‘Unity Government’ tidak perlu disegerakan-Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Dato’ Harun Taib



Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Dato’ Harun Taib menyifatkan keputusan bersama Pakatan Rakyat menolak ‘Unity Government’ (Kerajaan Perpaduan) adalah tepat.

Katanya, keputusan bersama itu dipersetujui oleh PAS, Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan DAP kerana tidak perlu disegerakan.

“Itu (tolak) keputusan Presiden kita (PAS) bersama-sama dengan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat iaitu bersama dengan PKR dan DAP.

“Berdasarkan kepada situasi dan keadaan yang ada itu dan berdasarkan kepada konsep ‘Unity Government’ itu adalah dengan penyertaan semua parti yang ada dalam Parlimen yang menang dalam pilihan raya itu menyertai sama dalam pemerintahan Negara,” jelasnya selepas Mesyuarat Dewan Harian Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, di Jalan Sultan Omar, hari ini.

Olek kerana, katanya DAP dan PKR memikirkan tidak perlu disegerakan dalam konsep setiakawannya (Pakatan Rakyat) idea Kerajaan Perpaduan itu ditangguhkan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata isu ‘Unity Government’ itu terus ‘bermain’ dalam fikiran rakyat.

“Presiden PAS pun sedia untuk tangguh dahulu. Sekarang ini fikiran mengenai ‘Unity Government’ itu akan terus berada dalam fikiran orang-orang kita.

“Walau pun tidak dilaksanakan sekarang ini tetapi dalam pakatan yang ditandatangani bersama itu dalam perkara ketiga, mana-mana parti politik dibebaskan atau dibenarkan mengadakan apa-apa hubungan untuk kebaikan kepada Negara dengan mana-mana pihak sekali pun,” ujarnya.

Maknanya, kata Dato’ Harun isu tersebut tidak ‘mati’ tetapi tidak perlu disegerakan dan ini keputusan yang dipersetujui bersama (PAS, PKR dan DAP).

Menurutnya, Pesuruhjaya PAS negeri-negeri merupakan sebahagian dari parti dan apa yang diputuskan oleh parti akan diikuti.

Katanya, apa-apa yang dipersetujui oleh Presiden PAS yang tidak berlawanan dengan dasar parti akan diikuti bersama secara berjemaah.

Ketika ditanya mengenai penarikan semula kenyataan Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz terhadap Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa mungkin kerana kekeliruan maklumat dalam isu Kerajaan Perpaduan.

Katanya, penjelasan terhadap isu tersebut telah diadakan dalam satu majlis persaudaran Islam serta diakui terdapat kekeliruan maklumat.

“Itu dalam perjumpaan bersama dan saya hadir. Dalam perjumpaan itu dimaklumkan kepada Mursyidul Am bahawa bukan maksud kita (PAS) Unity Government itu penubuhan kerajaan antara PAS dan Umno sahaja. Tetapi melibatkan semua parti-parti politik dan ini kita (PAS) bersetuju.

“Jadi mungkin maklumat yang diterima oleh Mursyidul Am itu tidak tepat dan betul lalu dikeluarkan kenyataan seperti itu.

“Maka, dengan sebab itu untuk menjaga persaudaraan Islam secara Islam, meraikan perasaan dan hati sahabat kita (Ustaz Nasaruddin) yang terlibat maka dengan sebab itu Mursyidul Am sebagai bapa sebagai pemimpin.

“Walau pun dia (Nik Aziz) kata apa kepada anak dia (Nasaruddin) dan didapati bahawa apa yang dia (Mursyudul Am) cakap itu tidak tepat, tidak betul. Maka, dia (Nik Aziz) tarik baliklah ucapan dia dan kenyataan itu dibuat secara bertulis,” jelasnya

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top