Rumah ‘Siap’ Pahat ‘Berbunyi’..?

Salam Untuk Semua:

KETIKA…ura-ura gendang Pilihan Raya Negeri Sarawak hendak dipalu. Parti-parti dalam Pakatan Rakyat mulalah sibuk untuk mencari tapak mana-mana yang sesuai mengikut kehendak parti masing-masing.

Pada kesempatan itu, ‘musuh’ (Barisan Nasional) melalui media dan jenteranya mengadu domba agar Pakatan Rakyat yang disertai oleh PAS, Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan DAP boleh pecah.

DAP sebuah parti yang agak lama sebenarnya bertapak di Sarawak sejak tahun 70-an lagi dan dalam PRU ke-10 tahun 2006 parti itu berjaya memenangi 6 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Namun begitu, pada pilihan raya kali ini SNAP yang pada awalnya ingin bersama-sama dengan Pakatan Rakyat bertanding bagi menentang PBB-BN telah ‘berpatah arang berkerat rotan’ pula.

Rundingan yang dibuat antara PKR-SNAP gagal mencapai keputusan kerjasama yang baik dan akhirnya berlakulah pertandingan dua tiga penjuru antara BN-PKR-SNAP di lebih 25 kawasan.

Waktu itu, PKR sebenarnya ‘angkuh’ dan agak ‘sombong’ serta merasakan parti itu kuat dan mendapat sokongan rakyat di Sarawak.

PKR seolah-olah berkeyakinan mampu meletakkan calon-calonnya disemua kawasan pilihan raya dan mahukan kerusi yang lebih kepada parti serpihan Umno itu.

DAP yang lebih menunjukkan prestasi agak baik sepatutnya diberi pilihan agar bertanding lebih 20 kerusi Dun Sarawak dan bukannya 13 kerusi sahaja. Hasilnya, DAP menang cemerlang 12 daripada 13 kerusi yang ditandinginya.

Sumber yang boleh dipercayai mendedahkan PKR sememangnya mahukan kerusi yang lebih dan bertegas hingga ‘mengguriskan’ hati rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

PAS sedari awal lagi tetap mahukan sekadar 5 kerusi sahaja sebagai tapak permulaan memperkenalkan perjuangan Islam kepada masyarakat Dayak, Iban dan Bumiputra di Sarawak.

Dan akhirnya, PKR yang bertanding hampir 50 kerusi Dun Sarawak itu hanya menang 3 kerusi. Tetapi, dengan 3 kerusi itu sebenarnya PKR telah berjaya 200% daripada 2006 yang hanya 1 kerusi Dun sahaja.

Sebenarnya, Pakatan Rakyat berjaya mengurangkan majoriti disemua kerusi Dun Sarawak meski pun tidak menang tetapi berjaya menambah jumlah sokongan undi masing-masing.

Maka, selepas pilihan raya barulah PKR sedar yang hutang-piutang banyak digunakan dalam pilihan raya di Sarawak.

Waktu itu, barulah PKR mahu mengajak rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (PAS & DAP) bersama-sama menanggung bebanan tersebut.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata beban yang digalas oleh PKR untuk bertanding di 49 kerusi, termasuk yang sukar dimenangi pada pilihan raya Sarawak, 16 April lalu akan dibawa ke mesyuarat Pakatan Rakyat.

Menurutnya, pada pilihan raya tersebut PKR yang sepatutnya bertanding di 25 Dun sahaja tetapi akhirnya terpaksa bertanding di 24 kerusi tambahan.

Ini kerana, katanya bagi mengelakkan BN menang percuma pada hari penamaan calon tersebut.

“Saya berpendapat beban ini sepatutnya dikongsi bersama (dengan parti lain dalam Pakatan),” ujarnya pada satu sidang media, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Alangkah baiknya, jika sebelum berlaku pilihan raya tersebut kerusi-kerusi Dun diagihkan dengan baik antara rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Maka, tidaklah berlaku memikul bebanan hutang sendirian dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat seperti PAS dan DAP boleh untuk tidak menanggungnya. Tetapi, atas semangat “Pakatan” dan “kejujuran” bolehlah dipertimbangkan.

Cuma Awang harapkan, agar selepas ini PKR usahlah ‘keras kepala’ untuk memonopoli mana-mana kerusi dalam pilihan raya. Ini kerana, PKR kenalah sedar akan kekuatan diri sendiri.

Awang bukan tidak menyokong PKR tetapi mahukan ‘ketelusan’ dalam berkawan dan mengutamakan yang patut diutamakan. Kita kena raikan kawan-kawan lebih daripada diri kita sendiri jika mahukan persahabatan terjalin erat.

APA YANG PENTING….? KERJAAAA…SAMA, dan jangan biarkan musuh memperlekehkan kita kerana kesilapan dan kedegilan kita sendiri.

NOTA: “Harapkan Pagar Biarlah Pagar Jaga Padi….”-kam

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top