Bubar Umno Masuk PAS?

Salam For Ahli Umno:

DAN SEBENARNYA…., sesuatu yang agak pelik lagi janggal jika kedatangan pemimpin No.1 Negara ke Terengganu pada 30 April lalu hanya sekadar untuk mengajak PAS masuk Umno dan tinggalkan Pakatan Rakyat.

Rakyat menunggu-nunggu ‘janji manismu’ Dato’ Seri Najib Tun Razak ‘takut-takut’ (mengharap) PM hendak umumkan pembayaran royalti semula kepada negeri Terengganu.

Rupanya TIDAK kerana yang ada hanyalah pembahagian ‘wang bantuan baju sekolah’ kepada ibubapa dan para pelajar sekolah dalam Dun Manir dan Dun Bukit Tunggal sahaja.

Setelah dikumpul rakyat dan dijamu dengan korban hampir 30 ekor lembu untuk diberi makan kepada rakyat pada hari kedatangan PM.

Sehubungan itu, Najib 1Malaysia dalam ucapannya di Pulau Duyung menyeru agar PAS segera meninggalkan Pakatan Rakyat yang sia-sia dan adalah lebih baik jika bersama dengan Umno-BN.

Maka, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ‘respons’nya menyeru ahli-ahli dan pemimpin Umno supaya meninggalkan parti itu dan bersama PAS jika benar-benar hendak melaksanakan Islam dan menegakkan keadilan untuk semua bangsa di negara ini.

“Jika benar Umno hendak laksanakan Islam dan bertindak dengan penuh keadilan, kuasa sudah ada di tangan mereka hari ini, mengapa mereka tidak laksanakan?” ujarnya dalam kenyataan.

Presiden PAS itu memberi respons terhadap kesekelian kalinya, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak tanpa segan silu mengulangi lagi seruannya supaya PAS bekerjasama dengan Umno-BN dan meninggalkan kerjasama PAS menerusi Pakatan Rakyat (PR).

Najib berkata, pemimpin PAS perlu menerima kenyataan bahawa mereka mesti keluar daripada pakatan pembangkang jika benar-benar berjuang untuk kepentingan agama Islam.

Menurutnya, PAS tidak akan memperoleh apa yang dicita-citakan selama ini dan kerjasama dengan parti pembangkang lain hanya memberi keuntungan kepada DAP.

''Tak kisahlah sama ada PAS mahu bersendirian atau bergabung dengan Umno, yang penting mereka tidak boleh bergabung dengan DAP kerana usaha PAS dalam memperjuangkan Islam akan terhalang," ujarnya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perumahan Pangsapuri Rakyat di Pulau Duyung, Kuala Terengganu, 30 April lalu.

Bagi PAS, tegas Tuan Guru Abdul Hadi seruan Najib itu adalah janggal dan aneh, kerana PAS sekali-kali tidak akan bekerjasama dengan Umno-BN dalam melakukan kezaliman dan meruntuhkan keadilan kepada rakyat yang telah menjadi bencana dalam negara kita yang tercinta ini.

Katanya, kerjasama atau penyatuan seharusnya dibina dengan bercirikan asas bertolong-tolong dalam melakukan kebajikan dan keadilan, dan bukan bertolong-tolong dalam melakukan maksiat, kezaliman dan memusnahkan harta negara.

“PAS mendokong fikrah yang jelas, bahawa kerjasama bersama PR adalah dibina dengan berpegang kepada dasar bantu-membantu dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman,” tegasnya.

Menurutnya, kerjasama PAS selama ini dengan DAP contohnya, adalah di atas nama tahaluf siyasi yang dibenarkan agama dan tidak menggadaikan prinsip.

Ia, katanya tidak sama dengan kerjasama wala antara Umno dengan MCA dan MIC yang menggadaikan prinsip Islam, hanyut dengan kuasa dan seterusnya menghilangkan jati diri Melayu Islam dalam negara kita ini sejak puluhan tahun.

“Kita ingin bertanya, siapakah yang sebenarnya menggunakan kuasa tanpa hak dengan menyekat royalti minyak milik rakyat Terengganu dan Kelantan, yang lebih dari 90 peratus adalah orang Melayu-Islam?

“Siapakah pula yang mendiskriminasikan penyokong pembangkang di kalangan orang Melayu sehingga peluang berniaga, pendidikan, pengagihan ekonomi hanya tertumpu di kalangan Umnoputra?

“Siapakah yang menyekat Kelantan dan Terengganu melaksanakan syariat Islam sebelum ini?” soalnya.

Jawapannya, kata beliau adalah kerajaan pimpinan Umno BN itulah yang sebenarnya melemahkan orang Melayu itu sendiri.

Manakala, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali dengan tegas menyatakan akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat bagi mempastikan proses pembentukan sistem dua parti berjalan dengan baik di negara ini.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden MCA, Dato’ Seri Chua Soi Lek sebagai kenyataan yang tidak sihat untuk perkembangan politik di negara ini.

Beliau mengulas kenyataan Najib yang sekali lagi menjemput PAS untuk bersama dengan Barisan Nasional (BN) walau pun sudah beberapa kali ditolak oleh PAS.

Chua pula berkata, MCA tidak akan berada dalam kabinet lagi jika parti itu tidak mendapat sokongan dalam pilihan raya umum akan datang.

Najib hari ini mempelawa PAS agar menyertai BN sambil berkata, sudah tiba masanya PAS meninggalkan DAP atas alasan ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.

“Kenapa buat baik dengan DAP? Adakah DAP boleh perjuangkan Islam?

“Hadi (Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang), cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP, masuk BN,” kata Najib.

Najib mengadakan lawatan kerja ke Terengganu hari ini. Sebelum ini timbalan beliau, Tan Sri Muhyidin Yassin juga datang ke Dun Manir, kawasan yang diwakili oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Harun Taib.

"Suka saya tegaskan sekali lagi, PAS akan tetap komited bersama dengan Pakatan Rakyat bagi mempastikan proses pembentukan sistem dua parti berkembang dengan baik di negara ini demi kepentingan masa depan Malaysia," ujarnya.

NOTA: “Kata Orang Tua-Tua….. GILA TALAK itu Bahaya !!!!!”-kam

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top