Ada Orang ‘Gila Judi’?

Salam Ingatan:-

Seingat-ingat Awang, semasa Awang zaman budak-budak dulu pernah dengar lagu yang dinyanyikan oleh seorang artis ala-pondan iaitu M Daud Kilau. Jika tidak silap, sekarang ini bergelar Dato’.

Dia (Dato’ M Daud Kilau) ini terkenal dengan gelaran ‘Raja Gelek’ sebab setiap kali menyanyi mesti wajib dia bergelek-gelek.

Artis ini pernah menyanyikan sebuah lagu bertajuk ‘Gila Judi’ dan mungkin waktu itu tidak ditujukan kepada pemimpin Umno-BN lagi.

Namun begitu, hari ini memang benar kata si Raja Gelek ini ada orang gila judi, ada pemimpin gila judi dan ada rakyat yang gila judi. Cuba kita pakat-pakat tengok liriknya untuk renungan.

Banyak orang gila judi
banyak orang gila judi
hai judi merosak diri
merosak diri
banyak yang setengah mati
akibat judi…

Kalau sedang main pakau
banyak orang naik angau
mereka selalu risau
selalu risau
sama-sama jadi sasau
hai jadi sasau…

Satu ringgit
dua ringgit
tiga ringgit
empat ringgit
limaaaaaaa ringgit…

Satu ringgit
dua ringgit
tiga ringgit
empat ringgit
lima ringgit
haaaaaangusssss....

Kalau sudah gila judi
kalau sudah gila judi
dia lupa anak isteri
hai anak isteri
dia lupa anak isteri
hai anak isteri…

Kalau kecanduan judi
kalau kecanduan judi
akhirnya setengah mati
setengah mati
akibat judi….

Tolak habuk
jalan kaki
gigit jari
kalah judi….

Lirik Gila Judi- M. Daud Kilau

Isu ini timbul dan menjadi hangat apabila kerajaan Malaysia yang diperintah oleh Umno-BN telah memberi kelulusan kepada taukeh judi Malaysia dari Kumpulan Berjaya Group menjalankan aktiviti ‘Judi Bola’ sempena penganjuran Piala Dunia hari ini.

Banyak orang menentang termasuk di kalangan orang bukan Islam yang berada dalam Pakatan Rakyat. Apatah lagi orang PAS sudah tentunya tidak bersetuju dan menentangnya.

Beberapa siri demontrasi pernah dianjurkan oleh pelbagai pihak termasuk di kalangan parti politik dan NGOs.

Kebetulan sekarang ini (9-13 Jun 2010) PAS mengadakan Muktamar Tahunan Kali Ke-56 di Putik, Kelantan. Maka, pelbagai kecaman serta cadangan dibuat oleh para perwakilannya.

Justeru itu, PAS Pusat diminta menghantar surat kepada mufti-mufti di seluruh negara untuk mendesak mereka turun padang membantah judi bola sepak yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada perhimpunan 3 Julai ini.

Perwakilan Teberau, Shamsul Bakri berkata, semua pihak termasuk mufti perlu hadir pada demontrasi itu sebagai menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan meluluskan lesen judi terbabit.

"Kita juga perlu tetapkan diri hadir pada demontrasi yang diadakan badan-badan Islam biar pun bukan dikendalikan di bawah PAS.

"Kita kena bertindak secara berterusan bagi memansuhkan semua jenis judi di negara ini," katanya ketika menyokong usul Dewan Pemuda PAS Pusat yang mendesak kerajaan memansuhkan judi sukan.

Usul itu mendesak kerajaan Malaysia memansuhkan judi sukan, mengetatkan penguatkuasaan terhadap undang-undang judi dan mendidik rakyat membenci judi.

Pada 3 Julai depan himpunan 100,000 mansuhkan judi bola akan diadakan di Kuala Lumpur bagi menyerah memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Shamsul berkata, gerakan membantah judi akan dimobilisasi secara berterusan pada bila-bila masa sahaja bagi memberi kefahaman lebih jelas kepada rakyat.

"Kita akan turun sekali lagi bagi menentang kelulusan lesen judi-judi lain. Tidak kiralah judi nombor ekor, judi di laut, judi di atas gunung," katanya sambil menyokong penuh usul tersebut.

Perwakilan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Fadzli Saari turut meminta semua rakyat turun membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak pada 3 Julai ini.

Katanya, ketika demontrasi itu diadakan perlawanan bola sepak Piala Dunia baru masuk pusingan suku akhir.

Cuma, Awang hendak ajak para pembaca sekalian menilai apakah sebuah kerajaan yang baik jika menggalakkan sebarang unsur perjudian dibenarkan dalam negara ini.

Oleh itu, jika tidak bagus sama-samalah kita buat keputusan serta menghukum kerajaan yang seumpama itu pada pilihan raya akan datang.

Siapa jadi ‘Kambing Hitam’ SMS ugut Adun BN?

Salam Sejahtera:-


Kejayaan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menahan seorang kerani syarikat swasta bagi membantu siasatan berhubung penghantaran SMS berbaur ugutan terhadap tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu, tidak lama dahalu membanggakan.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Fauzi Abduri mengesahkan penahan lelaki berusi 31 tahun itu yang diberkas di rumahnya di Bandar Baru Bangi, Selangor, jam 9.30 pagi, pada 21 April 2008, lalu.


Namun begitu, kesangsian orang ramai terhadap penahanan pemuda tersebut ibarat ‘dikambing hitamkan’ oleh pihak tertentu untuk menyelamatkan seekor ‘musang’ yang lebih besar.


Ini kerana, menurut sumber yang boleh dipercayai lelaki yang didakwa bertanggungjawab menghantar SMS ugutan tersebut pernah bekerja di bawah pemimpin Umno berpengaruh di Terengganu.


Saiful Ambia dari Seberang Takir berpendapat tindakan pemuda tersebut menghantar SMS ugutan kepada Adun BN dikhuatiri mempunyai ‘dalangnya’.


Katanya, pemuda terbabit sekadar ‘kambing hitam’ yang dipergunakan oleh pihak tertentu dalam suasana kemelut politik Umno di negeri ini.


“Rakyat mahu pihak polis dan pendakwaan membongkar siapa ‘dalang’ disebalik tindakan pemuda itu menghantar SMS ugutan.


“Saya yakin dan percaya pemuda itu hanya mengikut arahan dan ada pihak lain yang merancang,” ujarnya.


Manakala, mangsa SMS berkenaan iaitu Adun Paka, Mohd Ariffin@Zakaria Abdullah turut sangsi dengan motif sebenar lelaki itu menghantar SMS ugutan kepadanya.


“Saya juga ingin tahu kenapa lelaki itu menggunakan nombor telefon pegawai kanan kerajaan dan adakah dia (lelaki) mempunyai kaitan dengan kumpulan politik tertentu atau dalang sebenar kepada kejadian itu,” ujarnya.


Adun Ajil, Dato’ Rosol Wahid turut meragui serta menjadi tanda tanya yang perlu dihuraikan agar kebenaran isu berkenaan dapat dibongkar.


“Kami (mangsa SMS) ingin tahu sama ada ia (kes) kebetulan atau dirancang sebab kalau dilihat dari tangkapan ini semacam pelik dan ada beberapa keraguan,” jelasnya.


Menurutnya, meski pun isu tersebut telah lama berlalu tetapi perasaan takut dan bimbang terhadap keselamatan diri tetap ada hingga memaksanya mengurangkan aktiviti luar.


Sebaliknya, Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh tetap mempercayai SMS ugutan itu dihantar oleh pegawai kanan kerajaan negeri Terengganu sebagaimana yang didakwa sebelum ini.


Awang dimaklumkan pemuda tersebut merupakan blogger yang mengendalikan sebuah lawan web ‘GanuLening’ milik sebuah parti politik di negeri ini.


Laman web GanuLening.net tersebut menggunakan IP 202.71.107.4 yang berpusat di Cyberjaya didapati banyak mengulas isu-isu semasa di Terengganu yang kononnya bagi membongkar penyelewengan PAS di negeri ini.


Bahkan, pada carian internet menunjukkan ia mempunyai rujukan kepada laman-laman kendalian Umno seperti Umno tv, ahliumno.com, ganukite dan lain-lain lagi.

Muktamar ke arah hadapi PRU ke-13

Salam Muktamar 2010;-

Sidang Muktamar Tahunan PAS ke-56 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, Kelantan bermula 9 hingga 13 Jun 2010.

Perasmian serentak bagi tiga dewan iaitu Muktamar Dewan Ulama’, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda berlangsung pada 9 Jun 2010.

Muktamar Dewan Ulama’ berlangsung di Markas Dewan Ulama’ PAS Kelantan (Madu) di Labok, Machang. Dewan Muslimat PAS Pusat di Perdana Resort dan Dewan Pemuda PAS Pusat di Kelantan Trade Centre.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyampaikan Ucapan Dasar pada Majlis Perasmian Muktamar penuh di Putik pada 11 Jun 2010 (Jumaat), lalu.

Pada persidangan Muktamar penuh 12 Jun 2010 (Sabtu) bermula jam 2.35 petang.

Sebanyak enam usul akan dibahaskan pada petang tersebut. Berikut adalah intisari perjalanan muktamar sehingga ditangguhkan pada jam 5.45 petang.

5.45 petang: Sidang ditangguh sehingga esok ( 13 Jun) pagi.

5.43 petang: Usul keenam diterima dengan sebulat suara.

5.35 petang: Perwakilan Shah Alam, YB Khalid Samad menyokong usul dengan berkata PAS perlu meningkatkan sokongan orang Islam, bukan Melayu.

5.30 petang: Perwakilan Putrajaya, Ustaz Nazir Zakaria sebagai menyokong usul tersebut menyeru seluruh pimpinan melakukan perubahan untuk meningkatkan penguasaaan parti.

5.24 petang: Perwakilan Kubang Pasu, Ustaz Taib Haji Ahmad menyokong usul tersebut iaitu pas melalui jabatan pilihanraya pas pusat merangka strategi gerak kerja pilihanraya dari sudut daftar pemilih, kewangan, latihan kepimpinan, jentera pilihanraya secara profesional dan menguruskan isu.

5.13 petang: Dr Hamzah Jaafar, perwakilan Jerantut membentangkan usul keenam iaitu persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Usul tersebut merupakan gabungan usul kawasan Kubang Kerian, Pokok Sena, Kubang Pasu, Jerantut, Bandar Tun Razak dan Shah Alam.

Usul tersebut mengambil ketetapan supaya PAS memenangi seberapa banyak kerusi parlimen bagi menggantikan kedudukan Umno sebagai teras utama politik negara.
5.10 petang: Usul diterima dengan sebulat suara.

4.55 petang: Perwakilan DPPP, Ustaz Ridhuan Mohd Nor turut menyokong usul dengan meminta para perwakilan menyoroti sejarah PAS dalam membawa isu Palestin.

Beliau memberi contoh bekas Presiden PAS, Dr Burhanuddin Al-Helmy telah membawa isu ini ke peringkat antarabangsa.

4.45 petang: Perwakilan Shah Alam, YB Khalid Samad menyatakan sokongan dan mendakwa perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang melakukan perubahan terhadap dasar luar negara dengan melantik APCO sebagai penasihat.

4.38 petang: Perwakilan Kuala Kedah, Ustaz Ridzuan Abu Bakar menyatakan sokongan penuh kepada usul Dewan Muslimat.

4.20 petang: Perwakilan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi membentangkan usul kelima mengenai Palestin. DMPP mengutuk keras tindakan biadap tentera Israel ke atas misi kemanusiaan Gaza.

DMPP menyokong penuh warga Palestin yang berjuang menegakkan keadilan yang diceroboh oleh Zionis Israel dan bersedia untuk membantu dari semua aspek termasuk menghantar sukarelawan muslimat ke Gaza.

4.18 petang: Usul keempat diterima dengan sebulat suara.

4.11 petang: Perwakilan Kota Belud, Mohd Farhan Abdullah menyatakan sokongan.

Beliau merupakan bekas penganut Kristian yang memeluk Islam setelah melihat keadilan dalam Islam dan kini merupakan pendakwah bebas.

Sebelum itu tiga perwakilan turut menyokong usul tersebut.

3.50 petang: PAS kawasan Rembau menyokong usul pemerkasaan parti.

3.44 petang: Syed Abdul Kadir Al-Joofre, perwakilan Dewan Ulama' membentangkan usul keempat iaitu pemerkasaan parti.

Ini kerana dewan ulama' menyedari bahawa kepercayaan rakyat terhadap PAS semakin meningkat dan strategi PAS melaksanakan Tahalluf Siyasi telah mula menunjukkan hasil dengan sokongan rakyat Islam dan bukan Islam di negara ini.

3.42 petang: Usul ketiga diterima.

3.26 petang: Perwakilan Jerlun bangun meminta usul ketiga disokong.

Seterusnya perwakilan Tebrau, Shamsul Bakri turut menyatakan sokongan.

3.18 petang: Usul ketiga daripada dewan pemuda PAS pusat dibentangkan oleh Ustaz Ahmad Fadhli Shaari iaitu memansuhkan judi sukan.

Usul ini timbul apabila menyedari bahawa kerajaan Malaysia telah lama meluluskan judi sukan dan sedang dalam proses menganugerahkan lesen tersebut kepada Ascot Sports Sdn. Bhd.

Justeru DPPP mendesak pihak kerajaan Malaysia memansuhkan judi sukan, mengetatkan penguatkuasaan terhadap undang-undang judi dan mendidik rakyat membenci judi.

DPPP mendesak PAS pusat memobilisasi semua rakyat Malaysia turun ke himpunan 100 Ribu Mansuhkan Judi Bola pada 3 Julai ini.

3.16 petang: Usul kedua diterima dengan sebulat suara.

3.12 petang: Perwakilan Tambun membahaskan usul diikuti perwakilan Tampin. Kedua-duanya menyokong usul tersebut.

2.55 petang: Naib Presiden PAS, YB Salahuddin Ayub membentangkan usul kedua iaitu mengenai kedaulatan negara.

Antara hujah yang diutarakan beliau ialah tanah dalam khazanah negara adalah hak milik negara dan rakyat di negara ini.

Justeru katanya, memberikan tanah dan khazanah negara kepada orang lain adalah jenayah dan pengkhianatan kepada rakyat dan negara.

Beliau juga berkata tinadalan kerajaan mengambil penasihat negara daripada Zionis Yahudi APCO adalah satu pengkhianatan kepada negara dan keselamatan negara.

Beliau mendesak supaya perkara yang penting untuk rakyat dan negara perlu dibincang dalam parlimen bukan hanya dilulus melalui seorang perdana menteri sahaja yang berbincang.

2.54 petang: Usul diterima dengan sebulat suara.

2.45 petang: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali membentang usul yang pertama mengenai pindaan Perlembagaan PAS.

Mat Said ‘marah’ kerajaan pusat

Salam For MB Terengganu;-


Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu dengan lantang membidas kegagalan kerajaan pusat terhadap Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kerja Raya (JKR).


Kekesalan Terengganu terhadap dua kementerian terbabit apabila mengulangi masalah dewan bedah di Hospital Setiu yang gagal disiapkan selama tujuh tahun beroperasi di negeri ini.


Menteri Besarnya, Dato’ Ahmad Said berkata ahli Exco Kerajaan Negeri turut melahirkan rasa terkilan dengan masalah dewan bedah di Hospital Setiu yang gagal disiapkan dalam tempoh tujuh tahun.


“Kita (kerajaan) sekali lagi merasa terkilan dengan apa yang berlaku di Hospital Setiu setelah tujuh tahun hospital ini disiapkan tetapi dewan bedahnya tidak dapat digunakan.


“Saya dimaklumkan, ‘design’ bumbung (bangunan) ini juga sebenarnya gagal memenuhi spesifikasi yang diperlukan hingga menjadikan bumbungnya itu tempat tangkungan air, berlaku kebocoran dan sebahagian besar kayu rosak,” jelasnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, 26 Mei lalu.


Ini katanya, bukan sahaja merugikan kerajaan dari segi kewangan tetapi faedah untuk rakyat tidak dapat digunakan setelah hampir tujuh tahun hospital siap.


Awang sebagai rakyat Terengganu juga menyokong ‘kemarahan’ Mat Said kerana sikap sambil-lewa kerajaan BN Pusat terhadap rakyat Terengganu.


Kenapa buat dewan bedah sahaja hingga mengambil masa hingga tujuh tahun. Adakah Hospital Setiu itu bakal mendapat dewan bedah tercanggih dalam dunia?


Atau mungkin, kerajaan pusat (BN) fikir Hospital Setiu tidak layak untuk mendapat sebuah dewan bedah kerana rakyat Setiu dan pengundi di Setiu pernah menolak kerajaan BN Terengganu pada tahun 1999 yang lalu.


Maka, dendam politik masih membara dan meski pun telah masuk dua penggal kerajaan BN memerintah kembali Terengganu. Projek tersebut masih berat untuk dilaksanakan kerana pusat terasa hati dengan pengundi Setiu.


Atau, sememangnya kerajaan BN Pusat menganggap kerajaan BN Terengganu di bawah pimpinan MB Mat Said ini ‘duduk’ kelas tiga dan tidak perlu dilayan sangatlah.


Sehinggakan, beliau (Mat Said) menyifatkan masalah tersebut sebenarnya akibat kegagalan kerajaan pusat mengambil tindakan proaktif meski pun sering kali dibangkitkannya.


Menurutnya, rakyat menjadi ‘mangsa’ masalah tersebut kerana tidak dapat melakukan pembedahan di Hospital Setiu dan terpaksa dibuat di Kuala Terengganu, Besut atau Kota Bharu.


“Inilah merupakan kegagalan ‘kita’ (kerajaan pusat) yang menyebabkan kita (kerajaan negeri) merasa terkilan kenapa setelah begitu lama tujuh tahun dan pihak yang bertanggungjawab tidak mengambil tindakan yang serius.


“Perkara (dewan bedah) ini, pernah saya bangkitkan pada bulan Januari 2010 lalu dan belum dapat diselesaikan hingga kini.


“Ini menggambarkan kegagalan kita (pusat) mengambil tindakan pro-aktif dan rakyat menjadi mangsa kerana tidak dapat melakukan pembedahan di Setiu dan terpaksa ke Kuala Terengganu, Besut atau Kota Bharu,” ujarnya.


Katanya, masalah yang sama pernah berlaku kepada Hospital Besut kerana ketiadaan dewan bedah selama 9 tahun dan baru dapat diselesaikan.


“Kes (dewan bedah) yang sama pernah berlaku di Hospital Besut selama 9 tahun dan baru boleh digunakan tahun 2009 lalu. Hospital Kuala Terengganu empat lima tahun, Hospital Kemaman pun begitu juga semua gagal,” bidasnya.


Dato’ Ahmad menyifatkan kegagalan menyiapkan dewan bedah tersebut akibat kecuaian serta sikap tidak bertanggungjawab pihak berkenaan.


Ini kerana, katanya masalah tersebut melibatkan kerajaan pusat melalui dua Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kerja Raya (JKR).


“Saya (Ahmad) tidak boleh maafkan perkara-perkara ini berlaku kerana bukan sahaja kerajaan rugi tetapi membazirkan wang kerajaan. Pihak terbabit itu cuai dan tidak bertanggungjawab bagi saya (MB).


“Ini melibatkan kerajaan pusat, hospital di bawah kerajaan pusat, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kerja Raya (JKR). Kementerian Kesihatan sebagai pemilik bangunan itu dan JKR pula sebagai agensi pelaksana,” tegasnya.


Masalah dewan bedah tersebut berlaku akibat air bertakung di tengah-tengah bumbung dewan bilik bedah serta lubang untuk membuang air itu jauh.


MB Terengganu itu turut mendedahkan apabila air bertakung berlaku ‘rejatan’ (menyerap) dan masuk ke dewan bedah.

‘Perginya’…Ustaz Ghazali Ahmad


Salam Perpisahan:-


TANGGAL 26 Mei 2010,…ketika Awang sedang minum pagi sambil menunggu seorang sahabat iaitu Saudara Din Umat (Aminuddin Umat) untuk dapatkan tandatangannya berkaitan dengan daftar pertubuhan.

Ketika sedang ‘menikmati’ minuman kopi radix dengan laksan, Awang diberitahu oleh sahabat tadi yang dia (Din) dalam perjalanan hendak melawat (ziarah) orang mati (meninggal dunia).

Dia (Din) beritahu, yang meninggal dunia adalah seorang veteran PAS lama yang pernah jadi calon PAS serta beberapa jawatan penting dalam parti PAS Setiu.

Beliau ialah, Ustaz Ghazali Ahmad, 79, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Darat Batu Rakit setelah enam tahun terkena ‘serangan’ penyakit ‘stroke’ (angin ahmar).

Allahyarham Ustaz Ghazali merupakan bekas Bendahari PAS Setiu serta pernah menganggotai Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Terenggganu pada tahun 90-an.

Beliau disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.30 pagi Rabu 26 Mei 2010 lalu dihadapan isterinya, Puan Wan Ramlah Dato’ Dahlan, 70, serta anak menantu.

Anak bongsu allahyarham, Saudara Ahmad Fazlillah, 29, berkata ayahnya mengidap penyakit ‘stroke’ (angin ahmar) enam tahun lalu sejak September 2004.

Katanya, ‘serangan’ angin ahmar tersebut terkena di bahagian pangkal leher serta tulang belakang hingga menyebabkan terlantar sakit.

“Allahyarham, lama sakit sejak enam tahun lalu dan dia (ayah) mengidap ‘stroke’ (angin ahmar) bermula pangkal leher, tulang belakang hingga ke kaki.

“Sejak beberapa hari lalu keadaan allahyarham semakin tenat dan meninggal dunia dihadapan ibu (Wan Ramlah) saya dan anak menantu,” ujar ketika ditemui Harakah di rumahnya.

Menurutnya, allahyarham meninggal 11 orang anak melalui perkongsian hidup dengan dua isteri yang berasingan.

Sementara itu, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham semoga dicucuri rahmat bersama dengan perjuangan Islam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS (II) Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata allahyarham Ustaz Ghazali merupakan tokoh veteran PAS lama yang istiqamah dalam perjuangan.

“Saya kenal dengan Allahyarham (Ustaz Ghazali) lama dan pernah suatu ketika bermesyuarat dan berceramah bersama beliau.

“Kami (PAS Terengganu) merasa sedih dan cukup ‘terasa’ akan kehilangan seorang tokoh veteran PAS yang disegani ini,” ujarnya ketika ditemui selepas menziarahi jenazah allahyarham Ustaz Ghazali.

Menurutnya, allahyarham (Ustaz Ghazali) juga seorang yang istiqamah dan gigih bekerja untuk parti sehingga beliau jatuh sakit.

Haji Wahid ini tiba di rumah allahyarham lebih kurang 10 minit kemudian sikit dari Awang yang turut hadir menziarahi jenazah Ustaz Ghazali itu.

Sahabat Awang pula, Saudara Aminuddin Umat kebetulannya sebagai Setiausaha PAS Kawasan Setiu dan turut menyifatkan pemergian allahyarham Ustaz Ghazali merupakan suatu ‘kehilangan’ besar kepada perjuangan parti.

Katanya, sebagai tokoh veteran PAS yang lama dalam parti sudah tentu mempunyai banyak pengalaman.

“Pemergian ‘arwah’ (Ustaz Ghazali) merupakan satu kehilangan besar kepada parti yang mempunyai banyak ilmu politik.

“PAS Setiu merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham Ustaz Ghazali semoga redha dengan takdir-Nya,” ujarnya.

Solat jenazah diadakan pada jam 2.00 petang serta selamat di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Rakit, dekat sini, 26 Mei 2010 lalu.

Antara pimpinan PAS Terengganu yang hadir menziarahi jenazah allahyarham iaitu Timbalan Pesuruhjaya (I) dan (II) PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik, Mohd Abdul Wahid Endut, Yang Dipertua PAS Setiu, Ustaz Mohd Pauzi Muda dan ramai lagi.

‘Sentuh’ perasan rakyat

Salam For All;-

Sentuhan perasaan melalui aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan adalah perlu selain menyampaikan ilmu melalui kuliah dan ceramah dalam membuat suatu perubahan di kalangan umat Islam.


Sebab itulah timbulnya peribahasa Melayu ‘hati batu’ yang merujuk kepada sejenis manusia yang degil, tidak dengar kata nasihat dan sukar berubah.


Maknanya, manusia yang ‘berhati batu’ ini jika kita beri tegus nasihat pun dia tidak peduli dan masih berpegang dengan pendirian bodoh dan bebalnya.


Ada kalanya, manusia ini sukar kita tegur dengan nasihat lemah-lembut tetapi ‘termakan’ dengan teguran secara kekerasan atau amaran.


Ada kalanya, juga manusia itu kita tidak boleh tegur dengan kekerasan dan dia akan jadi lebih jahat, degil dan bodoh-sombong tetapi ‘termakan’ dengan cara berinteraksi secara khidmat masyarakat.


Apa yang hendak Awang sentuh di sini, dalam konteks politik di Malaysia dan khususnya di negeri Terengganu tanahairku.


Kekuatan politik antara dua buah parti Melayu iaitu PAS yang berteraskan Islam sebagai dasar parti dengan Umno yang berideologikan nasionalisma kebangsaan kemelayuan.


Kedua-dua parti ini sebenarnya, sama kuat dan sama-sama dapat sokongan dan dokongan orang Melayu Islam baik lelaki, perempuan, ustaz-ustazah, pemuda dan wanita.


Maka, yang memenangkan kedua-dua parti ini sebenarnya golongan ‘atas pagar’ (yang tidak berparti) yang melihat peluang parti mana yang hendak diberi undi.


PAS sememangnya, sebuah parti yang berteraskan agama untuk mengawal dan untuk menyuntik semangat perjuangan kerana ada cita-cita hendak ‘mati syahid’…Insya’Allah.


Manakala, Umno pula sebuah parti yang berteraskan nasionalisma kebangsaan kononnya ‘Melayu’ itu dasar perjuangannya. Wal hal…nasib orang Melayu sekarang ini pun semakin terhakis dan lemah.


Kelebihan Umno adalah ‘senjata’ duit, wang ringgit, kebendaan dan keperluan hawa nafsu manusia yang sementara di dunia ini. Dengan ‘senjata’ tersebut semua boleh beli termasuk ‘undi pilihan raya’ setiap rakyat.


Oleh yang demikian, PAS tidak mempunyai kekuatan kewangan dan kekurangan ‘senjata’ seperti itu tetapi mempunyai ‘senjata’ ilmu agama dan ilmu Islam.


Islam dan kebajikan sebenarnya tidak boleh dipisahkan. Dan Islam boleh menang dengan kerja-kerja kebajikan bagi ‘menambat’ serta ‘menawan’ hati rakyat dan pengundinya. Itulah, ‘senjata’ Parti Islam Se-Malaysia (PAS).


Oleh itu, peranan Jabatan Amal di bawah Dewan Pemuda PAS adalah penting dalam perjuangan untuk menegakkan Islam khususnya di kalangan pemuda-pemuda Islam.


Awang pernah dengar satu ucapan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menjelaskan bahawa masyarakat Islam hari ini berada dalam ‘kebanjiran’ pelbagai fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam.


Peranan unit amal sangat penting dalam perjuangan menegakkan cita-cita Islam yang memerlukan penglibatan khususnya kalangan muda yang menjadi pelapis kepada perjuangan (PAS) ini.


“Kita (PAS) perlu melakukan ‘sentuhan’ kepada perasaan mereka (rakyat) supaya bersama dengan perjuangan ini dengan melakukan khidmat-khidmat dan sumbangan-sumbangan kebajikan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Makan Malam Dana Jabatan Amal Negeri Terengganu di Restoram Suriarasa, Rusila, Marang, dekat sini.


Sehubungan itu, katanya PAS telah berjaya menubuhkan sebuah cawangan sewaktu kempen pilihan raya kecil parlimen Sibu di Sarawak.


Menurutnya, apa yang menarik di antara kalangan yang menyertai PAS dalam cawangan yang ditubuhkan itu adalah keluarga kepada asSyahid Rosli Dhobi.


“Barang kali banyak di kalangan kita (rakyat) tidak kenal siapa Rosli Dhobi dan kepada mereka Rrakyat) yang membaca sejarah pun terlupa juga siapa Rosli Dhobi.


“Dia (Rosli) ialah seorang pemuda Islam dari Sarawak yang berusia sama seperti unit amal, usianya 17 tahun yang berjaya membunuh Gebenor British di Sarawak pada tahun 1940.


“Dia (Rosli) telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati bersama dengan empat orang rakan-rakannya kerana kesalahan membunuh Gabenor British.


Ustaz Abdul Hadi menjelaskan dalam usianya mengikut undang-undang tidak boleh dijatuhkan hukuman kerana belum sampai usia 18 tahun tahun.


Maka, katanya dengan sengaja diubah kad pengenalan beliau agar boleh dijatuhkan hukuman mati.


“Dia (Rosli) tidak ada anak kerana usianya terlalu muda. Dia (Rosli) seorang guru yang terlalu muda di zaman itu. Tahun 40-an, lulus darjah lima boleh jadi guru.


“Masa (tahun 40-an) itu tidak ada parti politik tetapi dia (Rosli) benci kepada penjajah. Itulah yang boleh dia (Rosli) buat dan dia telah ‘syahid’ dan nama dia (Rosli) dipahat dalam sejarah perjuangan Islam di tanahair kita (Malaysia),” jelasnya.


Namun begitu, katanya ramai yang tidak mengetahui perjuangan tersebut kerana telah dikelirukan oleh Umno yang mengatakan hanya mereka (Umno) yang berjuang untuk orang Islam.


Apa yang hendak disimpulkan bahawa khidmat kebajikan sangat penting kerana boleh menjinakkan hati-hati manusia. Dan tidak menjadi kesalahan jika kita berbuat baik dan tolong-menolong sesama manusia.


Sebab itu, orang barat yang tidak beragama atau bukan dari kalangan beragama Islam pun berebut-rebut untuk membuat kebajikan. Pelbagai usaha dilakukan dan mereka ambil dari ajaran agama Islam sebenarnya.


Syeikh Yusuf al-Qardawi pernah berkata; “Islam masa kini banyak di negara barat tetapi mereka (manusia) tidak beriman kepada Allah SWT, tetapi yang sedihnya di negara umat Islam pula iman ada tetapi Islam berkurangan”.


Maknanya, di negara barat nilai-nilai Islam ada seperti mereka benci rasuah, penipuan dan sebagainya tetapi mereka itu tidak beriman kepada Allah SWT. Manakala, di negara orang Islam pula mereka beriman kepada Allah Ta’ala tetapi tetapi nilai-nilai Islam tidak diamalkan.


Oleh itu, untuk kita menarik orang ramai kepada Islam tanpa mengira fahaman politik, bangsa, agama dan keturunan. Pendekatan kebajikan merupakan pendekatan kemanusiaan yang harus digunakan untuk menjinakkan hati manusia kepada Islam.

PBB tinggal ‘gusi’- Malaysia harimau ‘kertas’

Salam Anti APCO:


Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan kejadian serangan rejim Israel terhadap kapal Turki ‘Mavi Marmara’ yang membawa aktivis misi kemanusiaan ke Gaza termasuk dua rakyat negara ini.

Menteri Luarnya yang tidak ‘bertaring’, Dato’ Anifah Aman berkata serangan yang dilakukan rejim itu di perairan antarabangsa menggambarkan bahawa Israel tidak menghormati peruntukan undang-undang antarabangsa.


Malaysia yang disifatkan sebagai ‘harimau kertas’ pula mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Israel yang tidak berperikemanusiaan terhadap kapal Mavi Marmara itu yang membawa keperluan asas seperti makanan, perubatan dan bahan binaan bagi keperluan rakyat Palestin.


“Serangan di perairan antarabangsa adalah satu pencabulan undang-undang perairan antarabangsa yang serius. Malaysia juga menggesa Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan perkara ini supaya Israel tidak menyekat aktivis memasuki Gaza,” ujarnya.

Kapal Turki Mavi Marmara itu yang membawa ratusan aktivis misi bantuan kemanusiaan di Gaza serta dua kakitangan stesen televisyen Astro Awani diserang tentera Israel pagi semalam dalam pelayaran bagi melaksanakan misi berkenaan.


Manakala, Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa memanggil mesyuarat tergempar bagi membincangkan tindakan perkumpulan 22 negara Arab terhadap apa yang disifatkan "tindakan keganasan" Israel terhadap kapal misi bantuan antarabangsa ke Gaza.


Setiausaha Agung Liga Arab tersebut telah memanggil mesyuarat tergempar peringkat wakil bagi membincangkan jenayah kejam tentera Israel terhadap orang awam yang tidak bersenjata menyebabkan ramai terbunuh dan cedera.


Sementara itu, AFP pula melaporkan Hamas hari ini menyeru rakyat Arab dan umat Islam supaya 'berhimpun' di kedutaan-kedutaan Israel di seluruh dunia bagi membantah serangan maut rejim itu terhadap kapal-kapal yang membawa bekalan bantuan ke Semenanjung Gaza.


”Kami (Hamas) menyeru semua rakyat Arab dan umat Islam supaya berkumpul di kedutaan-kedutaan rejim Zionis itu di seluruh dunia,” kata jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri sambil menggunakan perkataan Arab 'intifada'.

Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniya di Gaza mengecam 'serangan' berkenaan dan turut meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melindungi aktivis yang mengikuti misi penghantaran bekalan bantuan itu.


Awang difahamkan, semua rombongan rakyat Malaysia yang menyertai Konvoi Bantuan Antarabangsa Gaza selamat walau pun 19 dari anggota konvoi itu terbunuh serta lebih 30 yang lain cedera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS dari Meru, Dr Rani Othman dalam smsnya berkata beliau selamat dan kini kapal yang dinaikinya dipaksa berlabuh di Haifa.


’Dan Sebenarnya’…memanglah puak Yahudi ‘laknatullah’ itu merupakan manusia yang ‘keras hati’, jahat, zalim, gila dan tidak berperikemanusiaan di atas muka bumi ini.


Semua ini terjadi kerana umat Islam di seluruh dunia dan pemimpin-pemimpin negara umat Islam telah ‘dibeli’ dan ‘dididik’ oleh kefahaman Yahudi.


PBB langsung tidak boleh diharapkan walau pun sebesar ‘biji sawi’ untuk membela umat Islam, Negara Islam dan pejuang Islam.


Ini kerana, PBB itu sendiri diwujudkan secara terselindung untuk ‘menjaga’ kepentingan puak Yahudi serta rakan sejawatnya.


Apa yang diharapkan sememangnya tidak menjadi kenyataan kerana PBB telah ‘hilang taring’ serta tidak ada bisanya lagi. Dan adanya (PBB) pun sekadar ‘melepas batuk di tangga’ sahaja.


Begitu juga dengan negara tanahairku Malaysia ini. Kutukan yang dibuat terhadap rejim Israel-Yahudi itu hanya diketawakan oleh agen-agen Yahudi sahaja.


Ini kerana, Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang paling banyak masalah peribadi, yang terpaksa memikul ‘biawak hidup’ ketika menggalas tugas menerajui negara ini sebenarnya ‘sandiwara’ dan ‘marah-marah’ saying kepada Israel.


Tidakkah kita (rakyat) semua lupa dengan perlantikan sebuah firma Yahudi yang dinamakan APCO Worldwere bersama beberapa firma agen Yahudi lagi sebagai ‘penasihat’ kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak.


Jadi…macam mana hendak marahkan puak Yahudi-Israel jika itu penasihat pentadbiran dan pemerintahan kita?

Jika tidak kerana agen-agen tersebut belum tentu Obama selaku Presiden Amerika Syarikat yang tolol itu pun sanggup untuk bertemu dan melayani budak Najib ini. Siapa dia (Najib)….dan ‘besar’ sangat ke?


Sebab itulah, bagi Awang apa yang dibuat oleh PM kite…dan marahkan Yahudi-Israel kerana bunuh sukarelawan misi bantuan kemanusiaan yang tidak bersenjata ke Gaza pada 31 Mei 2010, lalu sekadar ‘lakonan’ semata-mata.


Najib buat kenyataan untuk kutuk rejim Yahudi-Israel itu pun lambat dan dibuat setelah mendapat ‘nasihat’ dari APCO dan melihat semua pemimpin duni kutuk termasuk Obama Presiden Amerika.


Maka,…dia (Najib) pun turut samalah kutuk-mengutuk rejim Yahudi-Israel itu dan puak Israel-Yahudi itu rasakan kutukan pemimpin-pemimpin Negara umat Islam yang telah ‘dibelinya’ itu sekadar ‘halwa telinga’ sahaja.


Oleh itu, kpada umat Islam…kepada rakyat 1Malaysia…kepada semua kaum…kepada semua agama…kepada semua bangsa…kepada semua yang layak mengundi. Maka, kita kena tentukan masa depan negara ini diterajui oleh kepimpinan lain yang bukan dari kalangan Umno dan kerajaan Barisan Nasional.


Setelah bot-bot dan kapal itu diserang tentera komando Yahudi…maka, kapal ‘BN’ akan karam dan tenggelam. Kapal Barisan Nasional akan hanyut dan ‘berkubur’ di tengah lautan.


Maka, marilah sama-sama kita menaiki kapal baru, kapal harapan rakyat dan kapal Pakatan Rakyat (PR) pada PRU Ke-13, akan datang…setahun dari sekarang.

Mentaliti ‘Melayu-Islam’ masih lemah?

Salam Untuk Bangsaku;-

BENARKAH…? Kesedaran untuk membuat perubahan dalam pemerintahan di kalangan orang-orang Melayu Islam di negara ini sangat lemah dan terlalu lemah.

Bahkan, mereka (Melayu) tidak berfikir langsung tentang kewajipan memerintah negara berbanding di kalangan orang bukan Islam.

Sejak keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu, perubahan sikap di kalangan pengundi bukan Melayu khususnya kaum Tionghua (Cina) dan Hindu (India) amat memberangsangkan.

Maknanya, pengundi Cina dan India telah mula menolak parti kompunan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Umno.

Boleh dikatakan, hampir kesemua pilihan raya kecil yang diadakan selepas PRU tahun 2008 undi bukan Melayu memihak kepada Pakatan Rakyat yang disertai oleh PAS, PKR dan DAP.

Namun begitu, peratusan undi Melayu tidak banyak berubah dan kadang-kalanya terus meningkat serta memihak kepada Umno-BN atau MIC-BN.

Hatta, kepada rakyat dan pengundi di Sarawak sekalipun yang terdiri dari kalangan orang Cina dan Bumiputra sudah mula membuat perubahan sikap serta hilang keyakinan kepada kepimpinan BN.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Islam memerlukan satu pemerintahan yang boleh melindungi masyarakat dan manusia dengan syariat agama Allah SWT.

“Kita (PAS) memerlukan satu pemerintahan yang melindungi masyarakat dan manusia dengan syariat agama Allah SWT.

“Malangnya, dalam negara kita (Malaysia) hari ini kesedaran untuk membuat perubahan dalam pemerintahan di kalangan orang Melayu Islam sangat lemah dan terlalu lemah.

“Mereka (orang Melayu) tidak berfikir langsung tentang kewajipan memerintah negara. Kita (PAS) lihat orang bukan Islam sedar untuk membuat perubahan tetapi orang Islam sendiri tidak mempunyai kesedaran dan kemampuan untuk membuat perubahan itu,” tegasnya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Dana Unit Amal di Restoran Suriarasa, Rusila, dekat sini, baru-baru ini.

Malah, menurut Ustaz Abdul Hadi lagi apa yang lebih membimbangkan apabila bangsa Melayu sendiri semakin jauh dari kesedaran Islam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan bahawa PAS melalui unit Amalnya mempunyai satu tanggungjawab besar bagi menyedarkan bangsa Melayu dengan Islam.

Katanya, pendekatan secara damai melalui perubahan demokrasi boleh dilaksanakan oleh anggota unit Amal dalam kerja kebajikan dan kemasyarakatan.

“Apa yang menakutkan kita (PAS), apabila bangsa kita (Melayu) jauh daripada Islam. Kita (PAS) mempunyai satu tanggungjawab yang besar menyedarkan kaum bangsa (Melayu) kita.

“Kita (PAS) mengambil pendekatan ‘muwajahah silmiyyah’ (perubahan secara damai), perubahan secara demokrasi. Maka, peranan masuk dalam masyarakat melalui khidmat masyarakat sangat penting dan di sinilah tugas unit amal,” ujarnya.

Dato’ Seri Abdul Hadi menjelaskan semua pihak menyedari majoriti rakyat di negara ini adalah Melayu dan Islam menjadi teras pemerintahannya.

Katanya, perubahan ‘Islah’ pula tidak boleh dilaksanakan jika PAS gagal menguasai orang-orang Islam yang menjadi teras kepada pemerintahan negara ini.

“Semua pihak menyedari majoriti rakyat di negara ini adalah orang-orang Islam. Maka, orang Islam yang menjadi teras untuk memerintah negara.

“Selagi kita (PAS) tidak boleh menguasai orang-orang Islam yang menjadi teras kepada pemerintahan negara. Kita (PAS) tidak boleh membuat perubahan ‘Islah’, pembetulan sebagaimana yang dikehendaki oleh perintah Allah SWT,” ujarnya.

Beliau yang juga Adun Rhu Rendang juga menyifatkan kemenangan Pakatan Rakyat melalui DAP dalam pilihan raya kecil di Sibu membanggakan.

Namun begitu, katanya perubahan tersebut tidak membawa apa-apa erti jika orang Melayu-Islam masih tidak berubah.

“Dalam pilihan raya kecil di Sibu, Pakatan Rakyat sudah menang melalui DAP. Ini sangat membanggakan dan ramai di kalangan kita (rakyat) telah bersorak kerana telah menang.

“Kita tidak sedar bagaimana dengan orang (Melayu) kita sendiri. Adakah orang (Melayu) kita sendiri juga telah faham untuk membuat perubahan.

“Jika orang (bukan Islam) lain buat perubahan dan kita (Melayu) tidak..jawab dia (akibat) terlingkup kita (Melayu-Islam) dan tidak memberi apa-apa makna dan erti (perubahan itu).

Oleh itu, kata Ustaz Abdul Hadi menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menyedarkan orang-orang Islam itu sendiri supaya bersama membuat perubahan dengan secara Islam.

Katanya, apa yang menarik dalam pilihan raya di Sarawak bukan sekadar kemenangan DAP tetapi lebih jauh dari itu PAS berjaya menubuhkan cawangan parti di Sibu.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Harun Taib, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Pengarah Jabatan Amal Terengganu, Ustaz Mohd Shaiful Ambia Darus serta beberapa orang mantan Pengarah Unit Amal Terengganu.

Pada majlis tersebut Awang sempat melihat Ustaz Harun yang turut hadir dan kelihatan lebih sihat dari sebelum ini. Beliau lama ‘berehat’ setelah diserang angin ahmar disebelah kiri tubuhnya.

Walau pun, Ustaz Harun tidak berucap pada majlis berkenaan tetapi nampak ceria ‘sokmo’ dan bergelak-ketawa…tersenyum ketika berbual-bual dengan ‘Ayoh Chik’ (Tok Guru Presiden) di meja makan malam tersebut.

Awang doakan semoga beliau terus sihat dan bertenaga selalu kerana perjuangan masih panjang dan Islam masih lemah dan Melayu masih belum ‘sedarkan dirinya’ untuk bangkit.

Bangkitlah Melayu dengan Islam dan jangan ‘Bangkit Melayu’ dengan Umno yang ternyata terpesong lagi memesongkan ‘aqidah’ umat Melayu Islam di negara ini.

Ilmu Agama Penyelamat Ummah

Salam dari mimbar:-


SESUNGGUHNYA…dalam Islam proses pencarian ilmu berlangsung sepanjang hayat bermula sejak manusia dilahirkan hinggalah ia meninggal dunia.


Manusia perlu didedahkan dengan ilmu terkini bagi membolehkan mereka menangani isu-isu, realiti baru dan cabaran semasa yang sedang dihadapi.


Melalui ilmu juga manusia ditransformasikan menjadi pintar, bijaksana, berhemah, berdaya maju dan berwawasan serta dapat melahirkan pemikir-pemikir yang akan mendokong perjuangan Islam.


Baru-baru ini, kebetulan Awang singgah untuk menunaikan solat Jumaat di sebuah Masjid Pengadang Baru, jalan utama Kuala Terengganu ke Kuala Berang.


Masjid tersebut berwarna ‘hijau’ yang dikatakan siap dibina ketika kerajaan PAS Terengganu memerintah negeri ini dari tahun 1999 hingga 2004.


Awang juga diberitahu oleh para jemaahnya…masjid ini juga sebenarnya di bawah ‘jajahan takluk’ parti pembangkang PAS. Sebabnya, barang kali orang-orang Umno-BN setempat kurang sembahyang dan malas ke masjid.


Kebetulan pula, pada hari itu (Jumaat) tok khatibnya adalah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Beliau merupakan seorang ulama’ serta pemimpin sebuah jemaah Islam yang hebat di dunia Islam hari ini.


Sekali-sekala, sedap juga telinga ini mendengar khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Tok Guru Terengganu. Sebabnya, jika di negeri Serambi Mekah orang Kelantan selalu juga mendengar khutbah Tok Guru Kelantan.


Pada hari tersebut, yang Awang ingat dari ucapan Ustaz Abdul Hadi itu mengingatkan umat Islam akan kepentingan mempelajari ilmu agama berlandaskan al-Quran dan Hadis-hadis Rasul SAW.


Ini kerana, katanya ilmu agama Islam adalah jalan untuk meneguhkan umat Islam agar sentiasa beramal dengan ajaran Islam yang betul sebagaimana terkandung di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Nabi SAW.


Menurutnya, musuh-musuh Islam mengambil kesempatan dari kelemahan umat Islam dengan cara melemahkan pengajian ilmu agama serta melemahkan semangat umat Islam menuntut ilmu agama.


“Allah SWT menurunkan agama Islam yang sempurna, agama Islam yang lengkap. Ia-Nya, sempurna menyempurna antara satu sama lain sehingga seluruh kehidupan kita (manusia) diatur dan ditunjuk oleh ajaran agama Islam.


“Bukan sahaja, hubungan kita (manusia) dengan Allah SWT termasuklah hubungan dengan diri kita sendiri, hubungan kita dengan keluarga kita, hubungan kita dengan masyarakat, hubungan kita dengan negara, hubungan kita dengan politik, hubungan kita dengan ekonomi, hubungan kita dengan perundangan, hubungan kita dengan seluruh cara hidup,” jelasnya.


Menurut Ustaz Abdul Hadi hubungan tersebut merangkumi semua aspek sama ada diperingkat negara mahu pun antarabangsa kerana semuanya terkandung di dalam al-Quran yang sempurna dan lengkap.


Namun begitu, katanya akhir-akhir ini terdapat suara-suara sumbang yang menyatakan bahawa umat Islam tidak perlu lagi mendalami dalam perkara agama jika mahu menjadi umat yang maju.


“Mereka cukup maju dalam bidang sains dan teknologi, tidak perlu mendalami Islam ‘panjang-panjang’ dengan cara huraian yang sepenuhnya.


“Mereka tidak sedar bahawa, seluruh kehidupan dunia ini mestilah dipandu oleh ajaran Islam,” tegasnya.


Menurutnya, tidak ada perkara yang tidak boleh dipandu oleh ajaran Islam bermula dari makan-minum, membersihkan diri dari najis, memakai pakaian, berniaga, bercucuk-tanam dan seluruh kehidupan mestilah berpandukan dengan ajaran Islam.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa banyak hukum-hakam yang berkait dengan cara hidup telah dirombak dan dirungkai hari ini.


Katanya, manusia sibuk dengan urusan duniawi hingga tidak lagi mengikut petunjuk dari al-Quran dan hadis Nabi SAW.


“Banyak orang sibuk dengan urusan duniawi hingga tidak lagi mengikut petunjuk al-Quran. Mereka (manusia) tidak peduli dengan hukum Allah yang ada dalam al-Quran dan Hadis Nabi SAW.


“Hukum-hakam (perundangan) yang berkait dengan cara hidup dirombak dan dirungkai dan yang terakhir dirombak ialah sembahyang,” ujarnya.


Justeru itu, kata Dato’ Seri Abdul Hadi setiap orang Islam sekurang-kurangnya fardhu ain wajib mengetahui perkara-perkara dasar di dalam ajaran agama Islam.


Menurutnya, perkara yang berkait dengan iman, ibadah, makan-minum, pakaian, halal-haram serta pergaulan lelaki dan perempuan.


“Tiap-tiap orang (Islam) sekurang-kurang fardhu ain mesti (wajib) tahu perkara dasar dalam ajaran Islam.


“Perkara yang berkait dengan iman yang membatalkan iman, yang berkait dengan ibadah dan membatalkan ibadah, yang berkait dengan makan-minum, pakaian dan mana yang halal dan haram.


“Berkait dengan pergaulan (lelaki dan perempuan), mana yang boleh dan mana yang tidak boleh, wajib diketahui oleh tiap-tiap orang penganut Islam,” jelasnya.


Dalam masa yang sama, kata beliau hendaklah melahirkan kumpulan orang yang mendalami ilmu agama agar ilmu Islam terpelihara dan dijaga dengan sebaik-baiknya.


Tambahnya, dalam masa yang sama dapat memelihara umat Islam agar sentiasa berada di atas petunjuk dan ajaran Islam yang sebenar.


Oleh itu, kita (umat Islam) diingatkan supaya sentiasa mendampingi alim-ulama’ yang sudah pasti mempunyai ilmu yang banyak serta tahu hukum-hakamnya.


Namun begitu, perlu juga kita ingat bahawa alim-ulama’ dan ustaz-ustaz yang duduk dalam parti UMNO sebenarnya tidak jujur pada agama dan ilmu Islamnya.


Apa tidaknya….yang halal boleh jadi haram dan yang haram boleh jadi halal. JUDI HARAM boleh jadi JUDI HALAL…asal ada lesen. Dan yang berkuasa menghalalkan yang haram hanyalah kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) sahaja.


Mana ada kita dengar sehari dua ini di kalangan ‘Tok Peti’ (Mufti) Umno atau ‘Ustaz Umno’ atau ‘Alim-Ulama’ Umno yang berani berkokok kata JUDI BOLA HARAM.


Sebabnya, ‘mulut-mulut’ mereka yang tahu agama itu sebenarnya telah ‘disumbat’ dengan ‘al-pulus wal-mampus’ (Duit) dan mereka tidak berani menegur kerajaan kerana takut hilang pekerjaan, jawatan dan pendapatan.


‘Apa Yang Penting….CARI MAKAN’, kata budak-budak yang belajar tidak tinggi tetapi menyokong jemaah dan perjuangan Islam yakni P.A.S….

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top