Pecahkan persepsi negatif terhadap PAS

Salam Alternatif....

PAS hari ini amat jauh berbeza dengan PAS yang kita kenal 10 atau 20 tahun lalu. Dan perbezaannya, bukan kerana berubah dasar Islamnya sebagai teras parti tetapi berubah pendekatan dan strateginya.

Awang melihat PAS hari lebih ‘terbuka’ dari segi untuk pendekatan memasyarakatkan PAS kerana telah mula laku dan diterima oleh semua lapisan masyarakat di negara ini.

PAS bukan sahaja untuk orang Melayu Islam sahaja, PAS bukan lagi untuk orang ‘Tok Lebai’ lagi, tetapi PAS adalah sesuai untuk semua kaum yang ada di Malasyia.

Sebab itu, apabila PAS memperkenalkan slogan ‘PAS For All’. Maka, Umno dan Barisan Nasional (BN) mula mengigau dan ‘gila’ sasau.

Maka, penasihat Yahudi yang dibelanjakan oleh kerajaan Umno-BN di bawah kepimpinan Najib al-Tantunya pun menjaja ‘1Malaysia’ yang seakan-akan ‘PAS Untuk Semua’.

Namun begitu, dalam keadaan PAS semakin diterima dan PAS semakin diminati oleh semua orang dan semua rakyat. Tetapi, PAS masih lagi dibayangi persepsi negatif yang dicanang oleh musuhnya dari Umno-BN.

Persepsi buruk yang digambarkan kepada PAS sedikit sebanyak boleh mempengaruhi hati yang goyang di kalangan orang Melayu, Cina dan India yang baru berjinak-jinak dengan PAS.

Hasilnya, dalam pilihan raya kecil di N.45 Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas pada 4 November lalu, PAS boleh kalah dan tidak menang sekalugus gagal mempertahankan kerusi tersebut.

Umno-BN berjaya dan bersorakan meraikan kemenangan kerana persepsi yang buruk yang dijaja dalam masa kempen pilihan raya kecil itu mempengaruhi pengundi-pengundinya.

Sebaik mana pun kerajaan PAS Kelantan buat, sehebat mana pun ketokohan Tok Guru Menteri Besar Kelantan dan sekuat mana pun jentera PAS di Galas akan tumbang dengan persepsi yang dinegatifkan.

Sebab itu, Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Dato’ Harun Taib mahukan agar persepsi negatif rakyat umum terhadap PAS dipecahkan.

Katanya, persepsi yang negatif yang dilemparkan oleh musuh PAS seperti Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) masih ‘termakan’ oleh kebanyakkan rakyat umumnya.

Menurut Ustaz Harun meski pun dasar dan matlamat perjuangan PAS telah diperakui oleh Umno-BN tetapi masih sukar diterima sepenuhnya.

“Kita (PAS) kena fikirkan bagaimana mahu memecahkan persepsi orang (rakyat umum) yang negatif terhadap PAS.

“Dasar dan matlamat perjuangan kita (PAS) tidak dipertikaikan lagi oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional tetapi mereka (rakyat) masih belum terima sepenuh,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Akademi Latihan Kepimpinan (ALIM) Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, di Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, Kuala Ibai.

Katanya, Umno menggunakan ‘senjata’ duit yang menyebabkan rakyat ‘termakan’ dan BN mendapat sokongan pengundi dalam pilihan raya.

Ustaz Harun yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu mengingatkan bahawa isu juga memainkan peranan penting menyedarkan rakyat terhadap kepincangan Umno-BN.

Menurutnya, kesedaran politik di kalangan orang Melayu terutama di luar bandar masih rendah kerana kekurangan sumber maklumat.

“Isu mempunyai peranan yang penting untuk rakyat tahu kepincangan Umno dan kerajaan Barisan Nasional hari ini.

“Kesedaran politik orang Melayu itu penting terutama di kawasan luar bandar dan mereka (rakyat) kurang pendedahan sumber maklumat kita (PAS),” ujarnya.

Katanya, kesedaran politik orang bukan Melayu di negara ini lebih baik berbanding dengan orang Melayu yang sukar membuat perubahan.

Menurutnya, kesedaran politik orang Melayu lebih baik di kawasan bandar serta pinggir bandar terutama di kalangan anak-anak muda yang menyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Kursus ALIM peringkat pertama ini disertai oleh 150 orang pimpinan PAS di peringkat lajnah-lajnah serta kawasan-kawasan di seluruh negeri Terengganu.

Justeru itu, baiki segera dan jangan hampakan harapan semua rakyat yang mahukan perubahan serta bebas dari cengkaman kerajaan Umno-BN dalam PRU ke-13, akan datang.

NOTA: ‘PAS-Pakatan Rakyat Juga Akan Gagal Ke Putrajaya Dengan Persepsi Yang Diburukkan’

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top