MBKT tidak ‘reti’ urus padang bola?


Salam For All;


Sebuah padang bola sepak milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kini dilihat terbiar usang, tidak terurus serta ‘menyakitkan’ mata memandangnya.

Lokasinya yang terletak di tengah pusat bandar Jalan Sultan Omar Kuala Terengganu sekaligus mencemar imej sebuah bandaraya yang diistiharkan sejak dua tahun lalu.


Ini sebenarnya, menggambarkan ‘kelemahan’ pengurusan serta kecelaruan dalam pemerintahan kerajaan negeri yang belum selesai sejak Menteri Besarnya diterajui oleh Dato’ Seri Ahmad Said.


Padang bola tersebut sebelum ini pernah dijadikan tempat menjalani latihan bagi pasukan skuad bola sepak negeri Terengganu.


Malah lebih mengecewakan apabila padang bola berkenaan turut dilengkapi dengan kemudahan gelanggang futsal dan bola keranjang tidak diuruskan dengan baik oleh pihak berwajib.


Baru-baru ini, Awang ada bertemu dengan member lama iaitu Pengerusi Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Mohamad Fauzi Abu Samah dan sedikit sebanyak kami bercakap juga hal tersebut.


Beliau menggesa pihak berkenaan supaya segera mengambil tindakan memulihkan padang bola MBKT yang terbiar usang itu.


Katanya, tindakan membiarkan harta kerajaan yang masih elok hingga rosak merupakan suatu pembaziran tidak wajar berlaku di negeri ini.


“Saya minta pihak MBKT segera ambil tindakan menjaga semula padang bola sepak yang terbiar usang dan mencemarkan pemandangan.


“Ini (padang) harta kerajaan dan harta rakyat yang telah dibelanjakan ribuan ringgit setiap tahun untuk kemudahan awam,” ujarnya.


Menurutnya lagi kegagalan menguruskan sebuah padang milik kerajaan memberikan menggambarkan imej bahawa ‘kelemahan’ kerajaan negeri.


Selepas itu, Awang bertemu pula dengan Pengarah Jabatan Amal Terengganu, Mohd Saiful Ambia Darusa, 39, di sebuah kedai di Jalan Sultan Omar itu.


Beliau pula berpendapat daripada padang bola sepak MBKT itu terbiar serta tidak dijaga adalah lebih baik diswastakan sahaja.


Katanya, Jabatan Amal Terengganu sebagai sebuah badan NGO di negeri ini amat memerlukan tempat-tempat permainan seumpama itu.


“Kami (Amal) memerlukan tempat-tempat rekreasi untuk kemudahan menjalankan aktiviti kepada belia remaja.


“Dari terbiar usang lebih baik diswastakan kepada mana-mana pihak terutama Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti kami (Jabatan Amal),” jelasnya.


Menurutnya, pelaburan kerajaan puluhan ribu ringgit disia-siakan yang patut dimanfaatkan sebagai tempat bersukan dan aktiviti remaja.


Saudara Mohamad Zaidan Abdullah pula berkata lokasi padang bola yang terletak di tengah pusat Bandar Kuala Terengganu menarik perhatian orang ramai.


Namun begitu, kata beliau melihat keadaan padang bola yang terbiar itu ‘menyakitkan’ pemandangan mata melihatnya.


“Melihat pada padang bola memang menyakitkan pemandangan mata. Saya rasa malu terutama kepada pengunjung luar kerana persekitaran yang kotor, sampah sarap dan terbiar,” ujarnya.


Sumber yang Awang perolehi memaklumkan bahawa padang bola MBKT tersebut terbiar usang sebaik sahaja selepas pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Januari 2009 lalu.


Ini kerana, padang bola tersebut pernah dijadikan markas sementara bagi menempatkan ribuan anggota-anggota polis yang bertugas sepanjang musim kempen pilihan raya tersebut.

Audit dedah kilang ‘e-Book’ bermasalah

Salam For All:
Sebenarnya, pendedahan yang dibuat oleh seorang wakil rakyat PAS mengenai masalah besar yang dilaku terhadap kilang ‘e-Book’ TOP IT Industries Sdn. Bhd bukan fitnah atau sengaja cari silap salahnya.

Tetapi, ianya benar-benar berlaku serta boleh membahayakan 67 nyawa para pekerja di kilang berkenaan jika tidak ditangani segera.

Baru-baru ini, Awang turut diajak oleh rakan-rakan media ke lokasi tapak kilang berkenaan yang dikatakan berharga RM12 juta itu di kawasan Perindustrian Gong Badak, Kuala Terengganu.

Jadi untuk tatapan umum para pembaca serta peminat Awang ini disertakan beberapa helaian laporan dari Jabatan Audit Negara Cawangan Terengganu yang Awang terima dari seseorang.

Maknanya, jika kita hendak kata fitnah atau laporan itu tidak betul bukan wakil rakyat PAS itu yang salah atau tidak betul tetapi laporan Audit Negara itu yang tidak betul dan salah.

Cumanya, Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi itu hanya menyampaikan maklumat serta mendedahkan berlakunya penyelewengan sebagaimana yang dilaporkan oleh Jabatan Audit terbabit.

Oleh itu, sila perhati dan baca betul-betul dan satu persatu dari helaian demi helaian sebelum kita tuduh siapa fitnah siapa?


NOTA: ‘Yang Salah Tetap Salah dan Yang Benar Tetap Benar’

Kilang ‘retak’,’bocor’ dan tiada CF

Dengan Nama Allah Tuhan Semesta Alam;-


Seingat-ingat Awang, sejak dari mula cadangan kerajaan Umno-BN Terengganu mahu memperkenalkan projek ‘e-Book’ untuk dibekalkan kepada setiap para pelajar sekolah rendah di negeri telah tidak dipersetujui pada asasnya oleh pihak pembangkang.


Maksud tidak bersetuju itu bukan bermakna menentang secara ‘rambang’ kerana yang hendak buat itu adalah kerajaan Umno-BN.


Tetapi, apa yang tidak dipersetujui itu kerana pihak berkenaan tidak membuat kajian terperinci serta dibimbangi itu projek ‘cari makan’ di kalangan pimpinan Umno sahaja.


Sebabnya, banyak orang tidak mempercayai lagi dengan cara pengurusan negeri dan negara yang diterajui oleh puak-puak Umno-BN ini.


Memanglah, mereka (Umno-BN) ‘pandai’…mereka ‘bijak’..dan mereka ‘cekap’ tetapi bukan kerana pandai, bijak dan cekap memerintah. Tapi mereka (pemimpin Umno-BN) itu ‘pandai menipu’…’bijak khianat’…dan ‘cekap rasuah’.


Hasilnya, cuba kita sama-sama melihat serta menghayati apa yang berlaku mengenai cerita disebalik ‘kehebatan’ projek ‘e-Book’ TOP IT Industries ini.


Awang diberitahu, nasib 67 orang kakitangan yang bekerja di kilang membekalkan ‘e-Book’ TOP IT Industries Sdn. Bhd di kawasan Perindustrian Gong Badak, Kuala Terengganu ibarat ‘telor di hujung tanduk’.


Wah!... Jika ‘telur di hujung tanduk’ maknanya ‘BAHAYA’ dan bila-bila masa pun boleh jatuh dan pecah tanpa diduga.


Ini kerana, berdasarkan laporan Jabatan Audit Negara Cawangan Terengganu mengenai Pengauditan Pengurusan Anak Syarikat TOP IT Industries membuktikan kilang tersebut tidak mempunyai CF.


Sehubungan itu, pada 26 Ogos 2010 (Khamis) lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi telah mengadakan satu sidang medianya di hadapan kilang TOP IT Industries Sdn. Bhd.


Katanya, laporan Audit tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan keretakan kekal serta boleh membahayakan nyawa 67 orang kakitangan yang bekerja di kilang berkenaan.


“Saya telah mendapat dua dokumen penting yang diberikan kepada saya. Pertama, tentang pengauditan pengurusan TOP IT Industries Sdn Bhd dan keduanya, gambar-gambar mengenai kerosakan-kerosakan yang disebut kerosakan kekal.


“Laporan Jabatan Audit Negara Cawangan Terengganu mendapati kilang ini tidak mendapat Sijil Akuan Kelayakan Menduduki atau pengesahan CF dari Jabatan Bomba dan Penyelamat,” ujarnya.


Beliau mahukan kerajaan negeri segera bertindak untuk membuat pemeriksaan rapi berdasarkan laporan audit ke atas kilang ‘e-Book’ terbabit.


Katanya, kilang pemasangan e-Book tersebut beroperasi dalam keadaan amat merbahaya kepada para pekerja yang seramai 67 orang.


“Mereka (pekerja) telah membuat pengaduan kepada kami (PAS) secara rahsia tentang bahaya mereka (pekerja) bekerja di sini (kilang) kerana berlaku keretakan-keretakan yang boleh nampak jelas dari luar bangunan.


“Audit Terengganu telah membuat audit dan memaklumkan tentang keretakan-keretakan yang berlaku ini merupakan keretakan yang kekal dan boleh memberikan ‘impak’ (kesan) besar kepada para pekerja jika berlaku keruntuhan.


“Jadi, mereka (pekerja) amat bimbang tentang apa yang ada sekarang ini. Dan jika hari hujan atau ribut akan berlaku juga kebocoran.


“Air (hujan) masuk ke dalam (kilang) dan atap kilang ini juga bergoyang jika berlaku tiupan angin, hujan dan ribut,” jelasnya.



Dr Syed Azman turut melahirkan rasa bimbang jika kilang TOP IT Industries milik anak syarikat kerajaan negeri yang berharga lebih RM12 juta itu runtuh.


Menurutnya, kilang terbabit telah beroperasi selama satu tahun empat bulan tanpa Sijil Akuan Kelayakan Menduduk (SAKM) atau CF dari pihak berwajib.


“Ini (kilang) perlu kepada pemerhatian kerajaan negeri untuk mengambil langkah-langkah yang sewajarnya.


“TOP IT Industries Sdn. Bhd ini merupakan sebuah anak syarikat kerajaan negeri Terengganu yang mula beroperasi tahun 2009. Kilang ini bernilai lebih RN12 juta.


“Laporan Juruperunding Arkitek Pembinaan Kilang mendapati berlaku kebocoran pada dinding, steel column, siling, dinding, keretakan dinding dan penghawa dingin tidak berfungsi dengan baik,” ujarnya.


Katanya, lawatan Audit ke bangunan kilang tersebut pada 15 Mac 2010 lalu mendapati kesan retak yang serius sedang dalam pembaikan pihak kontraktor.


Jika hal yang sama berlaku kepada pihak lain. Awang yakin dan percaya sudah pasti satu tindakan drastik akan dilakukan oleh pihak berwajib.


Maka, teringatlah Awang akan nasib yang menimpa sebuah sekolah rakyat yang pernah dirobohkan oleh kerajaan BN Terengganu di bawah kepimpinan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.


Pada 19 November 1991, sebuah sekolah pro-PAS iaitu Institut Berakan yang terletak di Jalan Sultan Omar Kuala Terengganu dirobohkan dengan kejam atas arahan pemimpin kerajaan Umno-BN Terengganu.


Alasan CF juga telah ‘dikambing hitamkan’ untuk menghalalkan cara mereka meroboh serta memusnahkan pusat pengajian Islam Institut Berakan (IB) ketika itu.


Awang tidak bercadang untuk ulas panjang perihal Institut Berakan itu dan akan Awang bicarakan semula dilain penulisan agar rakyat tahu apa yang berlaku sebenarnya. Sebab, Awang juga pernah dididik dan mengaji di IB untuk beberapa tahun.


Cuma yang Awang rasa agak ‘pelik bin ajaib’ kenapa bangunan milik anak syarikat kerajaan negeri juga tidak ada CF atau Sijil Akuan Menduduki Bangunan.


Ini tentunya ada sesuatu yang tidak kena dan Awang dapat agak mungkin projek buat bangunan itu projek segera, mahu cepat siap dan buat tidak ikut spesifikasinya.


Apakah, selepas laporan seumpama ini dilaporkan juga oleh akhbar Sinar Harian akan ada suatu tindakan positif atau sama nasib yang dialami oleh agensi-agensi media lain yang turut serta membuat liputan tapi tidak disiarkan.


Sekadar makluman, ketika Dr Syed Azman membuat PC ini semua agensi media hadir seperti Bernama, Bernama TV, Utusan Malaysia, Sin Chew Daily dan Astro Awani. Tetapi pada sebelah petangnya Awang diberitahu pihak ‘atas’ tidak mahu pakai cerita ini.


Maknanya, pihak media tidak mahu pakai cerita ini supaya rakyat tidak tahu apa-apa cerita mengenai masalah yang diutarakan oleh wakil rakyat pembangkang. Dan rakyat selamanya cuba diperbodohkan oleh pemerintah.


NOTA: ‘Bangkai Gajah Cuba Ditutup Dengan Daud’

Mek Hawa ‘bolot’ projek Mat Said

Assalamualaikum w.w.t;

‘Perang’ saraf yang dihalakan kepada anak seorang ‘tok nyadat’ yang sejak dari kecil lagi gemarkan ‘ubi gadong’ nampaknya belum kunjung padamnya.

Apatah lagi, sememangnya manusia ini berhati ‘batu’ serta ‘keras’ kepala dalam saingan politiknya di negeri Terengganu Darul Iman ini.

Beliau ialah Ahmad bin Said atau panggilan ‘manja’ Mat Said yang kini menjadi Menteri Besar Terengganu, Adun Kijal serta Timbalan Pengerusi Umno-BN Terengganu.

Namanya, semakin ‘gah’ sebab baru sahaja dapat gelaran Dato’ Seri sempena hari kebesaran Sultan Tuanku Mizan Zainal Abidin baru-baru ini.

Apa yang hendak Awang bawa ceritanya kali ini mengenai suatu nama ‘misteri’ yang boleh dianggap ‘istimewa’ oleh pihak tertentu di negeri ini.

Sebuhungan itu, kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu diminta memberi penjelasan bagaimana dakwaan ribuan pasang pakaian persekolahan tidak diagihkan kepada rakyat.

Ini kerana, kerajaan negeri telah membelanjakan sejumlah RM8 juta wang rakyat kepada sebuah syarikat ‘istimewa’ secara runding terus.

Sumber yang Awang perolehi memaklumkan bahawa sebuah syarikat bernama Syarikat Hamie Enterprise telah menghantar surat secara terus kepada Menteri Besar Terengganu.

Surat permohonan tersebut bagi membekalkan pakaian persekolahan dengan jenama 'Ganu Kita'.

Surat permohonan Hamie Enterprise tersebut ditandatangani oleh penamanya Hamie Azreen bin Ami Nordin dan diperkenankan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said untuk menjadi syarikat membekalkan pakaian sekolah.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Hamie Azreen bukanlah pemilik tunggal mahu pun rakan kongsi Syarikat Hamie Enterprise ketika ditubuhkan pada tahun 1994.

Syarikat Hamie Enterprise adalah syarikat perniagaan tunggal milik Mek Hawa binti Abdul Rahman dan Hamie Azreen hanya dimasukkan sebagai rakan kongsi pada 6 Januari 2008.

Kemudiannya, Hamie Azreen menarik diri serta meninggalkan Syarikat Hamie Enterprise pada 26 Ogos 2008.

Ini menunjukkan, Hamie Azreen hanya digunakan sebagai penama syarikat bagi tujuan memperolehi projek membekalkan baju sekolah sebagaimana diluluskan pada 31 November 2008.

Difahamkan, sejurus selepas itu Mek Hawa binti Abdul Rahman sebagai pemilik tunggal Syarikat Hamie Enterprise telah mendapat tender membekalkan pakaian sekolah kepada 53,300 orang pelajar bernilai RM7,995,000.00.

Setiap pakej satu set pakaian bersekolahan yang dibekalkan itu berharga RM150,00 untuk diagihkan kepada lebih 53,000 orang pelajar di Terengganu.

Oleh kerana, keputusan itu tergesa-gesa dibuat pada penghujung tahun 2008 perbelanjaan sebesar itu sepatutnya ditender oleh kerajaan negeri tetapi diberi secara rundingan terus.

Sumber itu memaklumkan, syarikat berkenaan telah membuat pembelian pakaian seragam persekolahan serta peralatan tersebut dari negara China tanpa membuat rujukan kepada keperluannya mengikut saiz sebenar.

Akibatnya, meski pun telah berlalu hampir dua tahun projek membekalkan pakaian sekolah termasuk stokin dan kasut masih 'berlambak' tidak habis diagihkan kerana saiz yang tidak sesuai.

Malah, menurut laporan semakan dibuat oleh Pejabat Pelajaran Hulu Terengganu sahaja pada 5 Oktober 2009 stok yang masih ada dalam stor pejabat pelajaran daerah tersebut masih banyak tersimpan.

Antaranya, kasut sebanyak 5402 pasang, seluar panjang (5066) helai, baju kemeja sekolah lengan pendek (4222) helai, baju kurung putih perempuan (4415) helai, kain sarung biru (936) helai dan kain tudung (jilbat) putih sebanyak 2910 helai.

Manakala, lebihan pakaian serta peralatan sekolah yang belum habis diagihkan itu dilaporkan berada tersimpan di Dewan Badminton kediaman rasmi Seri Iman Menteri Besar Terengganu.

Persoalannya, siapakah wanita bernama Mek Hawa bin Abdul Rahman di sisi Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said yang cukup istimewa nasibnya.

‘Mek Hawa’ juga dilaporkan bukan dari kalangan pemimpin Wanita Umno terkenal mahu pun Puteri Umno tetapi berjaya ‘membolot’ jutaan ringgit projek-projek tertentu di negeri Terengganu.

Malah, kata sumber tersebut ‘Mek Hawa’ juga dikatakan telah dikurniakan satu kawasan balak seluas hampir 1,200 hektar di negeri ini.

Justeru itu, Dato’ Seri Ahmad kena menjawab persoalan tersebut kerana ianya tetap menjadi tanda tanya di kalangan rakyat termasuk ahli-ahli serta penyokong Umno sendiri.

Strategi Umno-BN ‘lagakan’ PAS-PR

Dengan Nama Allah Tuhan Yang Maha Menyayang;


Salam Untuk Semua….Awang tujukan kepada sesiapa sahaja semoga diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT, Tuhan Semesta Alam ini.


Baru-baru ini, timbul lagi isu ‘Negara Islam’ yang menjadi isu yang tidak pernah ‘mati’ dan sentiasa boleh ‘dihidupkan’ oleh pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).


Pedulikan ‘apa orang kata’ tetapi hari ini Awang tetap hendak ketengahkan isu ‘Negara Islam’ sebelum isu ‘Hudud’ yang sehari dua ini kembali menjadi ‘hangat’ seolah-olah berlaku perselisihan ‘besar’ antara pemimpin PAS-DAP.


‘Dan Sebenarnya’…bagi PAS juga tetap tidak pernah berubah dengan pendirian serta dasar-dasar Islam sejak ditubuhkan hampir mencecah usianya 60 tahun lalu.


Sebab itu, jika seseorang itu matang dalam ‘beragama’ dan matang dalam ‘berpolitik’ tidak timbul lagi soal PAS dengan Negara Islam kerana jika tidak sebut pun PAS tetap dengan dasar Negara Islamnya.


Dan alangkah bodohnya, jika masih ada di kalangan pemimpin Islam Melayu Umno yang kononnya ingin mengambil kesempatan untuk memecah-belahkan PAS dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat terutama Parti DAP dengan isu ‘Negara Islam’.


Sekadar peringatan, setiap kali isu (Negara Islam) ini ‘ditimbulkan’ sebenarnya secara sedar tidak sedar yang ‘terperangkap’ dengan mainan media massa tersebut adalah Mr Karpal Singh (DAP).


Musuh sentiasa mahu ‘melaga-lagakan’ di kalangan pemimpin PAS, PKR dan DAP antara satu sama lain agar tidak wujudnya Pakatan Rakyat sebenar.


Tetapi, yang ‘letih’ lagi ‘meletihkan’ adalah rakyat yang ‘buta kayu’ atau sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat terutama orang bukan Islam seperti orang Cina dan India.


Penjelasan demi penjelasan sudah tidak dihiraukan lagi kerana orang Melayu, orang Cina, orang India dan rakyat umumnya yang kurang pengetahuan Islam mudah ‘melenting’.


Awang masih ingat dengan kata-kata mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika beliau datang ke Kuala Terengganu dan bercakap mengenai itu tersebut.


Ketua Umum Pakatan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyifatkan isu ‘Negara Islam’ sebenarnya sengaja ditimbulkan bagi melaga-lagakan keutuhan Pakatan Rakyat.


Menurutnya, isu Negara Islam telah lapuk pernah dibangkitkan sejak 20 tahun lalu serta menjadi senjata terakhir Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).


Bahkan, katanya isu tersebut kini langsung tidak menjejaskan Pakatan Rakyat terbukti dalam beberapa siri pilihan raya kecil dari Kuala Terengganu hingga ke Sibu, Sarawak.


“Isu (Negara Islam) ini sudah 20 tahun dibangkit dan 10 tahun dulu sewaktu saya di penjara pun telah dibangkitkan dan sekarang ini pun dibangkitkan lagi.


“Tapi, saya tengok dalam pilihan raya kecil di Kuala Terengganu hingga ke pilihan raya kecil di Sibu tidak menjejaskan (Pakatan Rakyat).


“Ini percubaan ‘akhir’ Umno dan Barisan Nasional hendak cuba melemahkan Pakatan Rakyat. Itu sahaja,” jelasnya.


Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Seharum dan Pilihanraya Parti KeADILan Rakyat Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Hotel Kenangan, dekat sini, 9 Julai lalu.


Katanya, isu rekaan Umno seperti Negara Islam merupakan isu ‘berkala’ atau ‘drama’ bersiri yang sering kali diulang-ulang hampir enam bulan sekali.


“Masalah (isu) ini rekaan Umno untuk melaga-lagakan Pakatan Rakyat tetapi dia (Umno-BN) telah cuba dan hampir setiap enam bulan sekali dibangkitkan isu ini. Isu ‘berkala’, ‘drama’ banyak siri,” ujarnya.


Selain itu, beliau mendakwa sambutan rakyat terhadap parti-parti kompunan Pakatan Rakyat seperti PAS, DAP dan PKR jauh lebih baik dari sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.


Katanya, antara negeri-negeri seperti Johor, Negeri Sembilan dan Melaka kini mempunyai jumlah keanggotaan, jentera, kegiatan serta program yang cukup baik.


“Parti KeADILan (PKR), PAS dan DAP sekarang ini jauh lebih kuat di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka berbanding sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, tahun 2008.


“Dari segi keanggotaan, dari segi jentera, dari segi kegiatan dan program. Apakah ia cukup memuaskan, itu kita (parti) boleh buat penilaian. Apa yang nyata jauh lebih hebat dari sebelumnya,” ujarnya.


Ketika ditanya oleh para wartawan mengenai saman Menteri terhadap Parti KeADILan Rakyat (PKR) mengenai isu ‘Felda Bangkrap’, Dato’ Seri Anwar menyifatkan suatu perkembangan positif bagi rakyat.


Katanya, isu orang Melayu yang menjadi peneroka di Felda kini mula ‘terdedah’ dan ‘diketengahkan’ untuk diketahui umum.


“Pada saya (Isu Felda) bagus, bagi saya ini suatu perkembangan yang positif kerana isu Felda sekarang ‘terdedah’ dan ‘ketengah’. Orang (rakyat) akan mula tertanya-tanya, kenapa isu ini berbangkit.


“Kita (Pakatan Rakyat) ada jasa kita untuk membela nasib orang Melayu terutamanya dan peneroka Felda yang terpinggir.


“Apa janji Tun Razak. Kata dia (Razak) tidak sekali-kali kita (kerajaan) akan ambil tanah peneroka. Itu janji dia (Razak) di Parlimen dan kita (pembangkang) ulang kenyataan dia (Razak). Apa yang berlaku sekarang banyak tanah tergadai,” tegasnya.


Maknanya, isu ‘Negara Islam’ ditimbulkan kembali waktu itu untuk menutup kes Felda bakal menjadi ‘Bankrap’ jika keadaan tidak berubah dan semakin merosot.


Dan Umno-BN cukup bimbang dan ‘takut’ sekali dengan isu Felda kerana terlalu banyak penyelewengan, penipuan serta salah guna kuasa ketika menguruskan harta rakyat.


Maka, rakyat umumnya terutama di kalangan orang Melayu Umno di kawasan pendalaman serta felda yang hanya ‘bergurukan’ tv dan ‘berkitabkan’ surat-surat khabar seperti ‘Utusan Meloya’, ‘Berita Hairan’ serta yang sewaktu dengannya adalah ‘tali hayat’ parti pemerintah hari ini.


Justeru itu, tidak menjadi salah kepada rakyat untuk ‘membeli’, ‘membaca’ atau ‘meminjamkan’ media-media yang disebutkan tadi. Cuma yang diminta supaya berfikiran matang dan merdeka minda.


Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing dan pimpinan PKR Pusat, Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Terengganu, Abdul Rahman Yusuf.

Terengganu Boleh!!! ‘Musim Orang Buang Bayi’…

Salam Sejahtera Untuk Semua:-

Bagaikan ‘bermusim’ dan boleh berlaku di mana-mana sahaja tanpa rasa perikemanusiaan kepada makhluk, tanpa rasa simpati terhadap nyawa yang tidak berdosa, tanpa rasa bersalah hukum dan undang-undang dan tanpa rasa berdosa kepada Tuhan Azzawajalla.

Gejala pembuangan bayi yang dilahirkan hasil hubungan haram, kehamilan luar nikah semakin menjadi-jadi dalam negara serta tidak terkecuali di negeri Terengganu Darul Iman.

Barang kali, ini satu musibah dan bala kepada pihak tertentu yang cuba menukar Terengganu Darul Iman kepada Terengganu Islam Hadhari atau Islam 1Malaysia sekarang.

Ini berikutan penemuan kes terbaru seorang bayi lelaki yang masih hidup serta bertali pusat yang telah ditinggalkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, sangat jahat, perbuatan zalim, penyakit ‘gila’, jiwa ‘sewel’, kaki ‘penzina’ dan tangan ‘pembunuh’ di Kampung Hulu Takir, dekat sini, pada 17 Ogos lalu.

Malah, mereka (suspek) yang tidak berhati perut itu bagaikan telah mengetahui penghuni rumah yang ditinggalkan bayi tersebut merupakan seorang anggota Polis di IPK, Kuala Terengganu.

Barang kalinya, selama ini tugas Polis telah berubah untuk ‘menjaga’ orang politik, sekat ceramah politik kerana arahan, halang orang politik demi menjaga kuasa politik pihak tertentu dan sebagainya.

Sehingga, tugas yang sepatutnya dilaksanakan oleh Polis memantau serta mencegah berlakunya gejala jenayah sosial, pergaulan bebas, maksiat dan lain-lain diabaikan.

Akhirnya, bayi yang dilahir secara ‘haram’ oleh si ibu yang berzina kerana pergaulan bebas itu ditakdirkan Tuhan diletak di pintu pagar rumah anggota Polis sendiri. Jangan tengok di mana tempat bayi dibuang tetapi tengok hikmah disebalik tempat itu dipilih.

Bayi tersebut ditemui oleh seorang remaja perempuan Nur Hafiana Marzuki, 19, kira-kira jam 10.15 malam di atas rumput hadapan pintu masuk pagar rumahnya dalam keadaan berbogel tanpa secebis pakaian.

Sejurus selepas bayi ‘malang’ tersebut ditemui dan diambil oleh Nur Hafiana terus diselimutkan dengan tuala sebelum dia (Nur Hafiana) menghubungi ibubapanya yang kebetulan tiada di rumah ketika itu.

Menurutnya, kejadian penemuan bayi tersebut amat mengejutkan ahli keluarga berkenaan dan jika terlambat diselamatkan kemungkinan boleh mati kesejukan.

“Kira-kira jam 10.15 malam saya mahu keluar ke kedai dan terjumpa seorang bayi lelaki dalam keadaan berbogel tanpa sebarang pakaian ditinggalkan di atas rumput depan pintu pagar rumah saya.

“Selepas diambil (bayi) saya masuk semula ke dalam rumah dan menyelimuti bayi itu dengan kain tuala saya.

“Dan saya terus menghubungi ibu dengan memberitahu kejadian penemuan seorang bayi lelaki yang masih hidup dan bertali pusat,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata beliau bayi tersebut telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) oleh ibubapanya untuk pemeriksaan kesihatan.

Encik Marzuki Hamid, 44, merupakan seorang anggota Polis di IPK Kuala Terengganu yang berkhidmat di bahagian Hal Ehwal Awam.

Menurutnya, ketika kejadian beliau bersama isteri serta anak-anak lain berada di bandar Kuala Terengganu atas urusan keluarga.

“Saya terkejut apabila diberitahu oleh anak (Nur Hafiana) melalui panggilan telefon tentang penemuan bayi itu.

“Setelah pulang ke rumah, saya terus membawa bayi itu ke hospital (HSNZ) dan membuat laporan Polis,” jelasnya.

Awang dimaklumkan berat bayi lelaki berkenaan dianggarkan 2.7 kilogram ditemui dalam keadaan sihat serta tidak menangis ketika dibuangnya.

Baru-baru ini, seorang penceramah politik iaitu Ustaz Ridhuan Mohd Nor berkata fokusnya kini untuk menangani masalah gejala social yang semakin berleluasa dalam negara.

Katanya, isu pembuangan bayi serta janin secara haram berlaku tanpa had dan di mana-mana sahaja.
“Kami lihat hari ini masalah gejala sosial semakin membimbangkan dengan kes perzinaan, pembuangan bayi yang boleh meruntuhan Institusi Kekeluargaan.

“Hal ini (isu) bukan sahaja berlaku bandar-bandar besar tetapi merebak ke kampung dan desa sehingga melahirkan masyarakat yang pincang,” ujarnya.

Katanya, tahun 2009 lalu seramai 17,303 orang anak luar nikah Melayu didaftarkan di seluruh negara dan meningkat berbanding tahun 2008 seramai 16,541 orang.

“Kes anak luar nikah atau tidak saf taraf cukup banyak berlaku di kalangan orang Melayu dan mengikut laporan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seramai 17,303 orang didaftarkan tahun 2009 lalu.

“Kes ini (anak luar nikah) telah naik dari tahun 2008 seramai 16,541 orang dan tahun 2007 seramai 16,000 orang setahun.

Bayangkan, kata Ustaz Ridhuan selama lima tahun dari tahun 2005 hingga 2009 seramai 74,723 pendaftaran anak luar nikah yang membabitkan orang Melayu Islam sahaja.

Ini katanya, tidak termasuk kes-kes yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kes-kes yang tidak dilaporkan.

Menurutnya,masyarakat muda hari ini semakin berani melakukan perzinaan mungkin juga kerana wujudnya banyak klinik-klinik swasta yang boleh mengugurkan kandungan.

Katanya, banyak kes penguguran di Lembah Kelang berlaku di kalangan remaja dan anak gadis dengan kos pembiayaan serendah RM400 sahaja.

Akhbar Harian Metro dan Berita Harian Terengganu pernah melaporkan seramai 16 hingga 20 orang pelajar di sebuah Sekolah Menengah di negeri ini telah didapati ‘hamil’ serentah dalam satu-satu masa.

Bahkan, empat daripadanya telah ‘bersalin’ dan melahirkan anak. Manakala, 16 pelajar hamil lagi masih bersekolah seperti biasa.

Hebat sungguh negeri Terengganu tanahairku ini yang semakin maju dan hebat dalam segala segi. Inilah sebenarnya, yang dibangga-banggakan oleh pemimpin Umno di Terengganu.

Sebenarnya, ‘anak akan ikut bapanya’ dan ‘rakyat akan ikut pemimpinnya’. Adakah pemimpin atau pemerintah atau Menteri Besar kita (Terengganu) lahir dari kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.?

‘Dan Sebenarnya’….Awang ada satu ‘RAHSIA BESAR’ yang pernah MB Dato’ Seri Mat Said ini sewaktu di zaman muda-muda dahulu…apa dia (isu)?...Tunggu dan lihat bila sampai masanya.

Sementara itu, Pegawai Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah pula mendakwa terdapat hampir 80 peratus anak-anak muda, belia dan remaja tidak tahu solat dengan sempurna hari ini.

Katanya, masalah kesempurnaan tuntutan fardhu ain dan fardhu kifayah itu wajar dititik beratkan bagi menjaga aqidah, moral dan akhlak.

Menurutnya, program yang menitik beratkan keagamaan sangat lemah di sekolah-sekolah bagi menjadi benteng ketahanan diri dengan Islam.

“Kami sarankan supaya pihak kerajaan terutamanya kerana mempunyai banyak kemudahan dan kewangan supaya memberi pendidikan agama yang sempurna kepada rakyat.

“Pusat-pusat pelancongan di darat dan di pulau perlu diberi perhatian serius supaya tidak dijadikan pusat kegiatan maksiat oleh sesiapa sahaja,” tegasnya.

Menurutnya, pendedahan anak-anak muda dan masyarakat dengan gejala tidak sihat yang dibawa masuk dari luar mengakibatkan masalah tersebut.

Kesimpulannya, kita semua mahukan keadilan Islam ditegakkan bagi membenteras segala gejala yang tidak bermoral dari terus menerus berlaku di negeri ini.

Sesungguhnya, bala Tuhan tidak mengenal siapa yang jika ‘diturunkan’ terhadap sesebuah negeri itu. Maka, yang kena bukan orang kaki maksiat sahaja, bukan kaki penzina sahaja, bukan orang jahat sahaja. Tetapi, yang kena semua sekali tanpa mengira agama dan bangsa.


NOTA: “Buat Baik Berpada-pada…dan Buat Jahay Jangan Sekali…Buruk Padahnya”

MB Mat Said tidak diyakini

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang;-


Setelah lebih dua tahun Dato’ Seri Ahmad Said menerajui negeri sebagai Menteri Besar kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu tetapi kepimpinannya masih tidak diyakini.


Mandat yang dipikulnya sebagai ketua kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu hanya dipandang ‘sebelah mata’ oleh banyak pihak termasuk Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah ini.


Realitinya, apabila Ahmad sendiri pernah membidas tindakan sesetengah JKKK di daerah Kuala Terengganu yang gagal memberi komitmen untuk hadir pada suatu majlis perjumpaan khas dengannya di Stadium Negeri, tidak lama dahulu.


Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Umno Terengganu turut melahirkan rasa kesal terhadap sikap pemimpin di peringkat akar umbi tersebut yang tidak seharusnya berlaku dan perlu diperbetulkan.


Malahan, apa yang lebih mengecewakannya majlis tersebut hanya dihadiri sekitar 60 peratus dari 4,000 ahli JKKK yang terdapat di seluruh daerah Kuala Terengganu.


“Kita (saya) tidak tahu apa masalah sebenar yang berlaku sehingga ahli JKKK di daerah ini (Kuala Terengganu) begitu sukar untuk memberi kerjasama, berbeza dengan keadaan di daerah Kemaman.


“Mungkin juga masalah ini (dingin) berpunca dari kepincangan kepimpinan di peringkat Umno bahagian (Kuala Terengganu) ini,” jelasnya pada satu sidang media selepas menghadiri perjumpaan tersebut.


Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Muhammad Ramli Nuh dan Adun Bandar, Toh Chin Yaw.


Senario tersebut lantas mendapat reaksi di kalangan pimpinan PAS serta Pakatan Rakyat yang sememangnya mahu mengekalkan keadaan ‘bercelaru’ itu berterusan dalam Umno-BN Terengganu.


Justeru itu, Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata masalah dalaman Umno-BN Terengganu tidak mampu diselesaikan dengan mudah.


Menurutnya, dakwaan tersebut jelas serta disedari di peringkat akar umbi (bawahan) melalui diskriminasi terhadap pemimpin yang dikatakan bukan menjadi kumpulan mereka.


“Mereka (Umno) yang kata tidak wujud kumpulan 10 itu hanya politik kerana untuk ‘menyelamatkan’ (berselindung) diri masing-masing. Krisis itu masih tidak selesai lagi,” jelasnya.


Katanya, pelbagai alasan diberikan oleh pemimpin Umno bagi memberi gambaran kepada rakyat bahawa masalah krisis dalaman kepimpinan Umno-BN Terengganu selesai.


Kesimpulannya, kepimpinan Umno Terengganu memang bermasalah tetapi ‘pengundi’ Umno yang berlambak di ceruk kampung, desa dan Felda belum tentu bermasalah dalam hal-hal tersebut.


Betullah ‘Mat Said’ semacam berbalah dengan ‘Idris Jusoh’. Betullah ‘Mat Said’ berperang dengan ‘Gang 10 Budak Hitam’ dan betullah segala-galanya tentang krisis dalaman Umno Terengganu.


Sekali pun berlaku ‘perang mulut’ atau ‘perang politik’ di kalangan pemimpin-pemimpin tertentu yang terbabit. Ini belum tentu sebagai jaminan boleh mengalahkan parti BN dalam pilihan raya umum akan datang dengan mudah.


Kenapa Awang berkata demikian? Adakah Awang tidak yakin dengan kemaraan PAS dan Pakatan Rakyat di Terengganu khususnya? Atau..dan atau…dan atau…


Ini kerana, bukan mudah orang Umno yang ‘berkarat’ biru ‘kepala otak’ mereka itu untuk bri undi kepada PAS dan Pakatan Rakyat dengan mudah jika mereka tidak didekati.


Sebab, Awang ada pengalaman manis ketika berkempen merayu undi pada tahun 1990 kira-kira 20 tahun lalu. Kata seorang pengikut Umno Tulin yang ketika ini sudah tidak ada lagi dalam dunia ini.


Kata ‘Pak Cik Umno’ itu kepada Awang…”Awang, jika orang beri pilihan kepada Pak Cik ini satu telaga ada ‘buaya’ dan disuruh pilih atau undi PAS. Pak Cik akan pilih telaga ada buaya lagi daripada PAS”.


Maknanya, orang-orang PAS atau PKR atau DAP yang duduk atas nama Pakatan Rakyat kena dekati orang Umno, dekati orang MCA, dekati orang MIC, dekati orang Gerakan dan dekati semua orang Barisan Nasional.


Kerana, itulah sebenarnya sasaran PAS dan Pakatan Rakyat. Sasaran kita (PAS) bukan orang PAS. Sasaran kita (PKR) bukan orang PKR dan sasaran DAP juga bukan orang DAP. Sasaran kita (Pakatan Rakyat) sebenarnya adalah orang BN.


Dan Sebenarnya…., Awang pinjam tajuk lagu dari artis Yuna. “Dan Sebenarnya”…orang PAS terutama pimpinan PAS disemua peringkat ingatlah bahawa ‘kemenangan Islam’ bukan mudah meski pun semudah “Kum Fayakum” dan jika Allah kata jadi maka jadilah. Jika Allah SWT kata menang, maka menanglah.


Dan Sebenarnya…, apa yang Awang bimbangkan adalah kerana ‘tidak ada gelombang’ kebangkitan rakyat Terengganu yang ketara. Awang belum nampak secara agresif tindakan jentera parti ke arah hendak mencapai kemenangan.


Awang lagi bimbang jika di kalangan ‘kita-kita’ hanya mulut bercakap hendak menang dan memerintah. Tetapi dari segi tindakan dan kerja-kerja untuk mencapai kemenangan itu tidak dilakukan.


Apakah PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat di Terengganu ini telah berpuas hati dengan kerja-kerja untuk mencapai kemenangan?


Jika itu telah dan sedang dilakukan…Awang ucap tahniah dan syabas kerana mungkin Awang ‘terlepas’ pandang serta ‘tersilap’ hitung kemampuan Pakatan Rakyat di Terengganu ini.


TETAPI….jika yang berlaku sebaliknya dan ada kebenaran terhadap apa yang Awang coretkan di sini. Segeralah bertindak dan melangkah ke hadapan dan jangan mengundur kebelakang atau berhenti di tengah jalan


.

NOTA: ‘Yang Cantik Itu Budi, Yang Indah Itu Bahasa’

‘Pencuri’? tuduh ‘Penyamun’? jadi ‘Perompak’?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang:-

‘Perang Dingin’ terus berlaku dalam kepimpinan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu dan dijangka sukar dipulihkan lagi.

Meski pun mereka (Umno) pada zahirnya nampak boleh ‘tersenyum’ tetapi hakikatnya ‘dalam perut’ mereka (Umno) ‘bergelegak’ dan ‘mendidih’.

Terbaru, berlaku perang ‘mulut’ antara Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Alias Abdullah dengan Senator BN Marang, Dato’ Abdul Rahman Bakar mengenai peruntukan pembangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri Terengganu.

Alias yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Marang mendakwa peruntukan pembangunan Parlimen Marang berjumlah RM1.5 juta tidak diagih dengan betul dan sepenuhnya.

Katanya, sehingga kini peruntukan pembangunan Parlimen tidak diagihkan ke setiap Dun menyebabkan peruntukan di setiap Dun terhad.

“Saya difahamkan, peruntukan untuk setiap kawasan Parlimen berjumlah RM1.5 juta setahun dan ini satu jumlah yang besar untuk dimanfaatkan bagi kemudahan rakyat dan parti (Umno) itu sendiri.

“Tetapi, apa yang berlaku sekarang ini peruntukan itu diberikan kepada mereka (pemimpin) bertanggungjawab menjaga kawasan Parlimen ini (Marang), tetapi wang (peruntukan) itu tidak diagihkan kepada kawasan Dun. Jadi kita (wakil rakyat) tidak tahu duit itu ke mana?,” jelasnya.

Menurutnya, peruntukan RM1.5 juta itu tidak termasuk peruntukan Persekutuan yang disalurkan menerusi Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu atau agensi-agensi berkaitan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Marang di Dewan Sivik Binjai Rendah, baru-baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Dato’ Abdul Rahman Bakar menafikan dakwaan Adun BN-Alor Limbat, Alias Abdullah mengenai peruntukan RM1.5 juta tersebut.

Katanya, peruntukan bagi setiap pegawai yang menjaga kawasan pembangunan Parlimen hanyalah RM300,000 setahun dan bukan RM1.5 juta seperti yang didakwa itu.

“Saya (pegawai pembangunan Parlimen) hanya terima RM300,000 setahun untuk dibelanjakan dalam program pembangunan dan rakyat di Parlimen Marang.

“10 peratus atau RM30,000 adalah untuk Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) untuk tujuan pembangunan di kawasan Marang.

“Saya tidak mahu orang salah faham kerana peruntukan itu bukan disalurkan terus ke akaun Pegawai Pembangunan Parlimen tetapi ke akaun JPP,” jelasnya.

Beliau merupakan bekas Ketua Umno Bahagian Marang yang juga pro-Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said tetapi kalah kepada Adun Pengkalan Berangan, Yahya Khatib Mohamad dalam pemilihan Ketua Umno bahagian yang lalu.

Sumber-sumber Awang memaklumkan, Ketua Umno bahagian Marang, Yahya Khatib baru sahaja ditukarkan portfolionya oleh Menteri Besar Terengganu kepada portfolio Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri Terengganu berkuatkuasa 1 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Dato’ Abdul Rahman berkata berbeza dengan setiap Dun yang memperolehi peruntukan kerajaan negeri Terengganu dan pihaknya memperolehi peruntukan dari kerajaan Persekutuan untuk aktiviti serta program yang menyokong kerajaan negeri.

“Saya tidak berhak dan tiada kuasa untuk agihkan wang (peruntukan) itu kerana sebarang kelulusan adalah daripada JPP,” tegasnya.

Rumusannya di sini, seolah-olah pemimpin Umno itu salin tuduh-menuduh dan sindir-menyindir antara satu sama lain. Dan seolah-olahnya, ‘pencuri’ telah menuduh ‘penyamun’ hendak jadi ‘perompak’.

Justeru itu, jika kita teliti dengan betul serta mendalami masalah serta permasalahan yang berlaku dalam Umno dan kerajaan BN Terengganu cukup mencetuskan satu gelombang bagi kebangkitan rakyat.

Namun begitu, apa yang berlaku seolah-olah langsung tidak ada ‘gelombang’ dan ‘mood’ rakyat agak ‘tawar’ untuk mengikuti perkembangan ‘perang dingin’ dalam Umno Terengganu secara khususnya.

Awang pun naik pening-pening lalat dan sekali-sekala bingung kenapa tidak ada ‘gelombang’ tersebut kerana PRU sudah semakin hari semakin hampir. Cuma ‘tok nujum’ Najib belum tilik tarikhnya.

Sebab menurut sumber ‘orang sana’…jika ditakdirkan pilihan raya kecil Parlimen di Sibu Sarawak baru-baru ini memihak kepada BN sebagaimana pilihan raya kecil di Hulu Selangor. Nescaya, tarikh PRU ke-13 itu akan disegerakan dan paling cepat April 2011.

Meski pun, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali telah ‘meramalkan’ PRU ke-13 bakal diadakan bersekali dengan PRU Sarawak iaitu kemungkinan bulan selepas Mac 2011 atau April 2011.

Tetapi…oleh kerana, pilihan raya kecil Parlimen Sibu itu tidak berpihak kepada BN dan rakyat memilih Pakatan Rakyat yang diwakili oleh DAP.

Maka, ‘terhenti’ seketika denyutan jantung Perdana Menteri. Terkejut ‘beruk’ juga pemimpin-pemimpin Umno dan Menteri-menterinya. Terduduk ‘gila’ rakan-rakan BN.

Sebab, mengikut laporan yang ‘disajikan’ oleh agensi-agensi risikan dengan segala bala tentera yang ‘diperalatkan’ oleh Umno-BN. Adalah tidak manasabah langsung mereka (BN) akan kalah. BN akan menang dengan majoriti besar sebab Parlimen Sibu itu ‘lubuk’ BN.

Tetapi akhirnya…’kuasa rakyat’ membuktikan BN tidak menang selama-lamanya dan Pakatan Rakyat juga tidak kalah selama-lamanya. Ini bukti, BN sudah tidak relevan lagi kepada rakyat, negeri dan negara ini.

Maka, ramalan Awang juga PRU ke-13 ini akan diadakan oleh Najib selepas PRU Sarawak yang akan jadi ‘penentu’. Jika BN Sarawak kalah…BN Semenanjung masih ada ruang masa untuk membuat ‘serangan’ penghabisan untuk pastikan BN terus kekal menang dan memerintah.

Maka, bersiap sedialah wahai pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dan para petugas parti masing-masing bahawa ‘serangan’ yang paling dahsyat bakal muncul bagi mempastikan Pakatan Rakyat tidak boleh menjejak kaki ke Putrajaya.

Umno-BN yang ‘disokong’ kuat oleh Amerika serta ‘agen-agen Yahudi’ sama sekali tidak akan membiarkan Negara Malaysia ini jatuh ke tangan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS, PKR dan DAP.

PM 1Malaysia…pasti akan mengikut segala khidmat nasihat serta agenda dan perancangan jahat agen-agen Yahudi yang telah ‘bersarang’ lama sejak Najib mula menjadi PM lagi.

Ini bukan bermakna Awang menakut-nakutkan Pakatan Rakyat tetapi sekadar peringatan sebab PM Najib al-Tantunya ini masih ‘berguru’ dengan mantannya, Tun Dr M yang terkenal dengan strategi ‘kuku besi’ dan ‘ISA’.


NOTA: ‘Umno-BN Lempar Batu Sembunyi Tangan’.
 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top