Ma’al Hijrah 1432: Tahun Untuk Berubah

Salam Ma’al Hijrah 1432;

Semalam (1 Muharam 1432: 7 Disember 2010) banyak pihak di negara ini termasuk kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri-negeri menyambutnya sebagai sebahagian dari hari kebesaran dalam Islam.

Pelbagai acara diadakan sejak terbenamnya matahari pada malam 1 Muharam itu dengan diadakan di masjid-masjid dan surau-surau dengan bacaan yaasin, doa awal tahun dan sebagainya.

Meski pun, sambutan tersebut tidak dinaskan supaya wajib dibuat tetapi kerana syiar Islam ramai di kalangan umat Islam di negara ini menyambutnya.

Lebih-lebih lagi orang Melayu Umno yang hanya lebih membsarkan syiar Islam daripada Syariat Islam. Bagi mereka (Umno-BN) syiar Islam mesti dimulia dan ditinggikan tetapi Syariat Islam diketepikan.

Inilah masalahnya, jika ‘belajar’ tidak habis dan hanya buat secara ikut-ikutan. Bila datang bulan Muharam maka berkawah-kawahlah pula bubur as-syura akan ditanak. Bila datang bulan Ramadan maka berpuasalah dengan penuh kuih-muih. Bila datang bulan Syawal maka dialah juga orangnya yang beraya melebihi orang lain. Bila datang pula bulan Zulhijjah (Haji) maka berduyung-duyunglah pakat naik kapal terbang untuk pergi buat haji serta ‘membunuh’ ternakan korban.

Walhal, selepas masih terus-menerus menentang dan memusuhi Islam serta perjuangannya. Kenapa berlaku demikian? Kerana yang diamalkan bukan Syariat tetapi Syiar Islam sahaja.

Maka, dengan sambutan Ma’al Hijrah itu dipilihlah orang-orang tertentu untuk dijadikan tokoh sejarah perjuangan Islam. Tokoh Ma’al Hijrah 1432H Peringkat Kebangsaan dipilih seorang wanita yang tidak menutup aurat.

Persoalannya, layakkah mereka-mereka itu digelarkan tokoh dalam sejarah Islam. Tokoh Ma’al Hijrah tetapi kepala ‘berdogol’ tidak tutup aurat. Sebab, itu tokoh untuk pejuang Syiar Islam dan bukan tokoh Syariat Islam. Inilah kekeliruan fahaman Islam yang dibawa oleh Umno dan Barisan Nasional.

Berbanding dengan Kelantan, tokoh tersebut diberikan kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau merupakan bekas guru serta tokoh ulama’ yang pernah tersenarai antara 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia serta tersenarai dalam buku berjudul “The 50 Most Influntial Muslims”.

Malah, Tuan Guru Nik Aziz berjaya memerintah Kelantan selama 20 tahun dengan memperkenalkan dasar-dasar serta syiar Islam dengan lebih baik dan berkesan. Dia dikagumi oleh kawan dan lawan. Semua bangsa Melayu, Cina, India, Siam sangat menghormati ketokohannya.

Jadi, Awang bukannya apa Cuma ingin berkongsi pendapat serta pandangan orang melalui ruang yang terhad ini. Cuba kita renung pula dengan kata-kata oleh seorang lagi Tok Guru yang tidak kurang hebatnya.

Kata beliau ketika ditanya di kediamannya di Rusila, Marang sehari sebelum sambutan 1 Muharam 1432H khas untuk seluruh umat Islam di negara ini.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang;

Bagi pihak Parti Islam SeMalaysia(PAS), saya ingin mengucapkan selamat melalui Maal Hijrah 1432 dengan bermulanya 1 Muharam yang bersamaan dengan 7 Disember 2010 Masehi. Permulaan tahun hijriah ini adalah merupakan suatu titik tolak yang sangat penting dengan berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah yang diingati setiap tahun oleh umat Islam. Pentingnya peristiwa hijrah ini adalah kerana ianya berkaitan dengan kewajipan besar dalam Islam yang menjadi sebahagian tugas manusia iaitu tugas khilafah atau dengan makna politik iaitu mendirikan sebuah negara yang mendaulatkan syariat Allah SWT.

Natijah daripada peristiwa hijrah ini ialah bagaimana Rasulullah SAW telah berjaya membina sebuah negara masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya yang bernaung di bawah keadilan Islam yang mutlak. Ia juga menjadi asas kepada amalan politik yang wajib dihayati oleh seluruh umat Islam.

Hijrah juga merupakan satu konsep yang telah membawa umat Islam kepada kepimpinan dunia yang bertujuan untuk menyelamatkan seluruh alam dari kezaliman selama tempoh berabad-abad lamanya ini. Umat Islam berjaya menjadi kuasa besar tunggal yang dihormati kawan dan lawan di zaman yang tidak mempunyai kemudahan seperti yang kita nikmati pada hari ini. Islam juga telah berjaya memerintah dengan penuh sifat keadilan yang menaungi wilayah kekuasaan yang luas. Sehingga hari ini belum ada kuasa besar yang dapat memenuhi apa yang dilaksanakan oleh Islam. Islam yang sebenar inilah yang perlu difahami dan dilaksanakan oleh seluruh umat Islam untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

Oleh yang demikian, bersempena dengan tahun baru hijrah 1432, umat Islam berkewajipan besar untuk melaksanakan tugas siyasah ini. Perlu sama-sama kita ingat bahawa sambutan maal hijrah ini tidak disuruh oleh Nabi SAW, tetapi apa yang lebih penting ialah meneruskan amalan-amalan Nabi SAW dan berpegang teguh kepada ajaran Allah SWT dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

1 Muharam 1432 H bersamaan 7 Disember 2010

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top