Hakikatnya, hari ini masalah dadah merupakan suatu ‘bala’ yang diturunkan oleh Allah SWT mungkin kepada umat Islam yang mengabaikan perintah Tuhan-Nya.
Ianya, melibatkan semua orang, semua bangsa, semua agama dan semua keturunan bukan sahaja di negara kita malah di seluruh dunia barang kalinya.
Baru-baru kedengaran, PAS Terengganu menyifatkan kes 119 pelajar ditangkap dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2010 ini terlibat dengan kes jenayah narkotik terlalu sedikit.
Malah sebenarnya, kes penyalahgunaan dadah di kalangan para pelajar di Terengganu jauh lebih tinggi dari yang dilaporkan kepada umumnya.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik berkata statistik tangkapan yang dilakukan polis berkaitan kes penyelahgunaan dadah di kalangan pelajar di negeri ini tidak tepat.
Katanya, jika pihak polis benar-benar mahu bertindak puluhan pelajar boleh dikesan serta ditangkap setiap hari.
“Sedikit..sedikit, Polis boleh ‘pegang’ (tangkap) tiap-tiap hari berpuluh-puluh pelajar. Statistik itu terlalu tidak tepat. Jika hanya dengan jumlah (119 pelajar) itu terlalu tidak tepat.
“Saya rasa Polis sebenarnya tidak serius, pemimpin (kerajaan) tidak ada keinginan politik untuk selesaikan masalah,” ujarnya ketika ditanya mengenai masalah gejala sosial di kalangan pelajar di Terengganu.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Akademik & Mesyuarat Agung Jamaah IbuBapa Guru di Ma’ahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah Darul Iman, Kampung Tok Jiring, dekat sini, 20 Julai lalu.
Dato’ Abu Bakar juga mempersoalkan kegagalan pihak berkuasa Polis menangani masalah ‘mat rempit’ yang semakin berleluasa.
Ini kerana, katanya jika PAS dan Pakatan Rakyat sering kali berhadapan dengan tindakan ‘keras’ polis menggunakan gas pemedih mata dalam kes tertentu.
Mengapa tidak, kata Ustaz Abu Bakar tindakan yang sama digunakan kepada golongan mat rempit yang secara jelas dan berani melanggar undang-undang.
“Apa tindakan Polis dalam menyelesaikan masalah ‘mat rempit’. Ratusan malah ribuan (kumpulan) kadang-kalanya, apa tindakan Polis.
“Jika polis ‘berani’ (bertindak) pergi ‘hentam’ (lepas) dengan ‘gas’ (pemdih mata) kepada orang sedang berhimpun (ceramah) di padang dalam kes tertentu. Kenapa tidak ‘hantar’ (guna) gas di sini (mat rempit), mana penguatkuasaan,” tegasnya.
Justeru itu, Ustaz Abu Bakar mendakwa gejala dadah merupakan suatu wabak serta bala dari Allah SWT.
Katanya, masalah tersebut merebak kerana berkait rapat dengan polisi-polisi serta dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang.
Menurutnya, dasar serta polisi yang pincang menjadi pemangkin kepada peningkatan gejala sosial yang berlaku dalam negara hari ini.
“Dadah ini suatu ‘wabak’ (penyakit) dan bagi kita orang Islam dadah ini satu ‘bala’ (hukuman). Tetapi, kita (rakyat) kena ingat polisi-polisi berkait dengan hiburan dan seni budaya di bawah kerajaan Barisan Nasional hari ini adalah pemangkin kepada masalah gejala sosial.
“Lihatlah program-program hiburan yang ada, filemnya, nyanyiannya, tari-menarinya, hiburannya, lihatlah hari ini. Dan tengok pesta-pesta tahunan yang dibuat, pesta tahun baru atau pesta-pesta yang dibuat,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Dato’ Mohd Syukri Dahlan berkata seramai 119 pelajar sekolah menengah dan institut pengajian tinggi (IPT) ditangkap kerana terlibat kes jenayah narkotik.
Katanya, jumlah tersebut telah meningkat berbanding tahun 2009 lalu dalam tempoh masa enam bulan pertama tahun 2010 ini.
Menurutnya, dari jumlah 119 orang pelajar yang ditangkap 10 peratus merupakan pelajar wanita dan seawal usia 12 tahun.
“Kita (Polis) lihat, pelajar ini bukan sahaja terlibat dalam masalah dadah tetapi turut menjadi mengedar. Kita (Polis) percaya ada sindiket yang menjadikan pelajar ini sebagai ahli mereka (pengedar) untuk jual dadah kepada pelajar lain,” tegasnya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontijen Terengganu di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu, baru-baru ini.
Selain itu, kata Dato’ Mohd Syukri penglibatan pelajar dalam kes jenayah lain khususnya jenayah harta benda juga membimbangkan pihak polis.
Menurutnya, sebanyak 71 orang pelajar ditangkap dalam tempoh enam bulan pertama yang melibatkan pelajar sekolah dan IPT berusia 14 hingga 24 tahun.
“Pelajar sekolah menengah dan IPT dalam lingkungan umur antara 14 hingga 24 tahun terlibat dalam kes pecah rumah dan kecurian motosikal terutama di Kuala Terengganu dan Besut.
“Setakat ini, 50 peratus pelajar yang ditangkap didakwa di mahkamah selepas mendapat kelulusan dari Timbalan Pendakwaraya,” ujarnya.
0 comments:
Catat Ulasan