Pada tarikh 21 hingga 23 Disember 2009 lalu, Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu Ke-12 bagi Penggal Kedua kali ini diberitakan orang kembali ‘panas’.
Ini kerana, kata kawan-kawan Awang yang menghadiri persidangan tersebut secara langsung di Wisma Darul Iman atau yang melihat melalui internet sepakat mengatakan ‘panasnya’ Sidang Dun Terengganu, kali ini angkara kumpulan ’10 Budak Hitam’.
Kumpulan Adun tersebut sebelum ini membuat ‘protes senyap’ dengan tidak mengambil bahagian dalam Persidangan Dun Terengganu, pada April 2009 yang lalu.
Malah, mengikut rekodnya hampir keseluruhan Adun-adun Barisan Nasional (BN) tersebut tidak mengambil bahagian dalam perbahasan atau mengemukakan soalan lisan di dewan berkenaan.
Namun begitu, lain pula jadinya kali ini apabila kumpulan Adun tersebut muncul mengambil bahagian masing-masing dengan ‘ledakan bom’ kata Menteri Besarnya, Dato’ Ahmad Said.
Apa yang Awang perhatikan, Adun BN-Alor Limbat, Alias Abdullah dengan lantang membidas kerajaan negeri di bawah pentadbiran MB, Dato’ Ahmad Said.
Dengar ceritanya, Alias yang juga bekas Timbalan Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang lebih mengutamakan kepentingan Zoo Bikit Takal, di Kemaman dari penyediaan Infrastruktur kepada rakyat di negeri ini.
BETUL ! BETUL ! BETUL !...itu Awang setuju 100 peratus dengan dakwaan yang dibuat oleh ‘wakrat’ (wakil rakyat) Alor Limbat ini.
‘YB’ (Yang Bolot) Alias kata masalah rakyat yang memerlukan Projek Monsoon Drain daripada Baruh Muring Tasek ke Padang Leban dan Sungai Bukit Payong masih belum dilaksanakan.
“Masalah infrastruktur yang tidak sempurna dan ditambah pula dengan banjir yang berlaku setiap tahun.
“Saya (Alias) selalu bangkitkan dalam dewan (Dun) ini supaya kerajaan mempercepatkan pengambilan-balik tanah.
“Apakah tidak ada langsung keutamaan kerajaan dalam pembangunan untuk melaksanakan projek ini?
“Yang mana lebih penting Zoo Bukit Takal di Kemaman (untuk binatang) atau Infrastruktur untuk rakyat,” soalnya ketika mengambil bahagian dalam soalan lisan di dewan tersebut.
Bahkan, ‘YB’ Alias ini turut menyifatkan Ahmad (MB)
“Semasa saya (Alias) menjadi Timbalan (Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri) beliau (Ahmad) dan beliau memberitahu satu kelulusan telah diberikan untuk melaksanakan projek tersebut.
“Jadi apa yang hendak saya maklumkan kepada dewan (Sidang Dun) supaya dewan ini tidak diberi ‘salah arah’ (maklumat).
“Ianya (Projek Monsoon Drain) tidak berlaku sama sekali dan tidak ada sebarang kelulusan sebelum ini untuk melaksanakan projek itu,” jelasnya ketika membidas jawapan dari Menteri Besar tersebut.
Awang dimaklumkan, soalan asal ‘YB’ Alias bertanyakan bila Projek Monsoon Drain daripada Baruh Muring Tasek-Padang Leban-Sungai Bukit Payong akan dilaksanakan?
Menteri Besarnya, Dato’ Ahmad Said ketika menjawab soalan tersebut menjelaskan pada dewan (Sidang Dun) bahawa satu kelulusan projek telah dibuat dan kerajaan prihatin tentang masalah tersebut.
“Sebab itu, saya sebut sejarahnya (Alias) tadi. Saya telah bina dan itu menggambarkan kerajaan prihatin tentang masalah ini.
“Jangan jadikan dewan (Sidang Dun) ini untuk membuat sesuatu tuduhan yang tidak menentu hanya hendak melepaskan perasaan setelah menyembunyikan (protes senyap) diri sekian lama.
“Muncul dengan ledakan-ledakan ‘bom’ yang tidak sepatutnya digugurkan di tempat yang berlainan yang sepatut digugurkan.
“Ini yang saya katakan. Siapa dendam siapa?,” soalnya di Wisma Darul Iman pada 21 Disember 2009, lalu.
0 comments:
Catat Ulasan