Tukar kerajaan “Barang Naik” (BN)

Salam Untuk Rakyat;

KEMAMAN: PAS Terengganu mengajak rakyat dan pengundi termasuk di Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai menukar kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sinonim dengan jolokan nama kerajaan “Barang Naik”.

“Kerajaan BN adalah kerajaan ‘Barang Naik’ (BN) dan PAS mempelawa rakyat dan pengundi seluruhnya menukarnya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13,” kata Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Hanafiah Mat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Mesra Rakyat PAS Dun Chukai di perkarangan Markaz PAS Kampung Tengah, Chukai, baru-baru ini.

Katanya, rakyat dan pengundi di Terengganu ini wajar menghantar ‘signal’ awal bagi menukar kerajaan Umno-BN dalam pilihan raya akan datang.

Menurutnya, senario pemikiran rakyat hari ini di seluruh negara mahukan perubahan bagi menjamin masa depan Malaysia.

“Sekarang ini harga barang-barang semakin naik dan kerajaan Umno-BN sebenarnya tidak cakna rakyat.

“Pemimpin-pemimpin mereka (Umno-BN) kaya-raya tetapi rakyat masih dibelenggu kemiskinan dan kesusahan dengan kenaikan harga barang.

“Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, untuk pastikan harga barang turun kita (rakyat) kena beri ‘signal’ (amaran) kepada kerajaan dan tukar mereka (BN) dalam PRU ke-13, Insya’Allah,” tegasnya.

Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai mendakwa rakyat Terengganu telah bosan dan benci kepada kerajaan Umno-BN yang korupsi serta banyak melakukan pembaziran harta rakyat.

Katanya, kerajaan BN Terengganu di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said telah gagal membela rakyat dengan baik.

Menurutnya, pelbagai isu pembaziran, penyelewengan serta tidak berlaku adil terhadap rakyat di negeri ini.

“Setiap tahun berbilion bajet negeri diluluskan tetapi hasil yang dinikmati oleh rakyat terlalu sedikit melainkan untuk memperkayakan kroni-kroni pemimpin Umno tertentu sahaja,” jelasnya.

Justeru itu, katanya PAS bersama rakan Pakatan Rakyat menawarkan kepada rakyat dan pengundi di Terengganu suatu pemerintahan yang adil dan saksama.

Menurutnya, pemerintahan berdasarkan Islam yang menjadi asas kepada Negara Berkebajikan menjamin keselamatan, keamanan dan keadilan untuk semua rakyat.

“PAS sejak ditubuhkan tahun 1951, kita sudah 60 tahun berada di tengah masyarakat. Kita (PAS) tawarkan sebuah pemerintahan yang adil dan saksama kepada rakyat.

“Dasar Islam kita menjadi asas sebuah Negara Berkebajikan yang akan menjamin keselamatan, keamanan dan keadilan kepada semua rakyat di Malaysia,” ujarnya.

Inilah, katanya peluang terbaik bagi rakyat dan pengundi menentukan masa depan negeri dan negara melalui pilihan raya akan datang.

Tinjauan Awang mendapati hampir 5,000 orang mengunjungi majlis anjuran MTD Chukai tersebut yang diadakan buat kali keduanya di tempat yang sama pada tahun 2010 yang lalu.

Pelbagai jenis makanan disediakan termasuk acara selingan membelah kek sempena ulang tahun ke-60 penubuhan PAS di negara ini yang telah mengadakan sambutannya di peringkat pusat di Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Majlis tersebut rasmikan oleh Yang Dipertua PAS Kemaman, Ismail Harun dan dihadiri mantan Exco Kerajaan PAS Terengganu, Ustaz Awang Dagang @ Yusuf serta pimpinan PAS kawasan Kemaman dan MTD Chukai.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top