Kerajaan Umno-BN percayakan ‘Batu Penyu’

Salam…Apa khabar ‘Orang Kite’..?

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyifatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu telah melakukan pembaziran terhadap wang rakyat hanya kerana mempercayai amalan khurafat.

Apa dia amalan khurafat di zaman Sains dan Teknologi ini. Awang cuba cari-cari apa yang didakwa oleh PAS itu.

Rupa-rupanya, Awang diberitahu bahawa Majlis Perbandaran Dungun (MPD) membelanjakan RM390,000 untuk membaik-pulih bongkah Batu Penyu di Bukit Che Hawa kononnya menjadi ‘ibu semangat’ kepada penyu di laut.

Dengan pantasnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli mempersoalkan tindakan kerajaan membelanjakan wang rakyat sebanyak hampir RM400,000 untuk kepercayaan khurafat.

Katanya, jumlah kewangan yang besar itu adalah lebih baik digunakan bagi keperluan rakyat yang miskin di negeri ini.

“Apa perlu kita (kerajaan) sanggup membelanjakan sejumlah besar wang rakyat hanya kerana untuk kepercayaan khurafat baiki Batu Penyu yang dianggap ‘ibu semangat’.

“Hampir RM400,000 itu lebih baik kita (kerajaan) manfaatkan untuk rakyat miskin yang masih ramai dan memerlukan bantuan,” ujarnya kepada rakan Awang selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Anak Yatim di Surau Ustaz Omar Syukri, Dungun, baru-baru ini.

Menurutnya, ‘semangat’ Batu Penyu yang menjadikan Rantau Abang sebagai destinasi popular kepada reptilia itu datang bertelur kurang tepat.

Malah, katanya kemerosotan kedatangan penyu bertelur di pantai Rantau Abang adalah akibat perbuatan tangan manusia sendiri.

“Sebenarnya (laporan) banyak penyu-penyu mati di laut kerana terjerat pukat, dibunuh oleh manusia yang tidak bertanggungjawab dan bukan kerana Batu Penyu yang dijadikan ‘ibu semangat’ kepada reptilia itu,” jelasnya.

Justeru itu, beliau selaku Yang Dipertua PAS Dungun menggesa agar rakyat tidak terkeliru dengan kepercayaan karut serta khurafat Batu Penyu.

Katanya, amalan mempercayai bongkah batu mempunyai ‘kuasa’ tertentu hingga perlu dijaga (pelihara) boleh menyesatkan pemikiran umat Islam.

“Masa kini tidak ada lagi amalan mempercayai batu ada ‘kuasa’ yang bersifat karut, tahyul dan khurafat kerana pegangan itu boleh menyesatkan pemikiran manusia dan umat Islam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan MPD membelanjakan RM390,000 bagi kerja-kerja mengembalikan rupa asal seekor penyu pada sebuah batu di Bukit Che Hawa, Rantau Abang, Dungun.

NOTA: Ini bukan ‘khurafat’ lagi tetapi macam ‘keparat’

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top