diperingkat rakyat bawahan, pertengahan serta atasan melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan Umno-BN. Masing-masing menunggu bilakah tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen. Bilakah tarik PRU Ke-13?
NOTA: “Sepandai-pandai Tupai Melompat..Akhirnya Ada Yang Mati Exciden”-kam
0 comments:
Catat Ulasan